GEORGETOWN: Seramai 19,501 calon di Pulau Pinang menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di 147 pusat peperiksaan yang bermula, hari ini.
Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Xavier di Lebuh Farquhar di sini mendapati, calon tiba seawal jam 6.30 pagi dengan sebahagian daripada mereka dihantar ibu bapa masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata seramai 17,694 daripada mereka adalah calon di 121 sekolah kerajaan manakala 389 lagi adalah calon dari tiga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan 175 calon di lapan Sekolah Agama Negeri (SAN).
Menurutnya, Pulau Pinang turut merekodkan 1,013 calon persendirian serta 133 calon berkeperluan khas (CBK) dengan seramai 15 calon di negeri ini akan menduduki peperiksaan di hospital disebabkan pelbagai isu kesihatan.
"Lima daripada mereka yang disahkan positif COVID-19 akan menduduki peperiksaan selepas tamat tempoh kuarantin.
"Bagi yang bergejala akan menduduki peperiksaan secara berasingan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong meluangkan masa kira-kira sejam meninjau suasana peperiksaan di sekolah itu turut memberi kata-kata semangat kepada semua calon yang menduduki peperiksaan hari ini.
"Lakukan yang terbaik dan semoga berjaya," katanya.
Sejumlah 403,637 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 sehingga 15 Mac ini, membabitkan 3,355 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad ditemui media hadir meninjau hari pertama ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi. - Foto Danial Saad
sumber