“ Mana ada aku menangis. Takdelah, aku tengah bersihkan bilik aku ni. Banyak sangat habuk, tu yang bersin tak berhenti. Macam tahu-tahu aje kau nak datang hari ni. Dahlah, jom kita ke bawah. Kesian ibu, sorang-sorang sahaja di bawah tu. Mak Nah takde, balik kampung hari ni. Ada saudara dia meninggal katanya. Jomlah..”
Lantas aku menarik tangannya mengikuti aku. Kami terus sahaja melangkah menuju ke dapur. Kelihatan ibu angkatku sedang membancuh minuman di dapurnya. Kami bergerak mendekatinya.
“ Hah...dah turun pun anak ibu ni. Azreena, mari tolong ibu bawakan air ni ke depan. Lily pula, tolong ibu gorengkan bihun ni, ya sayang.” Pinta Sabariah.
Azreena menuruti apa yang telah ibu suruh. Dia mengangkat dulang berisi minuman lalu melangkah pergi. Terlihat oleh Sabariah mata anak angkatnya yang merah. Lily…Lily…sabarlah anakku. Satu hari nanti, ibu harap kamu boleh menerima anak ibu tu. Semoga apa yang ibu hajatkan akan menjadi kenyataan.
“ Semua rencahnya dah ada ke ibu? Kalau macam tu, Lily mula gorenglah….” Balasku.
Sebaik sahaja aku mahu melangkah menuju ke ruangan memasak, ibu menarik lembut tanganku. Tiba-tiba sahaja ibu memeluk tubuhku. Terasa ingin sahaja ku hamburkan tangisan yang sebenarnya masih bersisa. Namun, aku cuba menahan air mataku dari tumpah...
“ Ibu minta maaf bagi pihak anak ibu tu. Lily janganlah berterusan menyalahkannya. Mungkin ibu tidak didik dia dengan baik. Tapi ibu berjanji akan menasihatinya, ya sayang...”
Sabariah cuba untuk memujuk gadis itu. Ya, didikannya mungkin belum cukup untuk membentuk anak bujangnya menjadi muslim yang soleh. Dia akan cuba memperbaikinya. Dia bersyukur kerana anak angkatnya seorang yang baik dan pandai menjaga diri.
“ Apa ibu cakap ni? Takde apa-apalah ibu. Janganlah risau, Lily dah pun maafkan dia. Lagipun, bukanlah salah ibu. Cara abang Adli bergurau itu yang tidak kena. Mungkin juga Lily yang tidak dapat menerima cara gurauan abang Adli tadi. Lily takkan salahkan sesiapa ibu. Apa yang terjadi tu, biarlah berlalu ibu. Lily tak simpan dalam hati pun.”
Tenang sahaja ucapanku. Ya, memang aku sudah memaafkan lelaki itu. Aku bukanlah sekejam mana pun. Cuma ya, memang hati aku sakit tadi, sekarang dah okey.
Setelah ibu meleraikan pelukannya, aku terus sahaja melangkah menuju ke dapur. Nampaknya, ibu telah menyediakan semua bahan. Tanpa berlengah, aku memulakan tugasku menggoreng bihun seperti yang di pinta oleh ibu. Kelibat ibu sudah tidak kelihatan. Mungkin di depan agaknya melayan dua orang sahabatku yang datang bertandang hari ini.
|