Kangar: Seorang tukang urut dipenjara 30 bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memiliki pelbagai dadah yang disorok dalam speaker kereta.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Chin Loon, 47, dari Taman Ria, Taiping, Perak yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman 30 bulan penjara serta tiga sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara 24 bulan bagi pertuduhan kedua.
Selain itu, mahkamah turut menjatuhi tertuduh hukuman penjara selama 18 bulan dan 12 bulan pertuduhan ketiga dan keempat.
Semua hukuman berjalan serentak bermula tarikh sabitan hari ini.
Lee didakwa memiliki dadah jenis ganja, pil Erimin 5, minyak ganja serta bahan ekstrak pepejal dari minyak ganja yang disembunyikan dalam speaker audio kereta jenis Volkswagen di Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian pada Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Lee didapati memiliki dadah jenis ganja dengan berat 26.07 gram (gm) di mana perbuatan itu dilakukan di Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian, Kaki Bukit pada jam 3 petang.
Oleh hal demikian, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan sebatan sehingga sembilan kali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati memiliki pil Erimin 5 dengan berat 0.20 gram di mana perbuatan itu dilakukan di lokasi serta waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.
Lee juga turut dituduh dalam pertuduhan ketiga apabila didapati memiliki dadah berbahaya jenis minyak ganja dengan isipadu sebanyak 500 mililiter di lokasi dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didapati memiliki ekstrak pepejal dalam minyak ganja dengan berat 3.25 gram di lokasi dan waktu yang sama seperti pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Lee didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama di mana tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis, Nurul Idayu Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Hanani Che Nor dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Nurul Hanani memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara singkat serta sebatan minimum selain anak guamnya mempunyai tanggungan ibu yang menghidap penyakit jantung.
Nurul Idayu pula memohon satu hukuman setimpal dapat diberikan kepada tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan serius.