GEORGETOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dijangka memulakan proses rundingan dengan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung kerjasama dan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas sesi mesyuarat PH negeri diadakan pada satu tarikh yang belum diumumkan.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow, berkata usaha perbincangan itu sudah boleh ditetapkan secara rasmi berikutan PH sudah memberi 'lampu hijau' berhubung kerjasama membabitkan komponen parti terbabit baru-baru ini.
"Setakat ini belum ada surat (dikeluarkan) untuk menetapkan bila kita akan berbincang, tetapi mungkin saya cadang kita adakan mesyuarat PH negeri dulu.
"Mesyuarat PH negeri sebelum ini kita ada bincang mengenai perkara terbabit, tetapi tidak meneruskan apa-apa usaha kerana belum terima arahan daripada pimpinan Pusat.
"Jadi sekarang sudah ada (arahan), maka dalam mesyuarat PH akan datang kita akan melihat bagaimana hendak melakukan perbincangan dengan BN," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KONTAR) di sini, hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ke mahkamah Pulau Pinang pada minggu lalu berkata, tiada pertemuan diatur antara pihaknya berhubung lawatan kerja berkenaan.
"Tiada (pertemuan), kita pun tidak dimaklumkan mengenai lawatan itu," katanya ringkas.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Menteri memaklumkan sudah menerima surat jemputan daripada daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari untuk menghadiri mesyuarat bersama pemimpin negeri yang terbabit pada PRN, Khamis ini.
Katanya, mesyuarat itu bukan sekadar menyelaraskan tarikh penting seperti pembubaran DUN, malah bertujuan memudah cara penyeragaman tarikh dengan harapan PRN dapat diadakan secara serentak.
"Mengikut Menteri Besar Selangor yang saya sempat jumpa dalam satu majlis semalam, rata-rata pemimpin negeri mempunyai keinginan hendak (membubarkan DUN selepas) habis tempoh penggal.
"Jemputan itu turut membabitkan negeri PN (Perikatan Nasional), tetapi sama ada semua akan hadir itu Menteri Besar Selangor yang hanya dapat jawab kerana beliau yang mengambil inisiatif (menganjurkan) perbincangan ini," katanya.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu selain Pulau Pinang dan Selangor.