View: 458|Reply: 0
|
[Tempatan]
Ferrero terbulu-bulu hentikan pembelian minyak sawit sime darby walaupun ada sijil mampan. Sesudu sawit tersenyum sinis
[Copy link]
|
|
Edited by kluangman at 19-4-2022 10:12 AM
https://www.astroawani.com/berit ... -plantation-357275?
KUALA LUMPUR: Reaksi terburu-buru oleh syarikat multinasional seperti Ferrero untuk menghentikan pembelian produk minyak sawit daripada Sime Darby Plantation Bhd (SDP) amat dikesali kerana mereka nampaknya terlepas pandang pada hakikat bahawa SDP merupakan pengeluar minyak sawit mampan (CSPO) diperakui Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) terbesar di dunia.
"Seseorang harus bertanya apakah objektif sebenar Ferrero mengumumkan secara terbuka keputusan mereka untuk berhenti membeli derivatif sawit keluaran SDP? Jika ia bertujuan untuk meraih kesetiaan jenama, maka ia adalah jalan cerita yang bagus, padat dengan muslihat," kata veteran industri agrokomoditi MR Chandran kepada Bernama.
Namun begitu, katanya, syarikat konfeksionari multinasional itu merupakan pengguna utama produk sawit diperakui RSPO, jadi mereka ada banyak pendekatan untuk dipertimbangkan sebelum mengambil tindakan memboikot produk SDP.
Pengeluar coklat dan konfeksioneri kedua terbesar dunia itu yang terkenal dengan jenama coklat Nutella, Ferrero Rocher dan Kinder Bueno mendapatkan 85 peratus daripada minyak sawit yang diperakui kemampanan dari Malaysia diikuti Indonesia dan Papua New Guinea.
Kelewatan Laporan Bebas "Impactt"
Chandran percaya kelewatan laporan bebas "Impactt" SDP menyebabkan timbulnya rasa kurang senang dalam kalangan pembeli dan pengguna minyak dan lemak keluaran syarikat itu.
"Ingat lagi Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) kali pertama dikeluarkan pada Disember 2020 dan ia adalah 16 bulan lepas. Bagaimanapun kita perlu menyedari hakikat bahawa sekatan pergerakan dan pandemik yang masih menular menjadi penghalang kepada penyelesaian awal penilaian amalan buruh SDP," katanya.
Untuk berlaku adil kepada SDP, beliau berkata syarikat itu sejak 12 bulan lepas telah mengambil banyak langkah inovatif dan inisiatif bagi memastikan kemampanan rantaian bekalan, pematuhan ESG dan terutamanya menyelesaikan isu berkaitan dengan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Pada Mac 2021, SDP melantik Impactt Ltd sebagai penilai pihak ketiga bagi Suruhanjaya Penilaian Hak Asasi Manusia Pemegang Kepentingan Pakar yang baru ditubuhkannya.
Impactt adalah perunding perdagangan beretika dengan kepakaran khusus dalam mengesan dan menyelesaikan isu-isu buruh paksa dalam rantaian bekalan syarikat sejajar dengan 11 petunjuk buruh paksa ILO.
Namun begitu SDP memaklumkan bahawa Impactt tidak dapat menyelesaikan penilaian amalan buruhnya pada Mei 2021 berikutan sekatan pergerakan yang dikenakan di seluruh Malaysia ekoran penularan COVID-19.
"Impactt tidak dapat menjalankan temu bual secara bersemuka di estet kami untuk menyelesaikan penilaiannya," katanya.
SDP menegaskan bahawa pembubaran suruhanjaya penilaian hak asasi manusia adalah untuk memberi lebih banyak ruang bagi Impactt untuk menyelesaikan penilaian isu buruh.
SDP: Ferrero Bukan Lagi Pelanggan
SDP dalam satu kenyataan berasingan pada Jumaat berkata syarikat konfeksioneri Itali itu sudah lama tidak menjadi pelanggannya.
Begitu juga dengan General Mills dan The Hershey Company, yang turut disebut dalam laporan berita Reuters itu, kata syarikat perladangan tersebut.
Bagaimanapun, SDP mengesahkan bahawa pelanggan langsungnya Cargill memutuskan untuk menggantung semua pembelian baharu minyak sawit dan produk derivatif daripada syarikat itu berkuat kuasa 25 Feb, 2022.
Menurut laporan Reuters, Ferrero berkata ia akan berhenti membeli minyak sawit daripada SDP berhubung dakwaan buruh paksa.
Menerusi emel kepada Reuters pada 6 April, Ferrero berkata ia meminta semua pembekal langsungnya berhenti membekalkan Ferrero dengan minyak sawit dan minyak isirung sawit yang didapatkan secara tidak langsung daripada SDP, sehingga diberitahu kelak.
Ferrero berkata ia tidak membeli secara langsung daripada Sime Darby, yang membekalkan 0.25 peratus daripada kuantiti minyak sawitnya.
Ferrero: Minyak Sawit Menambah Rasa
Ferrero, yang menjadi ahli RSPO sejak 2005, pada 2015 menjadi satu daripada syarikat global pertama yang mendapatkan minyak sawit mampan yang 100 peratus diperakui RSPO.
Dalam tahun kewangan 2019/2020, syarikat itu mendapatkan kira-kira 220,000 tan metrik minyak sawitnya daripada tujuh negara.
Ferrero berkata ia menggunakan minyak sawit bagi produk Ferrero kerana ia memainkan peranan penting dalam mencapai keseimbangan antara komponen, memastikan produk mempunyai struktur yang diingini.
"Ini meningkatkan rasa bahan-bahan lain kerana ia tidak berbau dan tidak berasa selepas proses penapisan.
"Ia membantu mengekalkan rasa tersendiri produk kami beserta keseluruhan jangka hayat disebabkan oleh kestabilannya, dan juga hasil daripada cara kami memprosesnya.
"Sebagai contoh, minyak sawit adalah penting kepada resepi Nutella kerana ia memastikan tekstur serta rasa semula jadinya, meningkatkan rasa bahan-bahan lain," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|
|
|
|
|
| |
|