|
LITAR jalanan Marina Bay di GP Singapura, hujung minggu ini, bakal memberikan cabaran berbeza buat Verstappen. FOTO REUTERS
Singapura: Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Max Verstappen perlu menang di tempat dia tidak pernah menang untuk meneruskan rekod cemerlang di Grand Prix (GP) Singapura, hujung minggu ini.
Marina Bay tiada dalam senarai 23 litar yang menyaksikan juara dunia dua kali dari Red Bull itu menduduki tempat teratas podium dan prestasi lalu memberi harapan kepada pencabar yang mahu menamatkan rekod dominasinya.
Verstappen mencipta rekod terhebat apabila memenangi 10 perlumbaan berturut-turut, tetapi tahun lalu dia hanya menduduki tempat ketujuh di sirkit jalanan di Singapura manakala rakan sepasukannya dari Mexico, Sergio Perez muncul juara mengatasi dua pemandu Ferrari.
"Singapura mungkin cabaran terhebat pada baki perlumbaan kerana litar jalanan dan ruang yang biasanya sempit, selain cabaran haba dan kelembapan," kata Verstappen.
"Tahun lalu, kami melalui minggu yang kurang bernasib baik dan diharapkan tahun ini ia menjadi lebih baik."
Perez boleh meraikan penampilan ke-250 dalam F1, Ahad ini, dengan mengurangkan kelebihan 145 mata dimiliki Verstappen dengan lapan lagi baki perlumbaan.
Pemanduan di peringkat kelayakan sangat penting manakala laporan cuaca menjangka akan hujan pada hari perlumbaan.
Red Bull yang memenangi semua perlumbaan tahun ini secara matematik boleh muncul juara pengeluar sekiranya menamatkan perlumbaan satu dua dan Mercedes gagal memungut mata.
Situasi itu dijangka sukar berlaku, tetapi tidak mustahil.
"Ia adalah litar jalanan dan antara paling sukar dalam kalendar tahunan. Kami boleh lihat cabaran pada musim lalu, jadi kali ini berharap yang terbaik untuk meneruskan momentum," kata bos pasukan, Christian Horner.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... pen-di-gp-singapura |
|