Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki mengelar leher seorang pemandu e-hailing di Jalan Ipoh pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, remaja tersebut ditahan di sebuah premis perniagaan di Jinjang pada jam 4.55 petang Sabtu.
Mangsa yang cedera di leher disyaki dikelar oleh seorang remaja perempuan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. (Gambar kecil: Beh Eng Lai)
"Hasil siasatan mendapati, mangsa berusia 63 tahun itu telah mengambil suspek di Tangkak Johor dengan menggunakan aplikasi e-hailing.
"Setelah sampai ke destinasi di Jalan Ipoh, mangsa telah memberitahu suspek jumlah tambang yang dipersetujui untuk dibayar iaitu sebanyak RM400," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Eng Lai berkata, suspek enggan membayar tambang tersebut kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan untuk menghantarnya ke balai polis untuk tindakan lanjut.
"Suspek yang takut dengan tindakan pemandu itu bertindak mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan kemudiannya melarikan diri serta meninggalkan senjata itu di dalam kereta mangsa," katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya telah memandu menuju ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan.
"Lelaki itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian |