PORT DICKSON: Sesudah tiada lagi 'khemah biru' dan majoriti pengunjung lega dengan arahan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), kini kedengaran pula dalam kalangan netizen yang membantah arahan menyeluruh pihak berkuasa tempatan itu melarang sebarang khemah didirikan di 11 pantai daerah ini.
MPPD kini semakin aktif memantau 11 kawasan pantai untuk menguatkuasakan larangan pengunjung memasang khemah sesuka hati di kawasan pantai.
Melontarkan kemarahan mereka, ada segelintir warganet yang menyifatkan arahan itu sebagai mengarut dan menyarankan agar kawasan peranginan itu diboikot.
Ia selepas tular video dan gambar hebahan MPPD dalam media sosial mengenai larangan pemasangan khemah di sekitar pantai awam Port Dickson.
Dalam hebahan tersebut dinyatakan pemasangan khemah dalam apa juga bentuk adalah dilarang di sepanjang pantai awam Port Dickson dan pemilik khemah diminta segera membuka khemah masing-masing atau berdepan tindakan.
Ramai netizen yang memberi reaksi tidak puas hati perkongsian MPPD itu, malah ada yang memberi komen kecaman.
"Boikot je jangan bercuti ke PD... banyak lagi tempat yang bagus dan cantik. Ini semua nak buat duit dan nak kontrol.
"Dulu pantai PD bebas dan boleh saja pasang khemah, semua nak susahkan rakyat... Pantai itu ALLAH bagi free bukan manusia yang buat. Jom boikot!," luah seorang warganet.
Seorang lagi warganet turut berkongsi pengalamannya yang diminta membuka khemah yang dipasang tidak sampai satu jam berada di situ.
"Tak sampai sejam dah kena buka balik. Dua biji khemah flysheet dengan awning kereta. Semua dia suruh buka, padahal kami dah beritahu nak berkelah sahaja."
Bagaimanapun, ramai juga netizen yang berpendapat peraturan MPPD itu sangat wajar bagi mengekalkan kawasan pantai sentiasa bersih dan teratur.
Justeru, ada warganet menyarankan MPPD menyediakan satu kawasan khusus untuk pengunjung berkhemah, lengkap dengan kemudahannya sekali.
Larangan memasang khemah persendirian membabitkan Pantai Tanjung Gemuk, Pantai Batu 1, Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Batu 5, Pantai Teluk Kemang, Pantai Purnama, Pantai Cermin, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Dickson.
Kenyataan MPPD menerusi media sosial menyebut, larangan memasang khemah ditetapkan meliputi apa-apa jenis khemah, sama ada bermalam atau berkelah, riadah siang hari adalah tidak dibenarkan.
|