‘Kami bawa harapan negara’
“Mental dan fizikal kami cukup bersedia untuk menjalankan misi mencabar ini atas keutamaan terhadap negara,” jelas Kapten Ruzanna Md Nasir yang terbabit dalam operasi mencari penerbangan MH370 di Lautan Hindi menggunakan pesawat Hercules C130 bermula pagi semalam.
Dia antara tiga anggota wanita TUDM yang turut terbabit dalam operasi itu bersama 46 anggota TUDM lain yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, di sini, tengah hari kelmarin.
Pasukan dari skuadron ke 20 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diketuai Pegawai Pemerintah Mejar Mohammad Jafri Suboh itu akan bersama-sama memikul tanggungjawab dalam misi mencari penerbangan MH370 bersama enam negara lain yang sudah memulakan operasi sejak 11 hari lalu. “Kami sudah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sejak tragedi kehilangan pesawat itu berlaku pada 8 Mac lalu.
“Tugasan ini akan dilakukan sebaik mungkin.
Kami membawa harapan negara dan ahli keluarga yang masih menanti berita penemuan pesawat itu,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, semalam. Menurutnya, tugas itu turut dikongsi bersama juruterbang, Mejar Mardiana Razali dan Sarjan Nur Norasyimi Mohar. ““Sebelum ini, kami turut melakukan operasi sama di Selat Melaka dan Pulau Perak untuk mencari pesawat yang hilang itu,” katanya.
Sementara itu, pasukan terbabit memulakan operasi pencarian di kawasan baharu seluas 319,000 kilometer persegi, kira-kira jam 11 pagi semalam. Dua pesawat Hercules C-130 terbabit dalam usaha itu. Pesawat pertama yang diterbangkan Mejar Mohd Anuar Ahmad berlepas jam 11 pagi semalam bersama enam kru. Wartawan dan media tempatan yang membuat liputan di Pangkalan RAAF dibenarkan melihat persediaan kedua-dua pesawat berkenaan sebelum ia memulakan operasi.
Ini misi pencarian pertama membabitkan Malaysia di Lautan Hindi bersama lapan lagi pesawat membabitkan tiga pesawat RAAF P3 Orion, satu pesawat Jepun P3 Orion, satu pesawat China Ilyushin IL-76, satu pesawat P3 Orion milik Korea Selatan, satu pesawat P8 Poseidon milik Amerika Syarikat dan sebuah pesawat komersial. Sebelum memulakan operasi pertama itu, semua anggota dan pegawai mendengar taklimat ringkas disampaikan Mohammad Jafri sebelum diiringi bacaan doa semoga operasi pencarian itu berjalan lancar.
Difahamkan, pesawat TUDM akan terbang selama tiga jam ke zon pencarian baru dari Pangkalan RAAF sebelum menghabiskan masa dua jam untuk gerakan mencari bukti fizikal di kawasan itu. Mereka akan menggunakan teknik pengesanan mata kasar selain bantuan alatan pengesanan bagi mengenal pasti dan menanda lokasi sebarang objek ditemui. Maklumat itu kemudian disalurkan kepada lima kapal laut sedia ada yang menyertai misi berkenaan. 
Last edited by tapibukanaku on 31-3-2014 08:38 AM
|