Kulim: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati setiap pandangan tokoh dan individu berhubung tindakan polis menyiasat wartawan sebuah portal berita yang melaporkan dakwaan pertukaran pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenainya berikutan siasatan sedang dilakukan.
"Saya menghormati pandangan mereka, jadi saya tak mahu komen lebih perkara itu, lagi pun saya sudah menjawab mengenainya semalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri di Dewan Koperasi Music Sidam Kanan, Kampung Guar Lobak, Padang Serai, di sini, hari ini.
Semalam, Saifuddin dilaporkan berkata, KDN tidak mahu menyentuh berhubung isu laporan sebuah portal berita mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan PDRM memandangkan ia sudah berada dalam siasatan agensi keselamatan berkenaan.
Beliau berkata, polis mempunyai budi bicara dan kuasa penuh mengikut undang-undang untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana kes.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok dilaporkan berkata, tindakan polis memanggil tiga wartawan untuk memberikan keterangan dan meminta mendedahkan sumber maklumat dilihat menjejaskan kebebasan media dan melanggar prinsip keterbukaan serta ketelusan yang dipraktikkan dalam masyarakat demokrasi.
Selain itu, Tokoh Wartawan Negara Tan Seri Johan Jaaffar turut dilaporkan berkata, tindakan polis memanggil tiga wartawan Malaysiakini untuk disoal siasat hanya akan memberi imej buruk kepada pasukan terbabit.
Tindakan sedemikian akan hanya dilihat sebagai usaha pihak polis untuk mengganggu wartawan yang mahu menjalankan tugas mereka.
Ini akan memberikan imej yang buruk pada polis dan kesan bahawa pasukan polis tidak boleh 'ditegur'.