Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat video tular berkaitan seorang pegawai polis wanita yang membuat rakaman video secara langsung menerusi akaun sosial aplikasi TikTok, semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.
Tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara seperti itu dan tindakan akan diambil sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video kerana ingin mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya.
Razarudin berkata, pada masa ini, pihaknya sedang meneliti bila dan di mana rakaman video secara langsung itu dibuat.
Pegawai Polis ASP Main TikTok Semasa Operasi Serbuan Dikecam
"Saya sudah mengarahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataannya berhubung tindakan membuat video secara langsung semasa operasi itu.
"Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok miliknya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan oleh JIPS.
"ihak JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut di laman sosial akaun TikTok miliknya," katanya.
Dalam video berdurasi satu minit 38 saat itu wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat Asisten Superintendan (ASP) menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.
Pada pertengahan video, dia menyatakan rasa terkejut kerana video berkenaan ditonton secara langsung oleh lebih 1,400 pengikut selain turut mengharapkan akaun TikTok miliknya diikuti oleh lebih 100,000 pengikut lain. -CARI
Sumber: Sinar Harian |