Keadaan yang cukup menggemparkan apabila lebih 400 ekor ikan paus terdampar di pantai New Zealand dengan ratusan daripadanya mati.
Memetik laporan CNN, pada masa yang sama terdapat sukarelawan tempatan bertindak untuk mengapungkan mamalia yang didapati masih hidup.
Jelas jurucakap Jabatan Pemuliharaannya, Andrew Lamason, kes ikan paus mati terdampar di pantai memang dianggap perkara biasa, namun kejadian kali ini adalah yang terbesar pernah dicatatkan di negara tersebut.
Malam kelmarin, sejumlah 416 ekor paus jenis pilot dihanyutkan ke pantai di Farewell Spit, wilayah teluk Golden Bay di utara Pulau Selatan, ujar Lamason.
Bagaimana pun, tegas beliau usaha sedang dilakukan untuk menarik baki yang masih hidup ke dalam laut ketika air pasang, walaupun harapan tampak tipis.
“Dengan jumlah yang sudah mati itu, anda boleh membuat kesimpulan bahawa yang lain juga berada dalam keadaan yang teruk.”
“Jadi kami sudah bersedia untuk berdepan tempoh yang menyedihkan selepas ini.”
Paus jenis pilot boleh membesar sehingga enam meter panjang dan menjadi spesies paus yang lazim dilihat di perairan New Zealand.
Farewell Spit terletak 150 kilometer di barat pekan pelancongan Nelson, pernah menyaksikan sekurang-kurangnya sembilan kejadian paus mati terdampar dalam jumlah besar sejak sedekad lalu, namun kes kali ini dipercayai paling buruk.
Dilaporkan setakat ini, punca kematian ikan paus masih tidak diketahui tetapi dipercayai ada kaitan dengan faktor geografi tempatan.- CARI