PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, walaupun tidak bersetuju dengan pandangan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’, beliau turut tidak setuju jika buku itu diharamkan.
Beliau berkata Tommy mesti dibenarkan untuk mempraktikkan kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan serta tertakluk pada undang-undang yang memantau fitnah dan berbaur hasutan.
“Meski saya merasakan saya punyai hak untuk mengkritik memoir Tommy, saya tetap tegas menentang segala bentuk pembulian atau pengharaman terhadap buku tersebut.
“Dalam semangat yang sama juga saya menyatakan ketidaksetujuan dengan pandangan serta kenyataan Tommy,” katanya di Facebooknya.
Anwar turut mengkritik tindakan Tommy yang tidak bersetuju dengan Tun Razak dengan memberi gambaran atau konteks tentang apa yang berlaku pada tahun 1969.
Katanya, sebaliknya Tommy hanya mengambil satu sudut pandang dan melihat dari lensa orang lain sambil mengekalkan emosi yang sama dalam keadaan terbalik.
“Cakaplah apa pun tentang Tun Razak, tetapi beliau juga berhak untuk diadili dan dinilai berdasarkan konteks serta latar masa lalu yang tepat.
“Tommy tampaknya tidak meletakkan sebarang latar atau konteks untuk ini.
Saya merasakan Tommy cuba mengguna pakai lensa Tun Razak dan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai upaya untuk menganalisis dalam konteks penggunaan darurat hari ini,” katanya.
Anwar juga mengkritik tuduhan Tommy bahawa bekas Peguam Cara III, Mohamad Hanafiah Zakaria dianggap tidak cekap untuk memimpin dan mengawasi pendakwaan kes salah laku 1MDB pada tahun 2018.
Katanya, Tommy seperti hilang arah dan tuduhan kepada Jabatan Peguam Negara juga disifatkan telah merobek imej serta reputasi keseluruhan penjawat awam di negara ini.
“Tanggapan bahawa para penjawat awam bekerja di sektor awam hanya untuk mendapat gaji tetap dengan harapan akan menerima pencen sesudah bersara adalah tanggapan yang menjijikkan dan langsung tidak berasaskan kritikan yang rasional,” katanya.
Anwar juga mengkritik tindakan Tommy yang menulis mengenai perkauman dan menggambarkan bahawa gejala perkauman hanya menjangkiti pemimpin-pemimpin Melayu.
Katanya, tidak ada satu ayat pun melibatkan perkauman dari kaum lain, dan ini adalah kelemahan besar buku itu.
Beliau juga mengkritik tindakan Tommy yang memberikan komen terkait kes bunuh Samirah yang masih berjalan.
Katanya, kes tersebut semestinya tidak relevan sama sekali dengan naratif yang cuba ditonjolkan dalam memoir itu.
“Saya pasti pelajar undang-undang tahun pertama tahu bahawa pernyataan itu adalah bersifat sub judice dan akan memberi kesan pada proses di mahkamah.
“Sekali lagi, mengapa Tommy yang punyai pengalaman cukup luas dalam undang-undang boleh membuat kenyataan sebegitu rupa yang nanti akan kembali menghantuinya di kemudian hari,” katanya