10 kontena bawa kayu ada kulat dari Latvia diarah berpatah balik
Oleh Nur Izzati Mohamad - Ogos 27, 2024 @ 3:43pm [email protected]
Kontena membawa kayu berkulat diarah berpatah balik ke Latvia oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang. - Foto ihsan MAQIS
BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mengarahkan dagangan kayu seberat 251 tan metrik dari Latvia yang dibawa masuk ke negara ini berpatah balik ke negara asal.
Ia susulan pemeriksaan yang dijalankan terhadap dagangan bernilai lebih RM200,000 itu di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), di sini menemui kulat yang dikhuatiri mengancam industri pertanian negara ini.
Jurucakap MAQIS negeri berkata, terdapat 10 kontena yang membawa masuk dagangan kayu jenis 'White Birch Logs' (Betula Pendula) berkenaan ketika pemeriksaan rutin dilaksanakan pagi tadi.
"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut oleh pihak MAQIS menemukan kulat pada dagangan kayu berkenaan.
" Kawalan ke atas perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya membabitkan tanaman ladang dan lain-lain.
"Sehubungan itu, 10 kontena yang membawa dagangan kayu berasal dari Latvia itu diarah berpatah balik ke negara asal," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
MAQIS berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanah dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pihak MAQIS sentiasa komited untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, produk pertanian,tanah dan mikroorganisma yang masuk atau keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin masa depan industri pertanian negara" katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/08/1290715/10-kontena-bawa-kayu-ada-kulat-dari-latvia-diarah-berpatah-balik
|