|
Edited by Abahmung at 14-4-2022 12:25 PM
Syarikat penerbangan berhenti ‘hisap darah’ penumpang
Oleh SURAIDAH ROSLAN
14 April 2022, 11:55 am
KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tempatan diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga tiket penerbangan secara melampau menjelang musim perayaan Aidilfitri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kementerian Pengangkutan perlu campur tangan dan menangani isu ini dengan segera.
“Ketika ini rakyat Sabah sudah mula mengeluh dengan fenomena sebegini. Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan syarikat penerbangan tambah murah, AirAsia dilihat seakan-akan menghisap darah penumpang.
“Bayangkan tiket ekonomi sahaja untuk perjalanan sehala daripada Semenanjung Malaysia ke Sabah berharga sehingga RM2,800 malah, ada juga mencecah RM3,600.
“Perkara sebagini tidak seharusnya berlaku. Oleh itu, MAS serta AirAsia diingatkan jangan sekali-kali mengaut keuntungan dengan menghisap darah penumpang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam.
Beliau berkata, beberapa minggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri maka, sudah tentu anak perantauan yang bekerja di Kuala Lumpur ingin pulang ke Sabah namun, dengan harga tiket penerbangan sebegitu, ramai yang terpaksa membatalkan hasrat pulang ke kampung halaman.
Bung Moktar turut mengulas tentang syarat AirAsia yang mewajibkan penumpang daftar masuk melalui mesin daftar masuk yang disediakan. Malah, bayaran RM100 akan dikenakan bagi mereka yang mendaftar masuk daripada kaunter.
Menurut beliau, AirAsia perlu mengambil kira penumpang yang tiada telefon pintar untuk melakukan daftar masuk sendiri. Mereka yang berusia pula sudah pasti tidak faham dengan arahan melalui mesin berkenaan.
Sebelum ini, sebuah agensi berita melaporkan seorang anak Sabah menerusi laman Facebook meluahkan rasa tidak puas hati susulan syarikat penerbangan tambang murah bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Sandakan pada 30 April ini berharga RM1,049 manakala, syarikat penerbangan lain pula berharga RM1,400 bagi laluan yang sama.
Biasanya harga tiket penerbangan bagi laluan tersebut antara RM190 hingga RM300 untuk setiap penumpang.- UTUSAN
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|