|
CONDOR memperkenalkan lima jenis warna pesawat berjalur terbaharu iaitu kuning, biru, merah, hijau dan kuning air emas. - CNN
Condor perkenal pesawat bercorak seperti gula-gula
BERLIN – Sebuah syarikat penerbangan dari Jerman, Condor memperkenalkan warna latar badan pesawat yang lebih menonjol dan berwarna-warni menyerupai gula-gula bagi memberi ‘nafas baharu’ kepada imejnya, lapor stesen penyiaran CNN.
Sebelum ini, pesawat A380 ‘Flying Honu’ milik syarikat penerbangan Jepun, All Nippon Airways direka menyerupai kura-kura berwarna terang selain seni asli menakjubkan yang menghiasi salah satu pesawat Boeing 787-9 Dreamliners milik Qantas.
Bagaimanapun, Condor menjadi syarikat penerbangan terbaharu melakukan kerja-kerja menaik taraf reka bentuk pesawat yang ringkas namun bergaya.
Badan pesawat-pesawat Condor tidak lama lagi akan berubah dengan warna jalur-jalur tebal seperti gula-gula yang diinspirasikan daripada payung, tuala mandi dan kerusi pantai, demikian menurut Condor.
Jalur berwarna-warni yang direka oleh agensi kreatif Berlin Vision Alphabet itu bertujuan untuk membangkitkan nostalgia percutian masa lalu dan keseronokan untuk percutian masa depan.
Terdapat lima pilihan jalur warna iaitu biru yang mewakili laut, kuning mengingatkan kepada cahaya matahari, merah mewakili kegigihan, hijau mewakili pulau dan kuning air emas yang membuatkan pelancong memikirkan pantai berpasir. – Agensi
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/04 ... -seperti-gula-gula/
|
|