CARI Infonet

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CARI Infonet Portal Portal Utama Selebriti Lihat artikel

Majlis Resepsi Sederhana Tapi Meriah

23-4-2014 05:17 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 9986| Komen: 4

Description: Tampil Dalam Busana Tajaan Jakel, Kedua-Dua Pasangan Pengantin Kelihatan Segak Dan Jelita Dengan Seri Kebahagiaan Yang Terpancar Di Wajah Masing-Masing, Apatah Lagi Resepsi Adik-Beradik Yang Dilangsun ...


SEDERHANA tapi meriah, itulah suasana yang boleh digambarkan melalui majlis resepsi putera-putera Yusof Haslam, Mohd Shamsul Yusof dengan pasangannya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin serta Syafiq Yusof dengan pasangannya, Aiesha Zainal di Dewan Perdana Felda, Jumaat lalu.

Jika resepsi selebriti lain lazimnya menekankan konsep perkahwinan penuh glamor gah serta tajaan busana pengantin dan barang kemas bernilai ratusan ribu, keluarga pengarah terkenal sebelah lelaki ini lebih selesa memilih majlis ringkas tetapi sangat bermakna selain dapat dirasai oleh semua tetamu yang hadir.

Uniknya, tiada acara tepung tawar yang dijalankan, sebaliknya digantikan dengan upacara bersalaman antara keempat-empat mempelai dengan ahli keluarga dan jemputan VIP sambil diiringi alunan selawat dan lagu-lagu popular Maher Zain.

Penuh syahdu dan islamik, konsep majlis ini bertepatan dengan 'penghijrahan’ Shamsul-Puteri Sarah yang kini memilih untuk lebih mendalami agama di samping sesuai dengan status bapa mertua Syafiq yang bergelar ustaz.

Tampil dalam busana tajaan Jakel, kedua-dua pasangan pengantin kelihatan segak dan jelita dengan seri kebahagiaan yang terpancar di wajah masing-masing, apatah lagi resepsi adik-beradik yang dilangsungkan ini memenuhi hajat ayah mereka untuk melihat mereka disandingkan serentak.

Status keluarga ternama tidak menghalang Datuk Yusof Haslam mengadakan majlis serba ringkas selaras dengan konsep agama Islam yang menekankan unsur kesederhanaan.

Nasihat ayah

Dalam majlis tersebut, Yusof Haslam menyatakan kesyukurannya atas majlis yang berjalan lancar dan menurunkan petua serta nasihat untuk mengharungi asam garam kehidupan berumah tangga kepada kedua anak lelakinya.

“Sayangilah isterimu sebagaimana Baba sayang akan ibumu, rumah tangga mana yang tak akan dipukul gelombang, pertahankanlah dengan kekuatan iman dan kesabaran.

"Buat Puteri Sarah dan Aiesha, hidup berumah tangga tidak seindah yang disangka, terlalu banyak ranjau dan bukan hanya kemanisan yang kamu kecapi selama-lamanya. Laksanakanlah tanggungjawab dalam perkahwinan mengikut jalan agama dengan jujur dan amanah,” luahnya sepenuh perasaan sehingga menimbulkan raut terharu pada wajah anak dan menantunya.

Yusof Haslam juga sempat menyentuh perihal Shamsul yang pernah putus asa dan hilang semangat apabila filemnya, KL Gangster 2 dicetak rompak dan disebarkan dengan meluas secara haram, namun memuji anaknya yang bangkit dari kesedihan gara-gara insiden itu.

“Saya nampak Shamsul berseri-seri malam ini, saya harap perkahwinannya dengan Puteri Sarah akan mendorongnya untuk lebih bersemangat dalam berkarya sebab dia hampir putus asa suatu ketika dahulu apabila filemnya dicetak rompak.

"Tapi Alhamdulillah, segala yang berlaku itu ada hikmahnya. Saya lihat dia makin kuat dan matang dalam hadapi cabaran.

"Mula-mula Shamsul nak pakai jubah sahaja untuk resepsi malam ini, dia nak lebih sederhana. Tapi saya tak bagi, saya cakap takkan nak pakai jubah dalam majlis ramai tetamu VIP dan rakan-rakan artis ini!” kata Yusof Haslam sambil ketawa.

Suasana bertambah syahdu apabila anak perempuan tunggal Yusof Haslam, Nursyamin Yusof yang merupakan adik kepada Shamsul dan kakak kepada Syafiq tampil memberikan ucapan serta membacakan sajak khas buat kedua mempelai.

“Syafiq bagaikan anak patung besar bagi saya, dia bawa kegembiraan dan keceriaan dalam keluarga kami. Masa kecil dahulu dia pernah hilang bukan sekali, tapi dua kali. Dan waktu itu saya sedar betapa sayangnya saya pada dia dan berjanji untuk sentiasa menjaganya.

“Saya pernah mengharapkan Abang Shamsul untuk pergi jauh, kami selalu bergaduh semasa kecil. Tapi saya sanggup tukarkan apa sahaja yang saya ada sekarang untuk kembalikan memori bersamanya. Kalau dia Batman, sayalah Robinnya dan kalau dia Michael Jackson, sayalah penontonnya,” ujar Nursyamin yang membuat ramai tetamu mengalirkan air mata lantaran ketulusan ucapannya itu.

Shamsul berubah selepas kahwin

Setelah berjaya merangkul Anugerah Pengarah Termuda dalam Festival Filem Malaysia ke-23 dan kutipan pecah panggung bagi filem KL Gangster, kali ini Shamsul berjaya memenangi hati Puteri Sarah sebagai isterinya yang sah sejak bulan lalu.

Seperti yang diketahui umum, majlis resepsi mereka ditangguhkan gara-gara kesihatan Shamsul yang tidak mengizinkan dan terpaksa kembali ke hospital selepas majlis akad nikah yang berlangsung pada 8 Mac lalu.

Namun, niat suci mendirikan masjid diperkenankan ALLAH apabila majlis yang ditangguhkan itu berlangsung dengan gilang-gemilang dan penuh suasana keharmonian.

Pengarah dan aktor kacak ini menyatakan perasaan leganya tentang majlis yang berjalan lancar dalam temu bual yang diadakan selepas selesai resepsi tersebut.

“Saya rasa gembira, sebak dan terharu. Tak sangka akhirnya majlis resepsi saya betul-betul dijalankan serentak dengan Syafiq, sebab sebelum ini kami sekadar bergurau sahaja. Sebelum ini saya rasa Syafiq yang akan kahwin dahulu, tapi inilah yang ditentukan oleh ALLAH.

“Agak lama sebenarnya jarak nak tunggu majlis nikah Syafiq dengan resepsi ini. Tapi tak apa, ini salah satu impian ayah nak tengok kami bersanding sekali. Ibu bapa kami gembira dan kami juga senang hati,” katanya.

Peneraju utama filem seram Khurafat ini juga, sempat berkongsi perubahan ketara dirinya setelah lebih sebulan mendirikan rumah tangga dengan Puteri Sarah.

“Lepas kahwin saya jadi lebih bertanggungjawab. Bukan sahaja dalam kerja tapi dalam perkara wajib macam solat. Sebab saya tahu sekarang saya bukan sahaja kena didik diri sendiri tapi kena didik isteri.

“Sebelum kahwin saya rasa ada sesuatu yang kurang dalam hidup saya, tapi perkahwinanlah yang melengkapkan hidup saya. Tanggungjawab lebih besar tapi saya rasa lebih baik begitu,” katanya.

Menyentuh tentang karier seninya yang dikatakan ‘jatuh’ setelah insiden filem KL Gangster 2 dicetak rompak, Shamsul menganggap perkara sedemikian sebagai ujian dalam mengharungi liku-liku sebagai seorang penggiat seni.

“Apa yang dah berlaku tu memang dah berlaku. Dalam hidup ni akan sampai satu tahap sesiapapun akan diuji dengan ujian yang besar. Saya diuji bukan dengan kes cetak rompak filem itu sahaja, tapi bermacam-macam ujian yang lain.

“Tapi saya redha, lebih baik perkara ni berlaku masa umur saya 29 tahun sebab saya belajar hadapi dugaan lebih awal. Saya bersyukur sebab benda ni jadikan saya lebih matang dan bijak,” ujarnya.

Akui Shamsul, aspek kesempurnaan menjadi faktor yang dititikberatkan untuk menghasilkan filem-filemnya kini.

“Memang saya perlahankan aktiviti seni, tapi saya tetap akan buat filem. Sekarang ni saya tengah fokus projek filem seram kedua saya bertajuk ‘Munafik’ yang masih lagi dalam proses penulisan skrip.

“Sebab dah banyak buat filem, saya nak hasilkan filem yang lebih baik sekarang. Sebab tu saya ambil masa nak keluarkan sesuatu filem. Lagipun dulu saya tekankan kerja seratus peratus, sekarang saya nak bahagikan masa untuk perkara-perkara lain yang lebih penting dalam hidup,” ujar Shamsul.

Yakin dengan pilihan hatinya setelah berdoa di Makkah dan ‘ternampak’ Sarah sebagai calon isteri, Shamsul menyatakan sikap utama Sarah yang telah membuat hatinya terpaut.

“Dia seorang yang mendengar kata dan boleh dibimbing.

“Kami sama-sama harap untuk bina rumah tangga yang diberkati dan berkekalan selamanya, Insya-ALLAH,” katanya yang menikahi Puteri Sarah dengan mas kahwin berjumlah RM1,111 tunai itu.

Henti karier lakonan

Jelita dalam persalinan pengantin muslimah, Puteri Sarah jelas selesa dengan imej barunya yang berhijab dan lebih sopan serta menyejukkan mata.
Artis yang pernah dipalit kontroversi bersama bekas kekasihnya, Ammar Alfian suatu ketika dahulu memilih untuk mendekati agama dan kini bahagia bersama suami yang diyakini boleh membimbingnya kearah yang lebih baik.

Mengulas tentang karier lakonan yang terhenti sejak tahun lalu, Puteri Sarah mengakui dia berhenti berlakon atas kehendaknya sendiri dan bukannya dihalang oleh Shamsul.

“Memang saya berhenti berlakon demi kebaikan sendiri. Kalau berlakon saya akan banyak habis masa di lokasi dengan waktu penggambaran yang panjang. Kalau abang Shamsul bagi berlakon pun, memang saya yang tak nak.

“Buat masa sekarang saya bekerja sepenuh masa di Butik Eiliya dan dalam proses untuk mencipta rekaan pakaian sendiri. Saya juga menjadi duta kepada produk kesihatan CAJM Group disamping buat kerja pengacaraan seperti yang dibenarkan oleh suami,” katanya.

Pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Kawan dan filem Lu Pikirlah Sendiri ini menyifatkan Shamsul sebagai seorang yang sangat penyayang.

“Abang Shamsul sangat caring dan dia memang jaga Sarah sebagai seorang isteri.

“Saya yakin akan bahagia bersamanya dalam perkahwinan ini,” ujar bekas model sambilan ini.

Kahwin muda bukan sebab trend

Bagi Syafiq Yusof dan isterinya, Aiesha Zainal, usia muda bukanlah penghalang bagi mereka untuk berkahwin walaupun rakan sebaya masing-masing masih dilamun alam percintaan remaja sebagai kekasih.

Apatah lagi tempoh empat tahun menyulam cinta sebelum perkahwinan mendorong mereka untuk segera mendirikan hubungan yang sah sebagai suami isteri.

Mengenali Aiesha sejak di kolej, Syafiq menyatakan mereka berkahwin dalam usia muda bukan kerana trend tapi kerana jodoh.

“Masa remaja dan mula-mula bercinta dulu, adalah kami bergurau nak kahwin cepat. Tapi, dah jodoh ALLAH izinkan kami kahwin awal.

“Lebih kurang dua tahun setengah bercinta, kami ambil keputusan untuk bertunang. Dan sekarang Alhamdulillah dah bergelar suami isteri,” kata pengarah muda yang dikenali melalui buah tangannya bertajuk SAM yang dibintangi oleh Shaheizy Sam dan Lisa Surihani.

Mewarisi bakat pengarahan ayah dan abangnya, Syafiq bersyukur mempunyai isteri seperti Aiesha yang sangat memahami kerjayanya.

“Dia seorang yang kelakar dan memahami saya. Lepas kahwin ni dia selalu ikut saya shooting sampai pagi dan temankan saya dengan rela hati.

“Lepas kahwin saya lagi semangat nak cari duit dan bekerja keras sebab ada isteri yang harus ditanggung,” ujar Syafiq, tersenyum kerana mempunyai motivasi baru bagi menjalankan aktiviti seninya kini.

Ibarat pepatah sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri, Syafiq akur dengan lumrah rumah tangga mana yang tidak akan dilanda masalah, begitu juga dengan perkahwinannya dengan Aiesha.

“Kami tak buat apa-apa janji dalam perkahwinan, tapi Aiesha hari-hari akan pesan pada saya supaya jangan tinggalkan dia,” ujar Syafiq sambil ketawa apabila bahunya ditampar manja oleh Aiesha.

Bakal muncul dengan filem aksi komedi terbaharunya bertajuk Abang Long Fadil pada 29 Mei ini dan Villa Nabila yang masih dalam proses penyuntingan, pasangan berusia 22 tahun ini tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak dalam usia muda.

“Kami tak merancang. Kalau ada rezeki nak dapat anak, kami terima dengan bersyukur,” katanya.

Status keluarga bukan penghalang

Jika keluarga Syafiq merupakan golongan ternama dalam bidang seni, keluarga Aiesha pula disegani kerana latar belakang agama dan ayahnya yang bergelar ustaz.

Justeru, perbezaan tersebut tidak menghalang Aiesha untuk cepat mesra dengan keluarga Syafiq yang dirasakan ceria.

“Tak susah nak sesuaikan diri sebab keluarga Syafiq peramah. Tak rasa kekok walaupun masa mula-mula kenal,” ujar Aiesha yang memilih untuk menjadi suri rumah tangga di samping menemani syafiq ke lokasi penggambaran.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote munchkin 23-4-2014 04:47 PM
baguslahhhh..tahniah pada pengantin semua
Quote SUHA 23-4-2014 09:37 PM
Alhamdulilah syukur jodoh ada
Quote Shahreen74 24-4-2014 09:36 AM
alhamdulillah.. semoga jodoh kekal hg ke akhir hayat... & dikurniakan anak yg soleh & solehah...
Quote adfiza 5-5-2014 02:38 AM
Alhamdullilah..

Lihat semua komen(4)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 02:40 PM GMT+8 , Processed in 0.053827 second(s), 32 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top