Seorang lelaki ditemukan mati tergantung di dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Iboi, Kupang, Baling, semalam.
Lelaki Melayu berusia 41 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh isterinya kira-kira pukul 7.36 malam.
ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki yang ditemukan mati tergantung di dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Iboi, Kupang, Baling, Kedah, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan mayat tersebut.
Katanya, mangsa didapati menggantungkan diri menggunakan tali.
“Mangsa bekerja sebagai buruh binaan dan sudah berkahwin serta tinggal bersama keluarganya.
“Siasatan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan kemurungan dan mempunyai masalah keluarga dan sentiasa mengasingkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa tinggal di rumah bersama seorang anak dan mengunci pintu bilik sebelum menggantungkan diri.
Sementara itu, tambahnya, isteri mangsa pula keluar ke kedai untuk membeli barang.
“Kejadian hanya disedari oleh isteri mangsa selepas balik dari kedai membeli barang. Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan luka atau darah ditemui pada tubuh badan mangsa,” ujarnya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Kulim untuk bedah siasat.
Sumber: UTUSAN |