Kulim: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui sebarang bukti pemalsuan dokumen dan berlakunya kejadian rampasan tanah di Kuala Kedah, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun siasatan lanjut tetap dilakukan polis berikutan pengadu ada membuat laporan mengenai perkara itu.
"Perkara ini sebenarnya sudah berlarutan terlalu lama dan pertikaian itu sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan yang mana keputusan tidak berpihak kepada pengadu.
"Bahkan pengadu sendiri buat 76 laporan polis yang kesemuanya disiasat, jadi kita akan terus selesaikan perkara ini sehingga ke akhir," katanya selepas menyempurnakan Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Dublin, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, beliau kesal isu itu dimanipulasi pihak tidak bertanggung jawab untuk mencetuskan sensitiviti perkauman, walaupun ia pada asasnya hanya pertikaian antara rakan perniagaan.
"Saya tidak pasti apa motifnya untuk terus membuat dakwaan yang membangkitkan sentimen apabila mendakwa bahawa orang Cina mengambil alih tanah Melayu dan sebagainya.
"Apa status tanah itu? Ia adalah tanah TOL (lesen menduduki sementara). Apa yang dia lakukan? Dia menyewakannya kepada seseorang yang membina pelantar ikan di atasnya.
"Pada awalnya, hubungan mereka baik, tetapi apabila mereka selisih faham, keadaan menjadi tegang, polis terpaksa menyiasat laporan, tetapi dapatan polis tidak selari dengan naratif bahawa orang Cina merampas tanah Melayu atau memalsukan dokumen," katanya.
Beliau berkata, siasatan polis turut mendedahkan bahawa seorang wanita yang sering bersama pengadu dan turut membuat video isu itu bukan anak kepada lelaki itu.
"Dalam siasatan, kami dapati dia bukan anaknya. Apabila kami menyoal anak perempuannya yang sebenar, dia mengesahkannya, jadi apakah motifnya jika bukan untuk mencetuskan sentimen perkauman? Ia tak wajar," katanya.
Sebelum ini media melaporkan polis menafikan dakwaan dibuat oleh lelaki kononnya pihaknya tidak mengambil tindakan ke atas laporan yang dibuat berhubung isu pertikaian TOL ke atas sebidang tanah di Kuala Kedah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Salawati Saad dilaporkan berkata, kandungan video di media sosial itu dilihat cuba menarik perhatian umum bagi meraih simpati berkait isu pertikaian tanah.
Berdasarkan siasatan, pertikaian antara individu terbabit bersama seorang lagi individu lain tercetus sejak tahun 2013 dan kes dibawa ke peringkat mahkamah bagi penyelesaian.