CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4961|Reply: 0

Hadiah Istimewa Umat Nabi Muhammad SAW

[Copy link]
Post time 3-3-2025 09:43 AM | Show all posts |Read mode



Ramadan bulan penuh keberkatan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Kini tetamu agung ini kembali menyapa kita dengan rahmat, keberkatan dan keampunan. Bulan yang penuh dengan kebaikan ini anugerah Allah kepada hamba-Nya yang beriman agar mereka dapat meraih ketakwaan dan meningkatkan hubungan dengan-Nya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini menegaskan tujuan utama puasa untuk membentuk jiwa bertakwa, membersihkan hati dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia.

Ramadan bukan sekadar bulan menahan diri daripada makan dan minum, tetapi bulan dipenuhi peluang untuk meraih keampunan dan ganjaran yang besar. Memperbaiki niat adalah cara utama kita menyambut kedatangannya. Tanpa niat maka ia tidak dikira sebagai ibadah, tetapi boleh jadi hanya menjadi adat kebiasaan sahaja. Persiapkan niat kita dalam menghadapi Ramadan ini hanya kerana Allah SWT. Jika hati fokus hanya untuk mencari keredaan Allah maka amal perbuatan selepas itu akan menjurus kepadanya juga.

Keistimewaan Ramadan yang juga bulan kesembilan dalam kalendar Islam adalah anugerah kepada umat Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tiba Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan dirantai." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan betapa istimewanya Ramadan di sisi Allah SWT. Ia bulan penuh dengan rahmat apabila membuka pintu kebaikan bagi hamba-Nya yang ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyatakan kelebihan bulan ini antaranya Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Beliau berkata: "Ramadan adalah bulan latihan bagi hamba Allah. Di dalamnya mereka dilatih untuk mengekang hawa nafsu, menundukkan keinginan duniawi, dan memperbanyakkan amalan soleh."

Puasa adalah ibadah yang sangat istimewa kerana ia adalah amalan yang dilakukan secara ikhlas antara seorang hamba dengan Tuhannya. Dalam hadis Qudsi, Allah SWT berfirman: "Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa. Ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri akan memberi balasannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menariknya, ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri daripada segala perkara yang boleh merosakkan ibadah seperti mengumpat, berdusta serta melakukan perkara maksiat. Puasa mengajar kesabaran, keikhlasan dan mengukuhkan disiplin diri dalam menghadapi godaan duniawi.

Di samping itu, Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Keistimewaan Ramadan kerana ia adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman Allah SWT: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk serta (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah: 185)

Umat Islam digalakkan membaca dan tadabbur al-Quran sepanjang bulan ini.

Ulama terdahulu seperti Imam Syafii dikatakan mengkhatamkan al-Quran 60 kali pada Ramadan sebagai bukti kecintaan mereka kepada kitab Allah SWT.

Ramadan adalah bulan yang kaya dengan peluang untuk beramal. Antara amalan sunat digalakkan pada bulan ini termasuk solat tarawih yang turut dikategorikan sebagai solat malam. Solat sunat ini hanya dilakukan pada bulan Ramadan dan sunah yang sangat digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah di masjid.

Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa mendirikan (malam) Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersedekah dan memberi makan (berbuka puasa atau iftar) kepada orang berpuasa. Ramadan bulan umat Islam digalakkan memperbanyakkan sedekah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabiﷺ: Sedekah pada Ramadan." (Riwayat al-Tirmizi)

Baginda juga bersabda: "Siapa menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang berpuasa itu." (Riwayat at-Tarmizi)

Iktikaf membawa maksud berdiam diri di masjid dengan niat beribadah kepada Allah SWT. Niatnya ialah: "Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah Taala." Beriktikaflah terutama pada 10 malam terakhir untuk mencari malam al-Qadr, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya di sepanjang Ramadan, masjid diimarahkan sebagai pusat utama ibadah dan aktiviti keagamaan. Aktiviti mengimarahkan masjid antaranya:

1. Solat berjemaah lima waktu: Menggalakkan umat Islam untuk mendirikan solat secara berjemaah bagi meraih keberkatan.

2. Tadarus al-Quran: Program bacaan al-Quran secara berkumpulan bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan.

3. Ceramah dan tazkirah: Pengajian agama bagi meningkatkan ilmu dan kesedaran kepentingan Ramadan.

4. Berbuka puasa berjemaah: Mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat melalui majlis berbuka puasa bersama.

5. Qiamullail: Solat malam dan doa munajat khususnya pada 10 malam terakhir bagi mencari Lailatulqadr.

6. Musa'adah atau bantuan kepada golongan memerlukan: Program agihan makanan dan sumbangan kepada fakir miskin serta asnaf.

Salah satu malam yang paling dinanti-nantikan dalam bulan Ramadan adalah Lailatu al-Qadr. Ia hadiah terbesar dan teristimewa yang disediakan kepada pemburu-pemburunya. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr: 1-3)

Malam ini adalah malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk mencarinya pada 10 malam terakhir Ramadan, khususnya pada malam ganjil.

Ramadan adalah madrasah (sekolah) bagi mendidik jiwa. Hamka menyatakan bulan ini juga manusia bolehmelakukan introspeksi diri. Ia mengajarkan kita nilai kesabaran, ketakwaan dan keikhlasan dalam beribadah. Menurut Imam al-Ghazali: "Puasa adalah separuh daripada kesabaran dan kesabaran adalah separuh daripada iman." Apabila menjalani puasa dengan kesungguhan dan keikhlasan, kita dapat membersihkan hati, menguatkan jiwa dan meningkat keimanan kepada Allah SWT.

Kesimpulannya Ramadan adalah hadiah istimewa daripada Allah SWT kepada umat Muhammad SAW. Ia adalah bulan dosa diampunkan, amal ibadah dilipatgandakan dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Oleh itu, marilah kita sambut kedatangan Ramadan dengan penuh kegembiraan dan keazaman untuk memperbanyakkan amal ibadah. Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada tahun sebelumnya serta menjadi titik perubahan dalam hidup kita. Semoga ibadah puasa menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa dan lebih dekat kepada Allah SWT.

Selamat datang wahai Ramadan! Ahlan wa sahlan ya Ramadan, marhaban ya syahrul mubarak!

Penulis Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Imarah Takmir Bahagian Pengurusan Masjid Surau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan



Sumber: Harian Metro

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-3-2025 06:46 AM GMT+8 , Processed in 0.041590 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list