|
Faisal TehraniMoyang aku, adalah seorang peniaga Cina. Namanya Sudin Leong. Dia berkahwin kemudiannya dengan moyang perempuanku yang bernama Hawa Binti Dali. Kami, di Naning, Simpang Ampat hampir seluruhnya bersumberkan leluhur yang sama. Kami, semua, bangga dengan darah Cina yang ada sedikit dalam pembuluh darah kami.
Bahagian saudara kami, dari utara sehingga ke Singapura akan selalu menyebut-nyebut darihal ini. Hari ini, harta benda yang kami warisi turun-temurun, pohon dan buah dari dusun, sayur-mayur dan laba dari hasil getah merupakan bahagian daripada kudrat beliau, seorang peniaga Cina.
Tempoh hari, aku membaca buku Modernization and Social Change, tulisan Syed Hussein Alatas (kanan). Ia diterbitkan pada tahun 1972. Almarhum Profesor Alatas dalam buku tersebut menerangkan secara terperinci mengapa orang Melayu ketinggalan, dan peniaga Cina dapat berkembang dan maju dalam apa yang mereka lakukan.
Aku akan menjawab soalan pertama terlebih dahulu. Mengapa orang Melayu ketinggalan?
Terlalu banyak faktor tentunya. Akan tetapi, salah satu faktor yang dianalisis dan ditulis oleh Profesor Alatas adalah berdasarkan rujukan dari Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Secara poin, Melayu amat ketinggalan dari semua segi dan aspek kerana kejahatan, penindasan dan diskriminasi ekoran kuasa golongan feudal dan aristokrat Melayu yang mutlak dan tidak dapat dipertikaikan.
Memanglah kita berasa aneh mengapa orang Melayu yang beragama Islam boleh menindas bangsa sendiri? Sedangkan Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad menolak penindasan dan mementingkan kasih sayang dan keadilan.
Perangai aristokrat Arab, Melayu
Aku tidak pelik dengan kelakuan ini. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, golongan aristokrat Arab tanpa segan silu telah membunuh cucu-cicit Nabi Muhammad saw. Padahal belum pun 60-70 tahun pemergian baginda.
Perihal perangai aristokrat Arab dan Melayu itu memang sama. Mereka bukanlah beriman dengan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad, tetapi mereka beriman dengan Islam-Pagan, sejenis Islam yang telah berbaur sehingga sukar dileraikan antara benar dan kepalsuan.
Munshi Abdullah, kemudian dikutip oleh Syed Hussein Alatas menunjukkan kepada kita, walaupun orang Melayu sangat ingin menjadi Muslim yang baik seperti tergambar dalam peribahasa dan pantun mereka, tingkah-laku dan perangai pemimpin menyulitkan keadaan orang Melayu untuk terus membangun.
Oleh kerana terlalu dicantas, orang Melayu akhirnya bersikap pasif dan tidak melawan. Secara psikologi mereka sudah dibebalkan, dikejang, dilumpuhkan dan menjadi serupa ternakan. Kalau pokok, mereka adalah pokok kemetot yang dibonsaikan. Pada mereka, melawan tidak ada lagi gunanya. Keadaan orang Melayu pada tahun 1838 itu sangatlah buruk. Selain perang saudara, orang Melayu dengan mudah diperhambakan oleh golongan istana.
Penjenayah yang ingin melepaskan diri dari hukum, akan menjadi hamba raja dan kemudian bertukar sebagai gengster di pelosok kampung. Barang siapa yang mempunyai kelebihan dan kekuatan ekonomi akan dibunuh dan harta benda mereka dirampas. Hal perogolan, pelacuran dan gejala seksual usahlah diceritakan. Ia berleluasa dan memualkan.
Apabila British tiba, pemimpin Melayu mulai gentar kerana nilai yang dibawa oleh Inggeris tidak akan membolehkan pengaruh dan kuasa mereka dilanjutkan. Aristokrat British memandang jijik gejala perhambaan dan perogolan. Pemimpin Melayu berasa bimbang kuasa mereka akan berkurangan lalu padam sama sekali.
Sumber hamba mudah
Memang British membawa nilai-nilai kebebasan, pasaran dan perdagangan yang terbuka serta acuan kapitalisme yang tiada sempadan. Mereka segera tahu, orang Melayu kalau bebas dari cengkaman feudal akan dapat berdikari dan membina hidup sendiri. Mereka akan tidak dapat lagi diperkotak-katikkan. Tetapi itu mustahil dibenarkan. Mereka mesti terus dibebalkan, dikejang, dilumpuhkan dan menjadi serupa ternakan.
Pemimpin Melayu adalah pacat. Mereka adalah pontianak siang dan malam. Mereka mahu sumber hamba yang mudah. Maka Melayu dinafikan dari mencari jalan keluar. Melayu, kerana telah dipasung sedemikian rupa tidak berupaya untuk berkembang dari segi ekonomi.
Orang Melayu, lantaran terhempuk oleh ketidakmampuan untuk bersaing tadi hanya dapat memandang orang Cina yang baru tiba di Tanah Melayu mengambil kesempatan dari keterbukaan dan sistem baharu yang diperkenalkan oleh British. Apabila orang Cina berjaya, momok yang paling lunak adalah Cina datang dari luar untuk merompak harta benda orang Melayu. Itulah lagu nyaman yang akan dinyanyikan oleh kaum feudal dan pendukung mereka. Cina adalah pendatang. Cina adalah orang tumpang.
Sedangkan, sebenarnya, di belakang mereka; kaum feudal dan bangsawan yang mendendangkan lagu perkauman ini sendiri turut memperdaya peniaga Cina untuk kepentingan mereka. Tidak dinafikan terdapat juga peniaga Cina yang ikut serta dengan pemimpin Melayu untuk terus menindas orang bawahan kerana bimbang peluang sedia ada terhakis. Itu pun berlaku kerana perangai buruk pemimpin Melayu yang tidak menunjukkan akhlak Islam.
Perlahan-lahan muncullah mitos orang Melayu malas, orang Melayu tidak pandai berniaga, atau orang Melayu lebih mengutamakan akhirat. Yang sebenarnya, kasihanilah orang Melayu. Mereka, Melayu dari dulu sudah dinafikan hak mereka untuk berdikari kerana pemimpin mereka adalah penerus dan pewaris Islam-Pagan yang diperoleh dari keislamannya Parameswara. Orang Melayu dicambuk oleh kejahatan yang mereka sendiri kurang sedari.
Kita tiba kepada soalan kedua, bagaimana peniaga Cina dapat berkembang dan maju dalam apa yang mereka lakukan? Seperti yang telah Syed Hussein Alatas huraikan, apabila British masuk ke Tanah Melayu, mereka membawa sama satu sistem yang membolehkan orang tempatan untuk berniaga dan berdagang. Namun demikian, orang tempatan, iaitu orang Melayu tidak dapat menghasilkan kehendak mereka.
Kisah Sudin Leong
Orang Melayu tidak mampu serba-serbi kerana tangan dan kekuatan mereka terikat oleh pemimpin sendiri. Orang Cina, kerana mereka imigran, mereka tidak terikat oleh kuasa cengkaman pemimpin Melayu itu secara langsung. Mereka melihat peluang dan ruang yang tersedia oleh British. Tambahan pula mereka memiliki nilai dari peradaban yang besar. Kita sendiri tahu, bahawa Islam sendiri menyaran agar kita menuntut ilmu hingga ke negeri China; menunjukkan betapa besarnya kuasa ilmu yang bangsa Cina pegang.
Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana merebut dan menggunakannya. Mereka orang dagang yang tidak ada sumber. Mereka perlu berdikari. Jadi, mereka memaksa diri untuk membangun. Memang ia tidak bermula dengan mudah. Mereka bertatih, jatuh dan patah. Kadang-kala ada pemimpin Melayu datang mengkhianat, kadang perniagaan mereka terhambat oleh faktor alam, dagangan antarabangsa dan sebagainya; tetapi mereka tidak mahu mengalah.
Perlahan-lahan muncullah mitos orang Cina rajin, orang Cina pandai berniaga, atau orang Cina lebih mengutamakan dunia. Yang sebenarnya, kasihanilah orang Cina. Mereka, Cina dari dulu sudah dinafikan hak mereka untuk setara dengan masyarakat peribumi kerana andaian mereka adalah orang luar yang datang untuk merompak dan bersekongkol dengan British, padahal mereka sendiri, orang Cina telah ikut bertungkus lumus memberikan apa yang mereka mampu dan terdaya untuk nusa atau negara ini. Mereka dituduh penumpang sewenang-wenang.
Kita juga tahu, betapa orang Cina mengenal Islam lebih awal dari orang Melayu. Mungkin sahaja, nilai-nilai Islam itu lebih melekat dengan mereka, memandangkan Islam yang tiba di China terlihat lebih mementingkan sisi sufistik. Ini sangat berbeza dengan Islam yang tiba di Tanah Melayu yang mana sifat legalistiknya lebih dominan.
Apabila moyangku, atau moyang kami tiba dari China dan berniaga di Tanah Melayu, arwah Sudin Leong memang melihat potensi yang ada di Naning. Walaupun masyarakatnya turut terhempuk oleh kuasa dan cengkaman kaum feudal di situ, tetapi mujur sekali, masyarakat Naning adalah pengamal adat perpatih yang memberi ruang lebih kepada kaum wanita untuk membuat keputusan.
Dalam kerangka orang Naning, perempuan akan menjadi manajer yang baik sementara lelaki mestilah keluar membanting tulang. Dalam masyarakat pepatih juga pengumpulan harta tidak diganggu secara meluas memandangkan kaum Minang itu sendiri pertama adalah orang dagang dan musafir; kedua orang Minang amat ditadbir oleh undang-undang adat. Moyang kami, si peniaga Cina yang pintar itu mengambil peluang dari kesempatan yang terbuka.
Cengkaman feudal
Arwah Sudin, moyang kami mengahwini moyang perempuan Hawa Dali dengan penuh sedar bahawa isterinya bukan sahaja akan kerja beranak dan beranak tetapi akan berperanan untuk mengukuhkan rezeki dan harta benda yang telah dihimpun.
Arwah Hawa tidak memboikot Leong. Malah arwah Hawa (kiri) telah mendakap dan menyayangi seorang peniaga Cina. Arwah moyang kami bekerjasama, bersatu dan menggembleng tenaga dengan seorang peniaga Cina. Kebijaksanaan arwah Hawa amat kami kagumi.
Hari ini, kami, seluruh kerabat Sudin Leong dan Hawa Dali berasa bangga dengan apa yang telah dicapai oleh leluhur kami. Sesudah Sudin meninggal dunia, isterinya, arwah Hawa sempat mengerjakan haji dua kali kerana kemewahan hasil getah. Arwah tidak pernah terhempuk oleh cengkaman kuasa feudal.
Beliau mengajar kami untuk bangkit dan jangan rebah. Kami cucu-cicit Sudin Leong amat cekal, dan berdikari; kami tidak begitu bergantung kepada golongan feudal. Kami memaksa mereka mendengar suara lantang kami.
Hari ini, semangat Sudin Leong amat membara dalam diri ini. Kami mewarisi darah Melayu Minang yang telah melahirkan sistem kepercayaan dan hidup yang unggul. Kami mewarisi juga darah Cina yang telah berjuang dan mencurah kudrat untuk memugar tanah seraya berdagang jauh. Kerana itu, hari ini, aku tidak malu mengaku, Je Suis Peniaga Cina.
|
|