Seorang wanita dan kanak-kanak melihat abu gunung berapi yang naik ke udara semasa letusan Gunung Ibu, seperti yang dilihat dari Kampung Duono di Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, pada 15 Januari 2025. FOTO AFP
Jakarta: Tahap amaran bagi Gunung Ibu di Halmahera Barat, Maluku Utara dinaikkan kepada Tahap 4, iaitu tahap amaran tertinggi, berikutan risiko bahaya kepada masyarakat setempat.
Amaran itu dikeluarkan pada 10 pagi waktu Indonesia Timur selepas siri letusan berterusan, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) pada Rabu.
Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto menggesa pihak berkuasa tempatan untuk terus berwaspada dan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) dalam menguruskan potensi impak dan tindak balas kecemasan.
"Pasukan BPBD kini berada dalam keadaan siap siaga.
"Mereka telah mengedarkan pelitup muka dan memaklumkan kepada penduduk mengenai bahaya yang mungkin berlaku sejak dua hari lalu serta bersedia membantu pemindahan jika diperlukan," kata Suharyanto dalam satu kenyataan.
Pusat pemindahan sementara disediakan di kampung berhampiran termasuk Sangaji Nyeku, manakala sistem amaran awal turut dipasang di empat lokasi untuk mengurangkan risiko.
"Sistem ini akan membantu komuniti tempatan memantau kawasan lembangan sungai dan meningkatkan kesiapsiagaan," kata Suharyanto.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melaporkan letusan berlaku pada 7.11 pagi waktu tempatan, dengan kepulan abu mencapai ketinggian 4,000 meter dari kawah.
PVMBG menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius 4.5 kilometer dari kawah dan hingga enam kilometer ke arah utara.
Disiarkan pada: Januari 15, 2025
|