selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:16 AM

berita harian

Guru tuisyen liwat remaja
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/12/14
Ambil kesempatan tayang video lucah, lakukan seks luar tabie

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang guru tuisyen di sini semalam, selepas disyaki melakukan gangguan seksual dengan menayangkan video lucah serta meliwat remaja lelaki berusia 17 tahun.
Difahamkan, guru tuisyen berusia 30 tahun yang mengajar Matematik mengambil kesempatan terhadap pelajar itu dengan mengulangi gangguan seksual.
Bagaimanapun, rahsia guru terbabit terbongkar selepas remaja berkenaan menceritakan perkara itu kepada ibu bapanya kelmarin, sebelum membuat laporan di Balai Polis Skudai.

Laporan polis itu turut mendakwa guru tuisyen terbabit melakukan gangguan seksual dengan menayangkan video lucah serta meliwatnya dua kali iaitu pada November 2008 dan Mei 2009.

Guru tuisyen itu juga didakwa pernah melakukan seks oral dan mengajar teknik beronani kepada remaja terbabit yang kini menamatkan pengajian di Tingkatan Lima.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Superintendan Akhir Ishak, ketika mengesahkan perkara itu berkata suspek ditahan di kediamannya di Skudai, kira-kira jam 11 pagi.
“Berdasarkan laporan polis, remaja berkenaan mula menghadiri kelas tuisyen Matematik kelolaan guru terbabit sejak empat tahun lalu.

“Remaja itu berusia 13 tahun ketika mengikuti kelas tuisyen berkenaan, tetapi polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan kesahihan dakwaan terbabit,” katanya.

Akhir berkata, guru tuisyen terbabit kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebat.

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:38 AM

utusan

Sesak kerana pentingkan diri

http://www.utusan.com.my/pix/2010/1214/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
TINDAKAN segelintir pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Sulam, Taman Sentosa, Johor Bahru.



Saudara Pengarang,
TINDAKAN segelintir pemandu yang mementingkan diri dengan meletakkan kenderaan sesuka hati di hadapan Public Bank Jalan Sulam, Taman Sentosa, Johor Bahru amat dikesali.

Ini kerana terdapat pemandu yang meletakkan kenderaan di garisan kuning yang sememangnya bukan tempat meletak kenderaan.

Kebiasaannya mereka yang meletakkan kenderaan di kawasan tersebut hendak berurusan dengan bank berdekatan.

Namun, tindakan mereka ini seolah-olah hanya mementingkan diri sendiri kerana hanya akan menyebabkan jalan di kawasan tersebut menjadi sesak.

Kesesakan di jalan tersebut biasa berlaku pada waktu pagi sehingga petang pada hari bekerja.

Saya berharap agar pihak berkuasa tempatan dan pihak polis mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman terhadap pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab ini.

ANTI JAM

Taman Sentosa, Johor Bahru

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:39 AM

utusan


Buka semula tandas di Pantai Penyabong


http://www.utusan.com.my/pix/2010/1214/Utusan_Malaysia/Johor/wj_02.1.jpg
TANDAS awam yang tidak dapat digunakan kerana berkunci di Pantai Penyabong.



Saudara Pengarang,
SEBAGAI pengunjung ke Pantai Penyabong, kami sekeluarga memang berpuas hati dengan keindahan pantai tersebut dan kemudahan calet yang disediakan.

Namun, kemudahan tandas awam yang disediakan perlu memenuhi keperluan para pengunjung.

Terdapat hanya sebuah tandas awam di pantai berkenaan yang disediakan dan lebih 'malang' ia tidak dibuka kepada para pengunjung dan ini menyusahkan orang ramai yang memerlukannya.

Bagi mereka yang menginap di calet-calet tentu tiada masalah, namun bagaimana pula dengan pengunjung yang sekadar datang untuk berkelah sahaja?

Bagaimanapun, terdapat tandas dan bilik air yang dibuka dan disediakan oleh pihak persendirian dan dikenakan bayaran tertentu untuk menggunakannya di pantai berhampiran iaitu di Pantai Pasir Lanun, namun agak jauh dengan Pantai Penyabong.

Sebagai pengunjung, kami berharap pihak yang berkenaan agar membuka semula tandas awam yang telah dihentikan operasinya sejak beberapa bulan lalu.

Hal ini kerana tandas awam tersebut sangat penting bagi kegunaan para pengunjung yang ramai terutamanya pada hujung minggu.

Kami juga difahamkan selain pengunjung, para peniaga dan penduduk di kampung berkenaan juga berharap pihak berkenaan dapat membuka semula tandas tersebut kepada orang ramai.

Saya telah berkunjung ke sini lebih tiga kali dan sepanjang itu juga, saya dapati tandas berkenaan sentiasa berkunci dan tentu hal ini menyukarkan pengunjung yang terpaksa menumpang di tandas-tandas gerai makan berhampiran.

Justeru, saya amat berharap supaya pihak yang berkenaan segera membuka semula tandas tersebut untuk kegunaan orang ramai.

PENGUNJUNG SAKIT PERUT

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:39 AM

utusan

Bersih segera sampah dalam longkang

Saudara Pengarang,
SEJAK setahun lalu saya perhatikan longkang besar yang terdapat di sebelah Pejabat Penerangan Segamat dibiarkan penuh dengan sampah-sarap yang sebahagian besarnya datang dari Pasar Awam Bandar Segamat.

Bau busuk dari longkang tersebut amat menusuk hidung lebih-lebih lagi kepada pejalan kaki yang melalui laluan tersebut sama ada ketika menggunakan jejantas atau ke terminal teksi dan bas ekspres.

Saya pernah bertanya kepada salah seorang petugas di pejabat Penerangan tersebut dan dimaklumkan bahawa masalah longkang berkenaan telah dikemukakan dalam beberapa sesi mesyuarat tindakan daerah.

Seperti biasa tiada pihak yang mengambil inisiatif mengatasi masalah yang timbul. Diharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Majlis Daerah Segamat membangkitkan isu itu dalam mesyuarat tindakan daerah.

Baru-baru ini beberapa hari sebelum Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengadakan lawatan ke daerah Segamat, pihak Majlis Daerah telah mengarahkan pekerja memotong rumput di tepi-tepi jalan.

Walaupun rumput yang dimesin itu ibarat mencantas pucuk saja, umpama orang sakit pinggang memotong rumput, bandar Segamat ketika itu dilihat tidak bersemak langsung. Namun, adakah longkang yang tenat tidak diselenggara dan jalan raya juga tidak diturap semula hanya akan diambil tindakan sekiranya wakil rakyat atau menteri diuar-uarkan akan melawat daerah ini?

Diharap pihak Majlis Daerah, Jabatan Kerja Raya serta JPS dapat bekerjasama memastikan bandar Segamat ini sentiasa berada dalam keadaan ceria dan segar menepati asal usul namanya iaitu 'Segar Amat'.

Semua pihak harus bekerjasama menjaga kebersihan dan alam sekitar dengan cara masing-masing. Jangan adakan gotong-royong hanya ada wakil rakyat atau menteri datang sahaja.

ANAK JATI SEGAMAT.

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:40 AM

utusan


TERBAKAR

http://www.utusan.com.my/pix/2010/1214/Utusan_Malaysia/Johor/wj_04.1.jpg
LONGGOKAN sampah-sarap dan dahan kayu terbiar tanpa sebarang tindakan di Jalan Sutera 1, Johor Bahru.



Tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah-sarap dan membakar pokok dan dahan kayu di Jalan Sutera 1, Johor Bahru amat dikesalkan.

Ia bukan sahaja menyakitkan mata yang memandang malah turut mencemarkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

Diharapkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan kawasan tersebut dengan kadar segera.

PBT juga diharap dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang sengaja mencemar alam sekitar itu berdasarkan bidang kuasa yang diberikan kepada mereka.

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:40 AM

utusan

Bina taman tema di Kota Tinggi

Oleh LUQMAN HAZIQ
utusanjohor@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/1214/Utusan_Malaysia/Johor/wj_05.1.jpg
Abdul Ghani Othman mendengar taklimat kampus induk Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor daripada Shahir Nasir (tiga dari kanan) di Kota Tinggi, baru-baru ini.



KOTA TINGGI 13 Dis. - Selepas berjaya menarik pelabur membina Taman Tema Legoland di kawasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia, kini kerajaan negeri bersetuju memberi hak eksklusif kepada sebuah syarikat antarabangsa untuk membangunkan sebuah lagi taman tema di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, syarikat antarabangsa itu diberi tanah seluas 400 hektar untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Syarikat ini akan diberi masa enam bulan untuk mengemukakan cadangan mengenai konsep taman tema tersebut kepada kerajaan.

"Projek ini akan menekankan kepada aspek kehijauan dan persekitaran. Bagi fasa pertama, seluas 20 hektar akan dibangunkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan upacara pecah tanah tapak Kampus Induk Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) di ladang kelapa sawit milik YPJ Holdings di Kilometer 16, Jalan Kota Tinggi-Kulaijaya di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang dan Timbalan Pengerusi Eksekutif YPJ Holdings, Datuk Dr. Shahir Nasir serta Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Alim Abdul Shukor.

Abdul Ghani berkata, lokasi taman tema berkenaan terletak bersebelahan dengan kampus induk KPYPJ itu.

Menurutnya, sekiranya projek tersebut menjadi kenyataan, ia mampu menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor, khususnya ke Kota Tinggi dan Kulaijaya.

"Ia juga mampu merancakkan pembangunan dan sektor ekonomi di kawasan ini," katanya.

Bagaimanapun, Menteri Besar enggan mengulas lanjut mengenai projek itu atau mendedahkan syarikat antarabangsa yang diberi hak eksklusif membina taman tema berkenaan.

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:41 AM

utusan

PDRM kutip RM1.5 juta saman trafik

http://www.utusan.com.my/pix/2010/1214/Utusan_Malaysia/Johor/wj_06.1.jpg
ORANG RAMAI memenuhi kaunter semakan bagi menyelesaikan saman trafik di Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 13 Dis. - Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan berjaya mengutip hampir RM1.5 juta saman trafik sejak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kadar munasabah dengan insentif 50 peratus diskaun, bermula 1 Disember lalu sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polisnya, Supritendan Mohd. Zainal Baharom berkata, pihaknya turut mencatat pertambahan luar biasa mereka yang ingin membayar saman iaitu dengan purata 500 hingga 600 orang sehari pada waktu bekerja.

"Setakat semalam, sebanyak RM1,488,410 saman trafik berjaya dikutip. Kaunter bayaran dibuka mulai 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja.

"Kita juga buka kaunter mulai pukul 9 hingga 11 pagi pada setiap Sabtu dan Ahad untuk memberi peluang kepada orang ramai membayar saman mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, selain kaunter bayaran di pejabat cawangan trafik berkenaan, orang ramai boleh menjelaskan saman masing-masing di pejabat pos atau membuat bayaran menerusi laman web www. myeg.com.my.

"Bagi yang ingin menjelaskan saman mereka di pejabat pos, mereka perlu membawa bersama cetakan butiran saman tersebut daripada pejabat trafik berkenaan.

"Mereka juga akan mendapat potongan sehingga 50 peratus seperti yang diumumkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, tinjauan di cawangan trafik tersebut kira-kira pukul 11 pagi mendapati ramai yang sedang menunggu giliran untuk menjelaskan saman masing-masing.

Malah, ramai yang sanggup berdiri apabila kerusi disediakan telah dipenuhi orang ramai.

Bagi memudahkan urusan, pihak cawangan trafik berkenaan memberikan nombor giliran kepada orang ramai.

selimutpurple Publish time 14-12-2010 11:42 AM

utusan

20 veteran tentera dianugerah PJM

http://www.utusan.com.my/pix/2010/1214/Utusan_Malaysia/Johor/wj_08.1.jpg
TAHIR Taat (dua dari kanan) bersalaman dan beramah mesra dengan veteran tentera di Pagoh, Muar, baru-baru ini.



MUAR 13 Dis. - Seramai 20 veteran tentera yang pernah menyumbangkan bakti semasa operasi menentang komunis dahulu, diberikan penghargaan dengan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Seri Pekembar Pagoh di sini, kelmarin.

Majlis penyampaian pingat kepada veteran di kalangan warga Johor itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Zulkilfee Mazlan.

Pada majlis yang sama, sumbangan kebajikan turut disalurkan kepada veteran-veteran tentera yang cedera dalam operasi, veteran kurang upaya, balu veteran serta anak-anak yatim.

Hadir bagi merasmikan majlis penyampaian tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat dan turut diiringi Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar, Shamsuddin Rais.

Turut berlangsung pada program itu adalah Majlis Dialog Bersama Ketua Pengarah JHEV dan Pameran Memperkasakan PBTM-Muar.

Sementara itu, Tahir dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana golongan bekas anggota tentera tetap memberi perkhidmatan kepada masyarakat biarpun bukan lagi bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

"Daripada apa yang saya lihat, ramai daripada veteran tentera menyambung khidmat bakti mereka kepada masyarakat dengan menjadi ketua kampung, imam masjid dan pimpinan masyarakat.

"Ternyata, latihan dan disiplin dalam perkhidmatan tentera itu tidak hilang begitu sahaja malah bakti terus dicurahkan sehingga ke akhir hayat," katanya.

Jelas beliau, jasa pasukan keselamatan negara sememangnya perlu diberi penghargaan sewajarnya kerana sejarah membuktikan peranan pasukan itu dalam membela dan mempertahankan kemerdekaan negara.

"Ini adalah satu sejarah yang tidak boleh dipadam oleh mana-mana pihak dan ATM telah membuktikan bahawa ia bukan sahaja menjaga keselamatan negara malah turut berbakti di negara-negara luar yang mengalami konflik," katanya.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:28 AM

kosmo


'Pulanglah, emak terlalu rindukan Hanum'

http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2010/1217/Kosmo/Negara/ne_08.1.jpg
FATIMAH mencium pakaian Hanum (gambar kecil) untuk menghilangkan rindu di rumahnya di Endau, Mersing semalam.



MERSING - "Pulanglah Hanum, emak sudah puas mencari dan tak tahan lagi menanggung rindu."

Demikian rayu Fatimah Rasid, 55, ibu kepada Nur Farah Hanum Abdul Aziz, 16, atau lebih dikenali sebagai Hanum yang melarikan diri dari rumah di Endau di sini sejak 24 November lalu.

Fatimah berkata, sejak berita mengenai kehilangan anaknya disiarkan Kosmo! pada 3 Disember lalu, banyak maklumat diterima dan pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan solat hajat, namun sehingga kini Hanum masih belum ditemui atau pulang ke pangkuannya.

"Kali terakhir saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Hanum kira-kira seminggu lalu tetapi tidak menyatakan di mana dia berada," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga sedia memaafkan Hanum dan melupakan kejadian dia menghilangkan diri dari rumah.

Katanya, sekiranya anaknya itu mempunyai masalah, mereka sekeluarga sedia berbincang dan membantu Hanum menyelesaikannya.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:29 AM

utusan

Membina bandar raya terhebat

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
editjohor@utusangroup.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/1217/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
PARA pekerja pertandingan memasang bata sempena Kempen Kualiti, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar 2010 di Nusajaya, kelmarin.



NUSAJAYA 16 Dis. - Sektor pembinaan merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, berbilion ringgit diperuntukkan supaya ia berkembang pesat dan terus menjadi teras pembangunan negara sekali gus memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Sebagai pemacu utama Iskandar Malaysia, Nusajaya yang dimajukan oleh UEM Land Holdings Berhad (UEM Land) bakal dibangunkan sebagai bandar raya serantau.

Dalam erti kata lain, Nusajaya akan dibangunkan menjadi bandar raya terhebat di rantau Asia Pasifik dengan menyediakan pelbagai peluang pelaburan, kewangan dan perniagaan kepada usahawan tempatan dan antarabangsa.

Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, UEM Land sentiasa menekan dan memastikan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan menepati piawaian yang ditetapkan bagi persekitaran yang sihat dan selamat.

Sejajar itu, UEM Land sering mengadakan kempen keselamatan untuk para pekerja dan terbaru seramai 156 peserta daripada kalangan kontraktor dan pekerja binaan menyertai Kempen Kualiti, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sektiar 2010.

Kempen dua hari yang merupakan acara tahunan itu bertujuan memupuk sikap prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan untuk menghasilkan budaya kerja sihat dan selamat bagi pekerja di Nusajaya.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Kempen Kualiti, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar 2010, Sohailah Yahya berkata, kempen kali ini yang memasuki tahun ketiga memberi tumpuan pada aktiviti pekerjaan semasa.

Beliau berkata, pendekatan itu dibuat sebagai usaha memupuk dan menggalakkan hasil kerja bermutu, pengalaman sistem kerja selamat dan sihat serta mengelak projek yang diadakan merosakkan alam sekitar di tempat kerja.

"Selain itu, kempen ini juga merupakan platform UEM Land untuk menghargai sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, khususnya juruperunding, kontraktor dan pekerja.

"Menjadi tekad kami untuk mempromosi dan membudayakan amalan pekerjaan sihat dan selamat terutama di tapak binaan," katanya pada majlis perasmian kempen berkenaan disempurnakan Pengarah Projek Nusajaya UEM Land, Zulkifli Tahmali Yusof Tahmali, semalam.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, UEM Land telah melaksanakan pelbagai proses pemeriksaan, penilaian, pengawasan dan pemantauan dalam usaha menghasilkan produk berkualiti dalam persekitaran pekerjaan sihat dan selamat.

Sohailah berkata, semangat dan keazaman berterusan serta kerjasama pelbagai pihak dalam mempromosi, membudayakan mutu keselamatan dan kesihatan serta aktiviti perlindungan alam sekitar di tempat kerja membolehkan catatan 7.5 juta jam kemalangan sifar dicatatkan sehingga Oktober lalu.

"Tiada yang mustahil untuk dicapai. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian besar kepada semua pihak dan sekali gus merangsang semangat, moral dan produktiviti golongan pekerja," katanya.

Menurutnya, antara pihak yang terlibat dalam kempen berkenaan adalah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) serta lapan gerai menjual pelbagai peralatan keselamatan.

Eksekutif Pemasaran SL Solution Industrial Supplies di Taman Desa Jaya, Surina Subri, 34, berkata, pihaknya menjual pelbagai peralatan keselamatan seperti respirator penulen haba, perlindungan pernafasan, perlindungan tangan, mata, wajah, kepala, dan telinga, pakaian pelindung serta kasut keselamatan.

"Sebagai pengedar barangan keselamatan di tapak pembinaan, kami amat menitikberatkan aspek keselamatan. Bagi memastikan setiap pekerja mampu memiliki peralatan yang penting semasa bekerja, harga bagi setiap barangan amat berpatutan dan berkualiti," katanya

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:30 AM

utusan

Babi 'serang' sawah padi

Oleh RAHIMAH MOHAMED
utusanjohor@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/1217/Utusan_Malaysia/Johor/wj_02.1.jpg
MOHD. Asri menunjukkan tapak kaki babi hutan yang memenuhi kawasan sawah padi di Kampung Air Papan, Mersing, kelmarin.



MERSING 16 Dis. - Golongan petani di Kampung Air Papan, dekat sini mengeluh kerana tapak sawah terbiar di kampung tersebut kini 'dihuni' kumpulan babi hutan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Kampung, Mohd. Asri Jaafar, 54, berkata, bekas tapak sawah padi seluas enam hektar itu hampir 10 tahun tidak diusahakan.

"Namun, semenjak tahun lalu ia seolah-olah menjadi tempat kumpulan babi hutan terbabit berpesta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, lebih merunsingkan petani, tapak sawah terbiar itu terletak bersebelahan sawah padi yang sedang diusahakan penduduk.

"Babi hutan tersebut bersembunyi di tapak sawah terbiar yang dipenuhi semak dan hanya akan keluar pada waktu malam untuk menceroboh kawasan sawah padi sedia ada," katanya.

Seorang petani, Jamaluddin Ahmad, 42, memberitahu, kumpulan binatang tersebut sering memusnahkan tanaman padi yang diusahakan oleh penduduk kampung.

"Kami minta supaya jabatan atau pihak yang berkaitan membantu menangani masalah ini kerana kumpulan babi tersebut telah memusnahkan hasil pendapatan kami," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan sawah itu turut mendapati banyak kesan tapak kaki binatang berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Esah Yangga, 42, mengakui sedih apabila banyak pokok padinya musnah kerana dipijak kumpulan babi berkenaan.

"Eloklah sekiranya pihak yang bertanggungjawab seperti Perhilitan dan Pejabat Tanah Mersing turun membuat siasatan dan sekali gus mengambil tindakan segera agar masalah ini dapat diatasi," katanya.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:31 AM

utusan

Penduduk lima pulau dapat bekalan makanan

MERSING 16 Dis. - Sebanyak 2,004 kilogram (kg) beras merupakan antara bekalan makanan yang dihantar kepada 608 penduduk di lima buah pulau di perairan di daerah ini selepas mereka terputus hubungan dengan tanah besar akibat musim tengkujuh.

Setiausaha Jawatankuasa Banjir Daerah Mersing, Mohd. Radzi Mohd. Amin berkata, bekalan makanan yang diuruskan oleh jawatankuasa itu menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah dengan kerjasama Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu telah dihantar kepada penduduk di Pulau Aur, Pemanggil, Tinggi, Sibu dan Sibu Besar.

Selain beras katanya, turut dihantar adalah tepung, minyak masak dan ikan sardin serta barangan keperluan harian lain.

Katanya, daripada jumlah itu Pulau Pemanggil menerima 455 kg beras untuk diagihkan kepada 134 orang, Pulau Aur 285 kg (82 keluarga) dan Pulau Tinggi menerima 545 kg (182 keluarga).

Pulau Besar dan Pulau Sibu, masing-masing menerima bekalan beras sebanyak 214 kg dan 505 kg untuk penduduk seramai 50 dan 160 orang.

Mohd. Radzi yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah berkata, bekalan itu hanya untuk sementara waktu dan sekiranya musim tengkujuh berlarutan, pihaknya akan menghantar bekalan makanan susulan supaya penduduk tidak terputus bekalan makan.

"Kami berharap bekalan yang diagih-agihkan itu dapat menampung keperluan mereka yang tinggal di pulau-pulau perairan Mersing untuk sementara waktu," katanya.

Menurutnya, beberapa perkampungan Orang Asli di Ulu Sungai Endau termasuk Kampung Peta, Punan, Tanah Abang dan Tanjung Tuan turut menerima bantuan bekalan makanan yang sama sekiranya berlaku musim tengkujuh.

"Bekalan makanan harian dihantar kerana kebimbangan berlaku banjir dan terputus hubungan kerana kedudukan perkampungan tersebut terlalu jauh dengan pekan," katanya.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:31 AM

utusan
ACARA TAHUNAN

http://www.utusan.com.my/pix/2010/1217/Utusan_Malaysia/Johor/wj_04.1.jpg
ABDUL Halim Sulieman (dua dari kanan) mengacau bubur asyura sempena sambutan 10 Muharam 1432 di Masjid Jamek Kangkar Tebrau, Johor, kelmarin.



Seperti tahun-tahun sebelum ini, ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kangkar Tebrau, Johor Bahru mengadakan gotong-royong memasak dua periuk besar bubur asyura sempena 10 Muharam dalam kalendar Islam, semalam.

Aktiviti memasak bubur berkenaan diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman yang bersama-sama mengacau bubur berkenaan.

Abdul Halim mengakui aktiviti tersebut yang dianjurkan sejak sekian lama mampu merapatkan hubungan masyarakat di kariah berkenaan.

Ketua tukang masak, Tuminah Tapa, 75, memberitahu, resipi membuat bubur asyura berkenaan adalah resipi turun-temurun keluarga yang merupakan penduduk terawal kariah berkenaan.

"Kami guna 30 kilogram (kg) beras, 15 kg daging, 13 kg santan dan pelbagai bahan lain seperti kentang, kerisik, rempah ratus dengan kos kira-kira RM700. ''Kami mula menyediakan bahan dan memasak mulai pukul 8 pagi dan siap 11.30 pagi," katanya sambil memberitahu bubur tersebut akan diagih-agihkan kepada penduduk sekitar selain dijamu kepada jemaah yang mengikut majlis bacaan Yasin pada malamnya.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:31 AM

JPJ keluar 61 notis kepada pemandu bas

JOHOR BAHRU 16 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mengeluarkan 61 notis terhadap pemandu bas di bandar raya ini dalam satu operasi di Jalan Skudai, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, Abdullah Hashim berkata, notis itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan pemandu diberi tempoh 10 hari untuk menyelesaikannya.

"Jika dalam tempoh 10 hari itu pemilik bas terbabit gagal mematuhi notis yang dikeluarkan, contohnya jika tayar botak tetapi masih tidak menukarnya, kita akan kenakan saman.

"Kesalahan paling berat adalah bas beroperasi di luar kawasan iaitu 14 kes, cukai jalan tamat tempoh (2) dan tidak memiliki tanda tiga segi (2)," katanya pada Operasi Bas Henti-henti itu, di sini.

Menurutnya, antara kesalahan lain adalah mengeluarkan asap hitam, pintu kecemasan tidak berfungsi, cermin di bahagian penumpang retak, melanggar syarat permit dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

Beliau berkata, operasi berkenaan melibatkan 15 anggota JPJ dan enam kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) negeri bermula pukul 3.30 petang dan berakhir dua jam kemudian.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:32 AM

Meriahkan seni budaya di Dataran Sg. Rengit

JOHOR BAHRU 16 Dis. - Orang ramai dijemput memeriahkan Program Merakyatkan Seni Budaya yang akan berlangsung di Dataran Sungai Rengit, Pengerang Sabtu ini.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Tinggi, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Majlis Kebudayaan Negeri dan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat.

JKKN Johor dalam kenyataan akhbar memberitahu, program berkenaan bertujuan mengamal dan mengekalkan semangat gotong-royong dan kerjasama di kalangan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang diadakan.

Antara aktiviti yang dianjurkan pada program yang bermula pukul 8 pagi adalah senam seni Malaysia bersama penduduk, pameran jabatan dan agensi kerajaan, jualan industri kecil sederhana dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.

selimutpurple Publish time 17-12-2010 11:35 AM

metro

Hadiah menarik buat si cilik

      

KLUANG: Pemenang pertandingan mewarna Pameran Foto sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Harian Metro di Aras 2, Kluang Mall di sini, membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bakal membawa pulang pelbagai hadiah menarik sumbangan Zyla Enterprise.

Pengasas Zyla Enterprise, Ramlee Omar berkata, sumbangan berbentuk hamper itu diberikan khas buat kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna dan berharap ia bukan setakat menggembirakan peserta malah memeriahkan lagi pameran berkenaan.


“Sebaik mendapat tahu Harian Metro akan mengadakan pertandingan mewarna lalu memutuskan memberi sumbangan terutama hadiah kepada peserta,” “Kami berharap sumbangan berbentuk hamper dapat memberi semangat kepada peserta untuk lebih bersungguh-sungguh memenangi hadiah ditawarkan,” katanya.


Menurut Ramlee, syarikatnya mengeluarkan lebih 300 jenis kuih tradisional dan antara produk paling digemari pelanggan ialah bar coklat, kek cawan dan pelbagai lagi.


Ramlee berkata, kilang dan bilik pameran produk jualan Zyla Enterprise terletak di Jalan Bahagia 1, Taman Bahagia, Ayer Hitam.

selimutpurple Publish time 18-12-2010 09:40 AM

kosmo

Simbahan asid lelaki cemburu

Oleh NASRI JAMALUDIN dan FARIK SALLEH
berita@kosmo.com.my

http://www.kosmo.com.my/kosmo/pix/2010/1218/Kosmo/Negara/ne_04.1.jpg
TUMINAH menunjukkan telefon bimbit yang memaparkan imej Nur Ain yang kini koma selepas ditikam sebanyak 19 kali dan disimbah cuka getah oleh seorang lelaki di Kota Tinggi kelmarin.


KOTA TINGGI – Perasaan cemburu yang meluap-luap seorang lelaki terhadap seorang wanita yang dikatakan keluar dengan lelaki lain sampai ke kemuncaknya apabila dia bertindak menikam mangsa bertubi-tubi dengan sebilah pisau dan menyimbah tubuhnya dengan cuka getah kelmarin.

Kejadian pukul 9.15 pagi itu berlaku di rumah mangsa di Kampung Baru Sungai Redan di sini.

Ekoran itu, Nur Ain Ashikin Jemedi, 17, koma apabila badannya melecur hampir 70 peratus akibat terkena cuka tersebut manakala beberapa bahagian tubuhnya termasuk di kiri dan kanan punggung, belakang badan, kedua-dua belah tangan dan paha ditikam sebanyak 19 kali.

Mangsa kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh anak angkat keluarga mangsa berusia 42 tahun yang dikatakan tidak dapat menerima hakikat bahawa cintanya ditolak selain cemburu.

selimutpurple Publish time 18-12-2010 09:41 AM

utusan

Program bertemu rakyat

Oleh LUQMAN HAZIQ
utusanjohor@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/1218/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
ABDUL Ghani Othman (kanan) berbual dengan penduduk semasa membuat lawatan ke Parlimen Tebrau di Puteri Wangsa, baru-baru ini.



JOHOR BAHRU 17 Dis. - Ada yang kata walkabout dan ada juga yang selesa dengan istilah turun padang. Namun, apa juga istilah yang digunakan, matlamatnya tetap sama iaitu untuk mendekatkan diri dengan kumpulan sasaran khususnya masyarakat.

Justeru, menyedari pentingnya hubungan erat dengan masyarakat, ramai pemimpin di peringkat negeri atau negara melakukan program turun padang khususnya di kawasan yang diwakili masing-masing.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mentadbir negara lebih setahun lalu, menggunakan pendekatan itu untuk lebih menyelami masalah dan beramah mesra dengan rakyat.

Selain peluang beramah mesra dengan masyarakat, lawatan itu juga membolehkan pemimpin menyelami keadaan sebenar yang berlaku dan membantu penduduk menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman turut mengambil pendekatan sama dengan mengadakan lawatan ke semua 26 kawasan Parlimen di negeri ini sejak awal tahun ini.

Menerusi program turun padang itu, banyak aduan orang ramai diselesaikan segera termasuk permohonan geran tanah, masalah rumah pangsa, peruntukan membina dewan orang ramai, membina atau menaik taraf masjid dan surau serta dapatkan tapak kuil dan tokong.

Pada lawatan itu, Menteri Besar akan mengunjungi masyarakat pelbagai kaum dan tindakan itu mampu memupuk serta mengeratkan lagi jalinan kemesraan antara pemimpin dan masyarakat.

Malah, kehadiran beliau yang melawat 22 kawasan Parlimen antaranya Tanjung Piai, Ledang, Kota Tinggi, Labis, Segamat dan Tebrau amat dinanti-nantikan rakyat.

Walaupun hanya meluangkan masa antara 30 minit atau sejam di sesuatu lokasi, Abdul Ghani mengambil kesempatan itu untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

Ia dapat dilaksanakan dengan lebih cepat apabila terus dirujuk kepada pegawai di jabatan atau agensi yang berkaitan untuk tindakan lanjut.

Malah, kehadiran Menteri Besar diakui amat 'membantu' wakil rakyat di kawasan berkenaan mendapatkan perhatian segera pihak berkenaan.

Abdul Ghani semasa ditemui sempena lawatan ke kawasan Parlimen Tenggara baru-baru ini memberitahu, program tersebut akan diteruskan pada tahun depan.

Beliau berkata, lawatan tersebut memudahkannya menyelesaikan masalah serta aduan masyarakat dengan segera dan menyelami kehidupan penduduk setempat.

"Pada tahun depan, saya akan selesaikan program ini di empat lagi kawasan Parlimen yang belum sempat dilawati tahun ini.

"Dengan aktiviti turun padang begini, banyak masalah dapat diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan Parlimen Tebrau, Zuraimi Khamis, 32, mengakui program lawatan Menteri Besar ke kawasan Parlimen di seluruh negeri memberi manfaat besar kepada rakyat dan pemimpin masyarakat.

"Rakyat boleh mengutarakan terus masalah mereka kepada Abdul Ghani dan begitu juga wakil rakyat boleh menyampaikan suara rakyat yang disampaikan kepada mereka. Semasa lawatan beliau, banyak masalah yang dapat diatasi segera," katanya.

Bagi Roslee Abdul Rahsid, 44, kehadiran Menteri Besar berjumpa dengan masyarakat mencerminkan pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa turun padang menyelami sendiri kehidupan masyarakat.

"Apabila sering turun padang, pemimpin bukan saja dapat mengetahui masalah dan menyelesaikannya, malah mereka dilihat lebih rapat dan mesra dengan rakyat," katanya.

Pendapatnya disokong rakannya, Rosli Ali, 46, yang berharap semua pemimpin di negeri ini sentiasa mengutamakan agenda pembangunan dan mengambil berat kebajikan masyarakat di kawasan yang diwakili masing-masing.

selimutpurple Publish time 18-12-2010 09:42 AM

utusan

4,400 barangan tiruan dirampas

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/1218/Utusan_Malaysia/Johor/wj_02.1.jpg
Abdul Hamid Abu Bakar menunjukkan sebahagian barangan tiruan yang dirampas di stor Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Kempas, Johor Bahru, kelmarin.



JOHOR BAHRU 17 Dis. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas 4,400 barangan tiruan berjenama bernilai RM157,000 dalam 10 serbuan di bandar raya ini, semalam.

Antara barangan yang dirampas termasuk kasut sukan, kemeja T dan dompet membabitkan jenama seperti Adidas, Nike, Umbro dan Levis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, dalam operasi selama enam jam bermula 10 pagi itu, seramai 25 anggotanya menyerbu beberapa premis di empat lokasi utama.

"Anggota kami yang dibahagikan kepada empat kumpulan menyerbu stor simpanan utama di Masai, pusat beli-belah Plaza Angsana, Giant Taman Suria dan City Square di sini," katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Beliau berkata, operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) itu dijalankan hasil aduan pengeluar barangan asli dan risikan dijalankan selama seminggu.

Menurutnya, barangan tiruan dirampas itu mempunyai kualiti yang baik sehingga dijual pada harga hampir sama dengan barangan asli.

"Barangan tiruan itu dirampas di premis yang menjual pakaian. Ketika ini permintaan terhadap barangan tersebut amat tinggi sempena cuti sekolah dan musim perayaan.

"Dipercayai pihak terbabit membawa masuk barangan tersebut dari China," katanya.

Abdul Hamid berkata, dalam operasi tersebut tiada sebarang tangkapan dibuat namun pihaknya mengambil kenyataan daripada beberapa individu.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Sepanjang tahun ini, kita melakukan 263 serbuan membabitkan barangan tiruan bernilai RM2.9 juta, manakala cetak rompak pula sebanyak 112 kes dengan nilai RM1.1 juta," katanya.

selimutpurple Publish time 18-12-2010 09:43 AM

utusan

Puspen rawat 94 pesakit ketagihan dadah

LEDANG 17 Dis. - Program Cure & Care Klinik 1Malaysia yang beroperasi di Tampoi, Johor Bahru sehingga kini menerima seramai 94 pesakit untuk mendapatkan rawatan pemulihan dadah secara sukarela.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, perkembangan tersebut amat positif memandangkan klinik pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tampoi itu baru beroperasi Oktober lalu.

"Kewujudan Cure & Care Klinik 1Malaysia ini bagi menyediakan alternatif rawatan dan pemulihan kepada seluruh warga Malaysia yang ketagihan dadah.

"Tanpa dikenakan sebarang prasyarat dan prosedur undang-undang, pelanggan sentiasa dipelawa ke pusat ini secara sukarela untuk didaftarkan dalam proses penilaian dan kemudiannya mendapatkan rawatan berdasarkan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Kecemerlangan Penghuni Puspen Muar di Sengkang, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Sidek Jaffar; Komandan Puspen Muar, Mohd. Said Muharam dan Pengerusi Lembaga Pelawat Puspen Muar, Dr. Kamarudin Md. Tahir.

Hingga kini, konsep Puspen terbuka itu dilaksanakan di enam lokasi selain Tampoi iaitu Sungai Besi (Kuala Lumpur), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Kuching (Sarawak), Papar (Sabah) dan Kota Bharu (Kelantan).

Robia berkata, program Cure & Care diperkenalkan sejajar dengan keperluan dan trend penagihan dadah masa kini yang menjadi semakin kompleks serta mencabar.

"Saya berharap, penagih akan ambil peluang ini kerana rawatan yang diberikan adalah percuma dan mengikut keperluan mereka.

"Selain itu, ibu bapa yang mempunyai anak yang menagih dadah juga boleh gunakan perkhidmatan ini," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Robia memuji semangat dan dedikasi pelatih Puspen dalam menjayakan pelbagai aktiviti kebudayaan dan sukan sempena minggu kecemerlangan berkenaan.

"Saya dimaklumkan, penglibatan penghuni dalam program ini bertujuan mencungkil bakat dan beri peluang kepada mereka untuk lebih yakin kepada diri sendiri.

"Saya berharap pelatih akan memiliki jati diri untuk meninggalkan segala tabiat buruk dan menjauhkan diri daripada dadah pada masa depan agar tidak memusnahkan harapan keluarga selama ini," katanya.
Pages: 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 [18] 19 20 21 22
View full version: Keratan Akhbar / Petikan Berita


ADVERTISEMENT