Kuala Lumpur elakon Bella Dally mengakui dia dan seorang rakan melakukan aktiviti berbasikal di sekitar daerah Gombak, Selangor berhampiran Hutan Lipur Sungai Tua berdekatan dengan sempadan negeri Selangor dan Pahang, baru-baru ini. Ia susulan laporan Harian Metro mengenai tindakan seorang pelakon wanita bersama rakannya berbasikal merentasi sempadan di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah pada 18 Oktober lalu, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.
Bagaimanapun Bella menjelaskan, dia tidak merentasi sempadan negeri seperti yang ditularkan. "Saya mengambil maklum laporan media termasuk yang tular di media sosial berkaitan dakwaan saya mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.
"Saya sudah memberi keterangan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis. "Gambar yang saya muat naik di Instagram dengan kapsyen "Woohoo Genting Sempah with ..." menimbulkan kekeliruan sehingga ada yang mendakwa saya merentasi sempadan negeri Selangor dah Pahang serta melanggar PKPB. "Saya ambil maklum kekeliruan yang berlaku namun perlu saya jelaskan kami masih berada dalam negeri Selangor dan tidak merentasi sempadan antara dua negeri," katanya. Menurut Bella, dia mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul. "Jika saya berada di sempadan negeri, sudah tentu ada papan tanda dan garis sempadan antara Selangor dan Pahang untuk rujukan. "Apapun saya mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul ekoran daripada hantaran di Instagram saya tempoh hari. "Ini sahaja kenyataan saya bagi merungkai kekeliruan yang berlaku dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan. "Saya memohon maaf sekali lagi dan bersama-sama dengan semua dalam usaha kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Saya doakan semoga kita semua berada dalam keadaan selamat sentiasa," katanya.
|