Johor Bahru : Lelaki yang diburu polis selepas disyaki terbabit insiden khianat dengan api ke atas kereta Toyota Vios yang video kejadiannya tular di media sosial, ditahan tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Bukit Pasir, Batu Pahat jam 12.20 tengah malam.
Beliau berkata, Toyota Vellfire digunakan suspek ketika kejadian turut berjaya dirampas.
"Bertindak atas maklumat, pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah Batu Pahat menjalankan dua serbuan di Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau di sini.
"Hasil serbuan berjaya menahan suspek serta merampas barang bukti iaitu Toyota Vellfire dan suspek akan direman pagi ini," katanya.
Kelmarin, Raub dilaporkan berkata, polis sedang memburu suspek dan menjalankan siasatan terhadap kes khianat itu yang dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia di sini, kira-kira 10.20 malam, Ahad lalu.
Katanya, berdasarkan video berdurasi 28 saat yang tular memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga tempatan berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.
Disiarkan pada: Februari 5, 2025
|