king\'s Publish time 23-5-2010 08:13 PM

berita harian online

'Pembangunan kesejahteraan rakyat diteruskan'


2010/05/23
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meneruskan pelbagai pembangunan kesejahteraan rakyat yang mencakupi pelbagai golongan, terutama yang berpendapatan rendah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di penempatan semula perkampungan Melayu Iskandar Malaysia, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini, semalam, Perdana Menteri berkata, setiap pembangunan itu perlu inklusif sejajar dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE). “Apa kita boleh tolong, kita tolong. Yang penting adalah kesejahteraan. Kita tidak mahu rakyat berpendapatan rendah teraniaya. Kita bagi pinjaman mikro kredit, biasiswa, pinjaman pendidikan dan sebagainya supaya rakyat terbela,” katanya. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Najib berkata, projek perumahan yang disediakan kerajaan juga bukan hanya memberi keselesaan, malah perlu diselenggara dengan baik supaya kehidupan rakyat lebih berkualiti.

Beliau berkata, bukan hanya tanggungjawab kerajaan, penduduk PPR pula harus menjaga kemudahan yang disediakan dengan tidak menjadikan kawasan penempatan baru sebagai kawasan setinggan moden.

Perdana Menteri berkata, semua penduduk perlu memikirkan kesejahteraan hidup masing-masing, terutama tidak menyalahgunakan kemudahan lif yang disediakan.

king\'s Publish time 23-5-2010 08:14 PM

berita harian online

Persekitaran kondusif pikat profesional


2010/05/23
NUSAJAYA: Perdana Menteri berkata, kehilangan tenaga kerja profesional tempatan ke negara luar serta pentingnya Malaysia mempunyai persekitaran kondusif bagi menarik golongan profesional luar negara menjadi fokus utama kerajaan dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE).

Berucap melancarkan portal MYWorklife di Puteri Harbour di sini, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan ketika ini 77 peratus tenaga kerja tempatan cuma memiliki Sijil Pelajaran Malaysia dan ia tidak menepati aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020. Pada masa sama, katanya, Malaysia perlu mempunyai daya saing global yang tinggi untuk bersaing dengan negara maju dan ia hanya boleh dicapai jika negara mempunyai keseimbangan dari segi pertumbuhan ekonomi serta tenaga kerja profesional. “Jika kita tidak merapatkan jurang pendidikan, Malaysia tidak akan mempunyai kumpulan tenaga kerja profesional tempatan berpengetahuan tinggi serta bersedia untuk bekerja dengan industri berkemahiran tinggi yang sedang dibangunkan kerajaan.

Sementara itu, berucap di hadapan lebih 5,000 orang ramai yang membanjiri tengah pusat bandar ini malam tadi, Najib mengumumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk membersihkan Sungai Segget di tengah-tengah bandar raya ini, bagi membolehkan pembangunan ala ‘Venice’ dilaksanakan.

Najib yang mengadakan tinjauan mesra selama dua jam dengan berjalan kaki untuk beramah mesra serta meninjau peniaga Pasar Karat di tengah pusat bandar, berkata, peruntukan berkenaan akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat.

king\'s Publish time 23-5-2010 08:16 PM

berita harian online

PM minta kemelut MIC diselesai segera
Oleh Mohd Zin Ali, Johan Afandi, Rohaniza Idris, Mohd Azis Ngah, Azida Shaharudin dan Umi Nadirah Abdul Rahman
bminggu@bharian.com.my
2010/05/23
Utamakan peranan pulih keyakinan rakyat

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap kemelut yang sedang berlaku dalam MIC dapat diselesaikan segera. Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata kemelut dalam MIC kini semakin hangat kerana ramai dalam kalangan pemimpin parti terbesar kaum India itu yang berpendapat perlu berlaku perubahan dalam kepemimpinan tertinggi parti. "Perkara ini harap dapat diselesaikan oleh MIC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di Lapangan Terbang Senai di sini, semalam.

Beliau berkata, apa yang penting ialah MIC sebagai sebuah parti komponen BN perlu turut memainkan peranannya untuk meyakinkan rakyat supaya menyokong parti pemerintah.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kemelut yang berlaku dalam MIC ketika ini yang menyaksikan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan dipecat berikutan desakannya agar presiden parti Datuk Seri S Samy Vellu melepaskan jawatannya dengan segera.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta MIC menyelesaikan segera masalah dan kemelut melanda parti itu supaya ia tidak menjejas dan melemahkan jentera BN.
Katanya, beliau tidak mahu kemelut itu menyebabkan parti berkenaan berpecah kerana ia akan melemahkan kedudukan BN yang semakin baik sambutannya daripada rakyat.

“Saya berharap kepemimpinan MIC dapat menangani apa saja masalah dalaman mereka kerana saya lihat MIC tidak bergolak sangat. Ada satu dua perkara berbangkit, masalah tertentu dalam parti jadi saya yakin kepimpinan sedia ada parti itu boleh menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau dalam pertemuan dengan semua parti komponen BN sudah menasihatkan mereka mengelak berhadapan dengan isu baru yang boleh menggugat kedudukan parti.

Sementara itu, ditanya sama ada BN bersedia menghadapi pilihan raya negeri Kedah jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan, katanya BN tidak mahu membuat sebarang pendirian berhubung isu berkenaan.

hh_hs Publish time 24-5-2010 10:17 AM

Harian Metro

Bapa tiri cabul, bapa kandung rogol

2010/05/24      KOTA TINGGI: Tindakan seorang ibu di Sabah menghantar anak daranya ke pangkuan bapa kandungnya di Masai di sini, berikutan cubaan suami barunya itu mencabul remaja berkenaan, umpama menghantar anak sulungnya ke mulut harimau, apabila anak gadisnya itu dirogol bekas suaminya dua kali dalam kejadian berasingan, April lalu.

Malah, dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, bapa kandung remaja berusia 18 tahun itu dikatakan sudah menyarung kondom selain meletakkan pelincir dipercayai untuk ‘meratah’ anak gadisnya itu, tetapi mangsa diselamatkan sepasukan polis yang menyerbu hotel berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki yang bekerja kilang di Masai itu cuba merogol anaknya untuk kali ketiga sebelum polis menyerbu masuk bilik hotel yang disewa mereka.

Difahamkan, suspek berasal dari Sabah bercerai dengan ibu mangsa ketika mereka tinggal di Sabah semasa mangsa berusia 8 tahun. Mangsa dan adik lelakinya tinggal bersama ibunya di Sabah, manakala suspek berhijrah dan bekerja di sebuah kilang di Johor.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila bapa tiri mangsa cuba mencabulnya Mac lalu, menyebabkan ibu mangsa menghantar remaja itu ke Johor untuk tinggal bersama bapanya di Masai. Malangnya, ketika tidur di rumah bapanya itu pada 5 April lalu, mangsa dirogol pada kira-kira jam 1 pagi, sebelum dirogol kali kedua 14 April lalu di sebuah hotel di Johor Bahru selepas gagal berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (Johor Bahru).

Dalam kejadian terbaru, dua beranak itu pergi menguruskan dokumen diri mangsa di JPN Johor Bahru sebelum lelaki itu mengajak anaknya ke daerah ini dengan alasan mencari pekerjaan.

Apabila tiba di sebuah hotel, mangsa yang curiga dengan kelakuan bapanya yang asyik memegang kemaluannya, meminta suspek membelikan makanan dan ketika lelaki berusia 37 tahun itu keluar, mangsa menghubungi sepupunya di Skudai dan meminta diselamatkan.

Sepupu mangsa menghubungi kenalannya yang juga anggota polis negeri ini yang menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi untuk mendapatkan bantuan.

Sebaik menerima maklumat lokasi sebenar hotel, sepasukan polis diketuai Ketua Unit Cawangan Pegawai Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat menyerbu bilik suspek di hotel berkenaan.

king\'s Publish time 24-5-2010 02:49 PM

Post Last Edit by king\'s at 24-5-2010 14:55

utusan online

Keunikan seni pembuatan angklung

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
editjohor@utusangroup.com.my

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0524/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg


Tumian Muridan menggunakan mini keyboard untuk menghasilkan bunyi yang tepat bagi setiap batang buluh sebelum dijadikan angklung.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 23 Mei - Angklung adalah antara alat muzik yang mudah untuk dimainkan kerana si pemain hanya perlu menggoyangkan alat tersebut bagi menghasilkan bunyi.

Bunyi terhasil daripada hantukan atau perlanggaran buluh-buluh yang bergetar dalam susunan nada dua, tiga hingga empat nada dalam setiap ukuran sama ada besar atau kecil.

Mungkin ramai yang biasa menyaksikan pemuzik bermain angklung secara solo atau berkumpulan tanpa mengetahui bagaimana rangka-rangka buluh itu dibuat.

Utusan Malaysia baru-baru berjaya menjejak pembuat angklung iaitu Tumian Muridan, 55.

Tumian yang mesra dengan panggilan Abang Joe di kalangan penduduk Kampung Jaya Sepakat Baru, Batu 13, Skudai, Johor mengakui membuat angklung tidak semudah memainkan alat muzik itu.

Justeru, bagi orang luar seperti penulis dan jurugambar, soalan pertama yang ditanya kepada Abang Joe adalah apa relevannya buluh mini keyboard yang terdapat di sampingnya itu.

Soalan itu itu diutarakan kerana timbul perasaan hairan apabila menyaksikan Abang Joe meraut lubang buluh dan kemudian mengetuk buluh tersebut di atas setongkol kayu sambil tangan kirinya bermain mini keyboard.

"Sudah kerap kali saya mendengar soalan yang sama. Semua hairan apabila melihat saya mengetuk-ngetuk buluh kemudian mainkan mini keyboard ini.

"Saya perlu berbuat begitu kerana itulah caranya saya menala (menentukan bunyi) angklung. Ketika itu, telinga perlu tajam untuk mendengar ketukan buluh itu sama ada ia senada atau tidak dengan petikan mini keyboard," ceritanya.

Abang Joe berkata, semasa membuat penalaan, dia perlu berada dalam keadaan tenang kerana kemuncak menghasilkan angklung adalah ketika mencari penalaan yang tepat.

Menurutnya, jika angklung disiapkan tanpa mempedulikan penalaan, maka ia tidak boleh diguna dan perlu dibuat semula.

"Sebab itulah sukar untuk saya mendapat bantuan daripada orang lain. Kalau mereka nak bantu pun setakat meraut bilah buluh, apabila tiba bahagian bunyi, saya yang buat sendiri sebelum memasangnya," katanya.

Selain menitikberatkan soal penalaan, angklung tidak seperti alat muzik lain yang boleh dihasil dalam pelbagai warna untuk mendapatkan kelainan.

Menurutnya, sekiranya buluh-buluh tersebut disapu cat, bunyi asalnya akan hilang dan ia akan mencacatkan nada angklung.

"Memang cantik kalau dicat tapi bagi alat muzik angklung perlu mengekalkan warna asal buluh. Kalau nak cantik pun cat disapu pada tiang sahaja.

"Cukuplah sekadar sapu pengilat bagi mengelaknya daripada bubuk," katanya yang bertugas di Kompleks Belia dan Sukan di sini.

Menurut Abang Joe yang mendapat bekalan buluh dari Batu Pahat, hanya buluh semantan dan buluh hitam sahaja yang sesuai untuk dibuat angklung.

Sebelum dibuat angklung, Abang Joe perlu mengambil masa selama enam bulan untuk mengeringkan buluh yang telah ditebang.

Katanya, selepas ditebang, buluh-buluh tersebut perlu diletak untuk jemuran di tempat redup dan kemudian direndam dengan soda selama seminggu.

"Sejak awal saya memang dapat bekalan dari Batu Pahat kerana di sana sudah sedia ada pokok buluh yang tumbuh meliar. Saya juga ada menanam buluh di belakang rumah.

"Apabila tanam sendiri barulah tahu, buluh mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk matang sebelum sesuai ditebang untuk dibuat angklung," ceritanya yang bermula sebagai pemain angklung ketika usia 15 tahun.

Hingga kini Abang Joe tidak pernah putus bekalan buluh kerana dalam sebulan dia hanya menghasilkan dua set angklung.

Abang Joe pernah menyertai kumpulan angklung Maya Puspita pada tahun 70-an sebagai konduktor muzik dan kini sering diundang untuk menjadi tenaga pengajar di sekolah dan Pusat Rakan Muda Johor.

Menurutnya, satu set angklung yang dihasilkannya dijual dengan harga RM2,800.

Set tersebut mahal kerana di bahagian atas terdapat 15 set angklung dan di bahagian bawah pula 22 set yang semuanya dihasilkan secara manual.

Abang Joe mengakui salah seorang pemimpin negara pernah membeli set angklung buatannya.

king\'s Publish time 24-5-2010 03:16 PM

utusan online

Endau-Rompin destinasi ekopelancongan

Oleh HAMDAN TAWADI
editjohor@utusangroup.com.my

KLUANG 23 Mei - Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Taman Negara Endau-Rompin sebagai sebahagian daripada destinasi ekopelancongan utama di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kajian sedang dijalankan untuk membangunkan kemudahan pelancongan di kawasan hutan hujan berusia hampir 300 juta tahun itu.

Menurutnya, Johor turut berhasrat menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Pahang memandangkan sebahagian daripada Taman Negara Endau-Rompin berada di kawasan negeri tersebut.

"Pada mesyuarat saya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak beberapa minggu lalu, beliau ada menyebut mengenai perkara ini.

"Katanya, kalau hendak dibangunkan eko-pelancongan di Endau-Rompin, jangan dilupakan yang di sebelah Pahang sekali," katanya semasa melakukan lawatan kerja ke kawasan Parlimen Sembrong, di sini baru-baru ini.

Pada lawatannya itu, beliau turut meninjau permasalahan penduduk di kawasan Parlimen tersebut termasuk isu berkaitan hak milik tanah, sistem perparitan dan projek perumahan terbengkalai.

Abdul Ghani berkata, Kahang yang menjadi pintu masuk utama ke taman negara itu bakal menerima 'tempias' daripada pembangunan yang dijalankan dan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) diarah menjalankan kerja-kerja mengindahkan kawasan berkenaan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta untuk projek penambahbaikan di kawasan Kahang.

Katanya, sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk membina semula tapak Dataran Kahang, manakala bakinya untuk membaiki sistem perparitan.

Beliau turut meminta penduduk di Kahang bersiap sedia dengan pembangunan yang bakal berlaku dan merebut peluang yang disediakan.

"Endau-Rompin bakal menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, sama ada dari dalam atau luar negara.

"Saya berharap peniaga dan penduduk di sini dapat menyesuaikan diri dengan pembangunan yang akan berlaku," katanya.

king\'s Publish time 24-5-2010 03:19 PM

utusan online

Jeti Sg. Sarang Buaya Laut diganti baru

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0524/Utusan_Malaysia/Johor/wj_03.1.jpg
RAZALI Ibrahim meniti jeti usang ketika melakukan tinjauan ke jeti nelayan Sungai Sarang Buaya Laut, Muar, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



BATU PAHAT 23 Mei - Jeti Sungai Sarang Buaya Laut yang uzur dan daif di sini akan diganti baru untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada nelayan memunggah hasil tangkapan mereka.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang melawat jeti berkenaan kelmarin memberitahu, setelah kedaifan jeti itu disiarkan media baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar telah mengarahkan agar ia diganti segera.

"Saya datang dan melihat sendiri jeti ini dan saya akui ia memang teruk sangat dan kelulusan telah diperoleh agar jeti ini ditukar segera," katanya.

Beliau berkata, jeti yang uzur itu akan diganti baru tanpa perlu ada permohonan rasmi atau surat aduan kerana ia terlalu mendesak dan memang perlu dilaksanakan segera.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kos dan sama ada ia akan diganti dengan jeti kayu, batu atau konkrit masih belum dapat dipastikan sehingga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membuat spesifikasi mengenai perkara itu.

Namun, apa yang penting jeti baru nanti mesti mampu bertahan lama supaya ia selamat dan selesa digunakan oleh golongan nelayan di situ.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan keluhan kira-kira 40 nelayan di kawasan Semerah yang terpaksa turun ke laut menggunakan jeti Sungai Sarang Buaya Laut yang uzur dan daif.

Malah, lebih membimbangkan apabila ada nelayan yang mengalami luka dan lebam akibat terjatuh semasa memunggah hasil tangkapan masing-masing.

Mereka terpaksa membaik pulih sendiri jeti di tempat bot masing-masing berlabuh menggunakan kayu terpakai yang hanya diikat dengan tali bagi membolehkan mereka memunggah hasil tangkapan.

king\'s Publish time 24-5-2010 03:21 PM

utusan online

Sasar kumpul RM70,000 biayai kos urus sekolah
JOHOR BAHRU 23 Mei - Karnival Sekolah Kanak-kanak Istimewa Johor Bahru (SKIJB) yang berlangsung hari ini dijangka dapat mengumpul kutipan jualan sebanyak RM70,000.

Karnival anjuran Persatuan Bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor yang diadakan setiap tahun itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai kos pengurusan SKIJB.

Yang Dipertua persatuan, Zahariah Abdul Hamid berkata, terdapat 40 gerai jualan dari pelbagai agensi yang berniaga di Dewan Azalea SKIJB mulai 9 pagi hingga 5 petang.

"Ini adalah aktiviti tahunan yang dibuat untuk mengumpul dana persatuan serta menghimpunkan ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

"Pembabitan ibu bapa penting kerana persatuan mahu mereka tahu bahawa mencari tabungan untuk pengurusan sekolah bukanlah mudah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zahariah berkata, penganjuran karnival itu membuktikan bahawa persatuan turut berusaha sendiri mengumpul dana tanpa bergantung 100 peratus kepada kerajaan.

Untuk karnival itu, persatuan telah menjual kupon dan mengedar tabung di sekolah-sekolah sebelum acara berlangsung.

Selain aktiviti jualan, pihaknya turut mendapatkan dana dengan menyewakan dua gelanggang badminton dan dewan kepada orang ramai.

"Alhamdulillah, setakat ini gelanggang badminton mahupun dewan sudah ditempah hingga hujung tahun.

"Untuk menguruskan prasarana sedia ada memerlukan belanja besar dan sebab itu dari semasa ke semasa kami perlu mengadakan aktiviti bagi mengumpul dana selain menerima sumbangan daripada orang ramai, swasta atau kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang merasmikan karnival berkenaan memberitahu, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kebajikan dan pendidikan kanak-kanak istimewa.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan layak mendapat segala peruntukan dan dilayan seperti insan normal.

Osman turut mencadangkan kepada pihak pengurusan sekolah-sekolah istimewa supaya memohon bantuan daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang mempunyai peruntukan untuk membantu pelbagai pihak di kawasan Iskandar Malaysia.

"Memandangkan sekolah ini berada dalam kawasan Iskandar Malaysia, ia layak untuk memohon bantuan daripada IRDA.

"Langkah yang dilakukan SKIJB harus dipuji kerana tidak terlalu bergantung kepada orang lain walaupun mereka boleh mendapat bantuan daripada kerajaan," katanya.

Osman berharap generasi muda tampil memberi sokongan kepada ahli-ahli lama bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan kerana tanpa golongan pelapis dan kerjasama semua pihak, kanak-kanak istimewa atau golongan yang kurang bernasib baik lain tidak mungkin terbela.

king\'s Publish time 24-5-2010 03:23 PM

utusan online

Polis selamatkan lapan wanita, tahan dua lelaki
JOHOR BAHRU 23 Mei - Kecekapan polis berjaya menyelamatkan lapan wanita warga Kemboja dan Indonesia daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dengan penahanan dua lelaki malam tadi.

Kejayaan itu diperoleh pada pukul 8.30 malam, hasil serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan kontinjen Johor di dua buah pusat urut di Jalan Pingai, Taman Pelangi di sini.

Ketua Operasi, Asisten Supritendan Nordin Ibrahim berkata, kesemua wanita berusia 20-an terdiri daripada tujuh wanita warga Kemboja dan seorang rakyat Indonesia.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut menahan lima wanita warga Thailand dan dua wanita China berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1953/1967.

"Dua lelaki yang ditahan itu berusia 28 dan 58 tahun. Siasatan mendapati, premis tersebut menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat 'tambahan' kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Nordin berkata, siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak lima bulan lalu.

Katanya, kedua-dua lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Beliau berkata, kedua-duanya turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit sah dan Seksyen 55E akta sama kerana memberikan perlindungan kepada warga asing.

hh_hs Publish time 25-5-2010 10:16 AM

Utusan Online

Dua kapal asing ditahan di Pengerang
Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0525/Utusan_Malaysia/Johor/wj_04.1.jpg
Dua buah kapal asing yang ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang, Kota Tinggi, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU 24 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili menahan dua kapal asing yang disyaki menjalankan kegiatan pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Penguatkuasanya, Komander Maritim Abdul Hadib Abd. Wahab berkata, kapal tersebut ditahan pukul 3 pagi oleh kapal KM Manjung yang diketuai Leftenan Maritim Mahmad Faizal Ahmad bersama dua pegawai dan 24 anggota ketika melakukan rondaan di perairan itu.

Beliau berkata, ketika ditahan, kedua-dua kapal dalam keadaan mencurigakan iaitu saling berhimpit antara satu sama lain dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak di kedudukan 2.1 batu nautika Selatan Tanjung Ayam.

“Setelah diperiksa, kedua-dua kapal itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

“Kedua-dua kapal itu baru sahaja melakukan aktiviti tersebut dan disyaki sebanyak 10,000 liter minyak telah dipindahkan dari kapal MT Atami Maru ke MT Petrolemix 09,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadib berkata, kapal MT Atami Maru didaftarkan di San Lorenzo, Honduras manakala MT Petrolimex berdaftar di Saigon, Vietnam.

Katanya, terdapat 41 krew terdiri daripada 25 warga Vietnam, 14 Thailand dan masing-masing seorang dari China dan Indonesia berusia antara 20 hingga 53 tahun di atas kedua-dua kapal tersebut.

“Kapten berserta dokumen kedua-dua kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti berkenaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

hh_hs Publish time 25-5-2010 10:20 AM

Utusan Online

1,500 berentap dalam Cabaran Catur Bistari

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0525/Utusan_Malaysia/Johor/wj_06.1.jpg
Pelajar SMK Teknik Johor Bahru menjuarai tempat pertama kategori sekolah menengah Cabaran Catur Bistari Peringkat Negeri Johor, kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU 24 Mei - Seramai 1,500 peserta yang mewakili 250 kumpulan menyertai Cabaran Catur Bistari sempena Ekspo Keusahawan Bistari 2010 di Persada Johor yang berakhir semalam.

Pertandingan anjuran Johor Corporation (Jcorp) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri itu mempertandingkan lima kategori iaitu sekolah rendah, menengah, pra universiti, institusi pengajian tinggi (IPT) dan terbuka.

Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pertandingan tersebut bertujuan mendekatkan generasi muda dengan dunia perniagaan menerusi permainan catur bistari.

"Permainan catur bistari bukan hiburan semata-mata kerana ia mempunyai matlamat sampingan yang bernilai tinggi.

"Selain memperkenalkan asas-asas perniagaan dalam bentuk permainan, ia juga mampu menguji keupayaan diri peserta dan membentuk kecekapan mengatur strategi perniagaan," katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang semalam.

Menurutnya, permainan tersebut juga mampu memupuk kemahiran mengurus kewangan selain membentuk ciri-ciri kecemerlangan usahawan berlandaskan kepada nilai-nilai Islam.

Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik (SMKT) Johor Bahru muncul sebagai johan kategori sekolah menengah dengan kutipan nilai aset sebanyak RM264,126,540.

Mohamad Naquib Morsin, 17, pemenang individu aset tertinggi bagi kategori tersebut berkata, minat mereka bermain catur bistari bermula dari rumah.

"Saya mengenali permainan ini daripada keluarga dan mula mengembangkan minat apabila berjumpa kawan-kawan di sekolah.

"Catur bistari bukan sekadar mainan, ia turut mengasah minda setiap peserta untuk memikirkan cara bagi memastikan perniagaan terus untung," katanya.

Selain Mohamad Naquib, SMKT Johor Bahru turut diwakili Muhammad Aiman Halifi Nasir, Mohamad Shahrul Izwan Azman, Nor Fazrul Mohd. Nor dan Mohd. Asy Syafiq Mohd. Kamal.

Kumpulan Extimy yang diwakili enam sahabat, Zamaroul Jakaria, Nurizzudin Ahmad Hussin, Mohd. Aziziul Hafiz Abdul Sani, Ahmad Faizal Abdul Zaki, Tuan Shahlan dan adiknya, Tuan Safwan Tuan Safie muncul johan kategori terbuka.

Menurut Zamaroul, walaupun menetap di negeri berasingan iaitu di Johor dan Selangor, namun mereka sering menyertai pertandingan catur bistari yang dianjurkan oleh KFC Holdings.

"Masing-masing membuat latihan sendiri dan sehari sebelum pertandingan, kami akan berdiskusi.

Permainan ini menarik kerana ia mencabar peserta untuk mengurus perniagaan sendiri.

"Catur bistari mampu menanam minat pemain untuk terus mengaplikasi apa yang ditimba sewaktu permainan ke dunia perniagaan sebenar dengan kaedah yang hampir sama," katanya yang turut muncul pemenang individu aset tertinggi.

Pemenang lain adalah SMK Adela bagi kategori pra universiti, Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi kategori IPT dan kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Convent Johor Bahru.

hh_hs Publish time 25-5-2010 10:21 AM

Utusan Online

Belia perlu dekati rakyat kurang bernasib baik

JOHOR BAHRU 24 Mei - Golongan belia perlu memainkan peranan membantu kerajaan mendekati masyarakat kurang bernasib baik di negara ini.

Pengerusi Belia Gerakan 4B Johor, Syahrin Md. Jamaludin berkata, golongan muda juga seharusnya menjadi platform kepada masyarakat untuk mengutarakan sebarang masalah yang dihadapi dalam komuniti kepada pihak berwajib.

"Sebagai sebuah pertubuhan kita perlu menjadi jambatan atau pemudah cara kepada masyarakat dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

"Menerusi cara ini, secara tidak langsung kita dapat mengikis persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan golongan remaja dan belia," katanya semasa merasmikan Program Jalinan Mesra 1Malaysia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini hari ini.

Kira-kira 300 penduduk setempat menghadiri program berkenaan dan mereka turut disajikan dengan sarapan pagi seperti nasi lemak, putu mayam, capati serta kuih-muih.

Pada program itu, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pelbagai program sampingan turut diadakan termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, permainan bola jaring dan pertandingan karaoke.

Syahrin berkata, Program Jalinan Mesra 1Malaysia merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya mendekati dan mencari golongan yang memerlukan bantuan dan perhatian khusus daripada pihak kerajaan di negeri ini.

Beliau berkata, penduduk di PPR Desa Mutiara terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan melalui penganjuran program seperti itu, ia dapat mengukuhkan lagi ikatan perpaduan antara penduduk setempat.

"Matlamat penganjuran program ini untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan tiga masyarakat utama iaitu Melayu, Cina dan India," katanya.

hh_hs Publish time 27-5-2010 09:30 AM

Utusan Online

442 penduduk dapat geran tanah

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0527/Utusan_Malaysia/Johor/wj_05.1.jpg
Md. Othman Yusof (kanan) menyampaikan Notis 5A kepada salah seorang penduduk Kukup Laut, Pontian, baru-baru ini. - Utusan/ MUHD ZIKRI
--------------------------------------------------------------------------------

PONTIAN 26 Mei - Penantian sekian lama 442 penduduk di Kukup Laut di sini akhirnya berakhir setelah kerajaan negeri bersetuju memberi mereka geran tanah bagi menggantikan Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Keputusan pemberian hak milik kekal tersebut adalah susulan lawatan yang dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman ke kawasan tersebut pada Februari lalu.

Penerima terdiri daripada 396 kaum Cina dan 26 kaum Melayu yang telah mendiami beberapa perkampungan seperti Kampung Melayu, Kampung Air Masin di kedua-dua Mukim Air Masin dan Serkat.

Majlis penyampaian surat Notis 5A kepada para pemilik tanah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Md. Othman Yusof, di Pekan Kukup laut, di sini kelmarin.

Turut hadir, Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Ahmad Ma'in.

Dalam ucapannya, Md. Othman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonan yang dikemukakan penduduk walaupun terpaksa mengambil sedikit masa bagi mendapat kelulusan.

Katanya, walaupun demikian, kerajaan tetap menunaikan janji kepada penduduk bagi membolehkan mereka tinggal dengan lebih selesa tanpa merasa bimbang tentang status tanah yang diduduki selama ini.

Menurut beliau, ia juga sebagai bukti akan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam membela nasib dan masa depan setiap lapisan penduduk sejajar dengan konsep gagasan 1Malaysia.

"Penyampaian surat Notis 5A adalah bukti bahawa penduduk di Kukup Laut ini akan menerima hak milik kekal setelah pemilik menjelaskan beberapa bayaran yang diperlukan kepada pihak Pejabat Tanah.

"Setelah bayaran tertentu dijelaskan seperti premium tanah, barulah geran tanah dapat dikeluarkan selepas ini," ujar beliau.

Tambah beliau, penyampaian Notis 5A telah menamatkan pelbagai spekulasi pelbagai pihak mengenai pemberian geran kepada para penduduk yang telah menanti begitu lama untuk memperolehi.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk Kukup Laut dapat menjaga kebersihan kawasan persekitaran memandangkan ia merupakan tempat tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negeri.

Katanya, kerjasama dan sokongan semua pihak perlu bagi memastikan Pekan Kukup Laut terus menjadi tumpuan orang ramai sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi negara.

"Sebagai salah satu destinasi utama pelancongan daerah Pontian, kebersihan hendaklah diberikan keutamaan oleh semua pihak termasuk pengusaha restoran dan pemilik rumah penginapan," ujarnya.

hh_hs Publish time 27-5-2010 09:35 AM

Utusan Online

Katrij dakwat tiruan bernilai RM100,000 dirampas

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0527/Utusan_Malaysia/Johor/wj_04.1.jpg
Abdul Hamid Abu Bakar menunjukkan sebahagian katrij pencetak tiruan yang dirampas di Johor Bahru, kelmarin. - Utusan/ RAJA JAAFAR ALI
--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU 26 Mei - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor merampas 4,000 katrij dakwat pencetak pelbagai jenama disyaki tiruan bernilai kira-kira RM100,000 di sekitar Skudai semalam.

Ketuanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan terhadap sembilan premis di Skudai dan sebuah premis di Taman Universiti dekat sini yang disyaki menjadi pembekal kepada para peniaga di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati premis itu beroperasi sejak setahun lalu dan dipercayai menjual bahan berkenaan kepada penuntut universiti dan syarikat-syarikat kecil di kawasan itu.

"Barangan yang dipamerkan adalah tulen dan apabila pengguna bersetuju untuk membelinya, mereka akan menukarkan barangan itu dengan tiruan. Pengguna dapat membezakan ketulenan produk berkenaan kerana ia memiliki logo hologram.

"Barangan itu dijual pada harga antara RM90 hingga RM650 bagi setiap katrij dan harga berkenaan adalah sama seperti harga barang tulen," katanya.

Abdul Hamid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana mengedar barangan berjenama tiruan yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan berkala bagi memastikan kes serupa ditangani secara menyeluruh.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa membeli barangan dan perlu memastikan ia adalah tulen.

hh_hs Publish time 27-5-2010 09:44 AM

Utusan Online

Kembara ke Pagoh, Labis
Oleh ABD. AZIZ ITAR

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0527/Utusan_Malaysia/Hiburan/hi_05.1.jpg
TENGKU Khalidah Tengku Bidin (tiga dari kanan) dan Abdul Razak Jamhury (dua dari kanan) memberi taklimat kepada para peserta Kembara Mingguan Malaysia sebelum mereka berlepas ke Pagoh dan Labis dari ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------

KEMBARA Mingguan Malaysia yang bertujuan menjalin hubungan, permuafakatan serta kerjasama dengan masyarakat setempat diteruskan untuk siri kedua dengan memilih Pagoh dan Labis di Johor sebagai destinasinya selama sehari pada Sabtu lalu.

Program anjuran akhbar Mingguan Malaysia dengan kerjasama EDLife Sdn. Bhd. itu bermula 2 Mei lalu di Negeri Sembilan membabitkan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan dengan golongan artis sebagai penggerak acaranya.

Pengurus Projek Kembara Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sokongan berterusan di kalangan pembaca akhbar itu menyebabkan pihaknya yang terdiri daripada para wartawan dan artis tampil menemui mereka yang telah banyak memberi sokongan.

"Selain mempromosikan Mingguan Malaysia, kembara ini juga akan mengadakan kerja-kerja sosial di kalangan masyarakat yang kami kunjungi dengan bantuan daripada golongan artis seperti penyanyi dan pelakon popular tanah air.

"Kami tidak mahu terlalu terhad kepada sesuatu aktiviti kemasyarakatan sahaja, tetapi skopnya luas meliputi kerjasama para pemimpin setempat, media massa dan artis," katanya kepada Hits sebelum berlepas bersama konvoi kembara itu dari pejabat Utusan Melayu (M) Berhad.

Pada konvoi Kembara Mingguan Malaysia kali ini yang mendapat kerjasama Kelab Honda Odyssey Malaysia dan para penyampai radio Suria FM. Sebanyak 10 buah kereta, 10 artis tanah air serta kira-kira 10 ahli kelab itu menyertainya.

Para artis yang terbabit dalam program yang menjadikan Suria FM radio rasmi, URTV (majalah rasmi) dan Mangga Onlie (portal rasmi) itu terdiri daripada Intan Ladyana, Kamal Adli, Jehan Miskin, Roslan Shah, Sheila (One In A Million), Razali Hussain, Sheila Abdul dan Syed Ali.

Menurut Tengku Khalidah, siri kedua Kembara Mingguan Malaysia itu juga akan melakukan kerja-kerja amal membersihkan kawasan perkuburan Kampung Panjang Sari di Pagoh dan melawat Pusat Dalam Komuniti di Labis.

Katanya yang juga Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, kembara anjuran akhbar itu yang kini mempunyai edaran mencecah 500,000 naskhah akan menganjurkan satu perlawanan futsal bersama para penduduk di Taman Muhibbah, Labis pada sebelah petangnya.

"Pada 29 dan 30 Mei ini pula Mingguan Malaysia akan menganjurkan Karnival Suara Malaysia 2010 di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru yang menyediakan jualan, pameran dan Konsert Mini Pancaindera," ujarnya.

Antara artis yang dijangka akan menjayakan Konsert Mini Pancaindera itu ialah Jay Jay, Zamani, Hattan, Amylea AF, Jehan Miskin, Roslan Shah, Sheila (One In A Million), Zarina AF serta dua penyanyi dari Singapura iaitu Imran Ajmain dan Maya Rahman.

Hadir sama pada majlis pelepasan konvoi Kembara Mingguan Malaysia ke Labis dan Pagoh itu ialah Presiden Kelab Honda Odyssey Malaysia, Abdul Razak Jamhury, 45, bersama hampir 10 ahli kelab itu yang ditubuhkan pada Oktober 2008 di mana ia kini mempunyai 200 ahli.

aktiviti bermanfaat

Menurut Abdul Razak, dia terpanggil menyertai kembara itu kerana ia boleh dijadikan aktiviti bermanfaat pada hujung minggu buat ahli-ahli kelab di bawah naungannya itu.

"Saya anggap kembara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab ini tetapi juga kepada masyarakat yang lain.

"Melalui aktiviti riadah seperti ini kami didedahkan dengan pelbagai kerja-kerja sosial yang sepatutnya dilibatkan juga kepada segenap lapisan masyarakat. Cara itu juga dapat mengeratkan kita dengan ahli-ahli masyarakat yang lain," katanya.

Iesha iaitu pengacara rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM turut bersetuju menyertai Kembara Mingguan Malaysia kerana aktiviti seperti itu akan memberi pendedahan lebih luas dalam kerjayanya pada masa depan.

Katanya, menerusi aktiviti kemasyarakatan itu, dia akan lebih memahami keadaan hidup masyarakat setempat selain meluaskan lagi pandangan dan rasa keprihatinannya sebagai penyampai rancangan televisyen di TV1 RTM tersebut.

"Aktiviti seperti ini banyak memberi faedah kepada saya untuk menimba pengalaman di mana apa yang saya lalui itu mungkin dapat digunakan dalam karier saya sebagai penyampai televisyen. Saya bukan setakat bersiaran di studio tetapi kali ini saya rasa lebih dekat dengan masyarakat," jelasnya.

selimutpurple Publish time 28-5-2010 03:31 PM

Malaysia Tidak Rugi, Kata MB Johor

JOHOR BAHARU, 25 Mei (Bernama) -- Malaysia tidak rugi apa-apa apabila Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar, Singapura diserahkan kembali kepada republik itu.

Malah, perpindahan stesen itu ke Woodlands pada 2011 berjaya menyelesaikan banyak isu sensitif yang mengekang hubungan kedua-dua negara sejak 20 tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Malaysia juga mendapat ganti kepada 271 hektar tanah KTMB yang berselerakan di republik berkenaan dengan dua bidang tanah di kawasan Marina South dan Ophir-Rochor yang sama nilainya dengan keseluruhan tanah KTMB itu.

"Rakyat perlu faham, KTMB tetap perlu keluar dari Tanjung Pagar, seperti yang dipersetujui pemimpin kedua negara dalam intipati perjanjian pada 1990, berdasarkan Perjanjian 1918.

"Bagaimanapun, melalui perjanjian yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, kita keluar dari Tanjung Pagar dan memperoleh tanah baru yang dikelilingi pembangunan bertaraf antarabangsa," katanya pada persidangan akhbar di kediaman rasminya di sini hari Selasa.

Ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang bahawa Malaysia ditipu di dalam rundingan tersebut.

Malaysia dan Singapura juga akan meningkatkan kerjasama di dalam pelaburan dan pembangunan di mana kedua bidang tanah itu akan dibangunkan syarikat dari kedua-dua negara MS PTE LTD iaitu usaha sama antara Khazanah Nasional dan Temasek Holdings.

Johor sendiri akan mendapat keuntungan daripada perjanjian tersebut apabila kedua buah negara bersetuju untuk menyediakan Sistem Pengangkutan Deras (RTS) secara usaha sama yang akan menghubungkan sebuah stesen baru di Tanjung Puteri, Johor dengan stesen terakhir Transit Aliran Ringan (MRT) Singapura di Stesen Republik.

"Apabila RTS mula beroperasi pada 2018, KTMB akan keluar dari Singapura dan kita (kerajaan Johor) sudah mengenal pasti lokasi stesen baru KTMB di negeri ini iaitu di kawasan seluas 80 hektar di Kempas, lapan kilometer dari pusat bandar raya," kata Abdul Ghani.

Persetujuan juga dicapai dalam rundingan semasa pemukiman para pemimpin di Shangri-La Hotel itu semalam bagi kerjasama di antara Khazanah Nasional dan Temasek Holding dalam pembangunan Bandar Kesihatan di sebidang tanah seluas 200 hektar di Iskandar Malaysia.



Ini adalah sesuatu yang mampu membantu menarik pelaburan luar yang besar ke Iskandar Malaysia.

Ditanya sama ada rundingan perjanjian itu turut menyentuh pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor, Abdul Ghani berkata ianya tidak disentuh langsung antara kedua-dua negara.

Mengenai pemulangan semua aset Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura di Loji Skudai serta Empangan Gunung Pulai, Abdul Ghani berkata ianya bukan balasan kepada rundingan tersebut tetapi mengikut perjanjian air 60 tahun lalu dan ianya berlaku secara kebetulan serentak dengan rundingan tersebut.

Aset yang masih beroperasi dengan baik itu nanti akan diuruskan oleh kerajaan negeri dan bukannya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara kerana ia adalah milik rakyat, katanya.

-- BERNAMA

selimutpurple Publish time 28-5-2010 03:31 PM

Tumpahan Minyak Dijangka Tidak Masuk Perairan Pengerang, Kata JAS

JOHOR BAHARU, 25 Mei (Bernama) -- Tumpahan minyak daripada kapal tangki MT Bunga Kelanga 3 yang berlanggar dengan kapal MV Waily di Tanjung Stapa, perairan Pengerang kira-kira pukul 6.10 pagi Selasa dijangka tidak akan memasuki perairan Malaysia dan menjejaskan pantai.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dalam satu kenyataan di sini berkata perkara itu berdasarkan tiupan arah angin ke barat daya dengan kelajuan 20 hingga 30km sejam dan keadaan air laut yang surut mulai pukul 3.25 petang tadi.

"Pihak AET Tanker Holding Sdn Bhd, anak syarikat MISC Bhd yang mengendalikan MT Bunga Kelana 3 telah memasang "boom" di sekeliling kapal dan Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group telah dilantik bagi menghadapi kemungkinan tumpahan minyak merebak ke perairan Pengerang," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun JAS Johor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Unit Udara Polis dan Jabatan Laut Wilayah Selatan akan terus memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika kejadian, MT Bunga Kelana 3 membawa 63,054 tan metrik 'light crude oil' milik Petronas dari Bintulu ke kilang penapis Petronas di Melaka, manakala kapal MV Waily membawa kargo bijih besi dan sedang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong.

Kejadian menyebabkan 2,000 tan metrik minyak tumpah setelah berlaku koyakan sepanjang 10 meter pada MT Bunga Kenanga manakala MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil.

Tumpahan tersebut yang menyamai 14,660 tong minyak cukup untuk memenuhkan kolam renang bersaiz olimpik.

Bunga Kelana 3 didaftarkan di Pelabuhan Klang manakala MV Waily berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines.

APMM yang menerima maklumat mengenai kejadian tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10.27 pagi untuk menyelamatkan 50 anak-anak kapal berada di atas kedua-dua kapal tersebut yang terdiri daripada warga Malaysia, India, Pakistan, Indonesia, China dan Filipina.

Kesemua anak-anak kapal berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

-- BERNAMA

selimutpurple Publish time 29-5-2010 10:23 AM

REMAJA 14 TAHUN CURI PANDU KERETA JIRAN DITAHAN

Sinar Harian 28 Mei 2010:$

BATU PAHAT – Tindakan seorang remaja 14 tahun yang memandu kereta jirannya tanpa kebenaran akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, polis yang menerima maklumat pada jam 1.15 pagi kelmarin menghantar sebuah kereta peronda ke lokasi sebelum berjaya mengesan kereta yang dimaksudkan.

“Menyedari kehadiran polis, pemandu kereta berkenaan bertindak memecut dan memandu dengan cara berbahaya sebelum melanggar sebuah tembok,” katanya pada sidang media di sini , semalam.

Adnan berkata, hasil pemeriksaan, remaja berkenaan mengaku mengambil kereta milik jirannya untuk berseronok setelah kerap kali melihat kunci kereta berkenaan ditinggalkan di peti surat rumah pemiliknya,” katanya.

Adnan berkata, remaja berkenaan ditahan reman selama dua hari untuk siasatan selanjutnya dan disiasat di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan (Curi Kenderaan).

selimutpurple Publish time 29-5-2010 10:49 AM

ddG2ss38rFE

selimutpurple Publish time 30-5-2010 11:43 PM

Johor: 'Jambatan seram'
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/05/28
Penduduk Kampung Parit Lapis Batu Puteh dakwa kayu beluti rosak angkara lori sawit

BATU PAHAT: Jambatan di Kampung Parit Lapis Batu Puteh, Simpang Lima, di sini umpama perangkap maut kerana keadaannya yang uzur dengan kayu beluti di bahagian tengahnya sudah reput, tidak stabil serta bahaya untuk digunakan sebarang kenderaan.
Tinjauan Edisi Johor ke jambatan berkenaan mendapati kemudahan itu hanya menanti hari untuk rebah ke dalam sungai dengan sebahagian besar beluti sudah tertanggal serta pecah akibat kerap digunakan kenderaan berat termasuk lori.
Malah, ada penduduk terutama yang menunggang basikal terpaksa turun dan menyorong kenderaan mereka kerana bimbang tercampak ke dalam sungai apabila melalui bahagian jambatan yang tidak mempunyai beluti.

Pengait kelapa sawit, Halimah Abdullah, 49, yang kerap menggunakan laluan berkenaan berkata, beliau terpaksa turun dan meniti jambatan itu perlahan-lahan setiap kali menggunakannya kerana bimbang tayar basikalnya tersangkut di dalam lubang.

“Jambatan ini pernah runtuh tetapi sudah dibaiki tiga tahun lalu, namun kini rosak kembali berikutan kerap digunakan lori mengangkut sawit yang menggunakan laluan ini sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar.

“Namun, yang menanggung masalahnya adalah penduduk kampung seperti makcik yang menggunakan basikal. Bayangkan inilah laluan utama makcik untuk pergi ke kelas masakan mahupun mesyuarat yang dianjurkan Kemas untuk golongan wanita di sini.
“Makcik pun naik seram menggunakan jambatan ini kerana ada bahagian bila dipijak kayu beluti peroi dan tertanggal. Malah, makcik bimbang tercampak ke dalam sungai kerana bahagian tengah jambatan ini terlalu jarang hingga tayar basikal boleh terperosok ke dalam lubang jika tidak berhati-hati, "katanya ketika ditemui di jambatan berkenaan baru-baru ini.

Halimah berkata, pernah seorang penunggang motosikal daripada Sri Medan nyaris tercampak ke dalam sungai berikutan tayarnya terperosok di dalam lubang tetapi dapat menyelamatkan dirinya.

“Malah, ada warga emas kampung ini tercampak ke sungai dari basikalnya berikutan terlanggar bendul jambatan sehingga terkena serangan jantung ketika menggunakan jambatan berkenaan. Jika boleh makcik harap jambatan berkenaan digantikan dengan jambatan konkrit bagi keselamatan pengguna malah penghadang besi juga boleh dibina bagi menghalang lori berat melaluinya," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung ( JKKK) berkenaan, Abu Bakar Adam, 50, berkata pihaknya memang ada menerima aduan daripada penduduk kampung yang kerap menggunakan jambatan itu.

“Kami sudah mengajukan masalah itu kepada ketua kampung, malangnya beliau sudah meninggal dunia menjadikan masalah jambatan berkenaan kini tertunggak.

“JKKK kampung ini juga pernah menegur pemandu lori supaya tidak menggunakan jambatan ini tetapi kami pula ditempelak mereka yang mengatakan jambatan ini adalah kemudahan awam dan sesiapa saja boleh menggunakannya tetapi siapa mahu bertanggungjawab apabila keadaan jambatan ini semakin teruk dan membahayakan pengguna lain, " katanya.
Pages: 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 [13] 14 15 16 17 18 19 20 21 22
View full version: Keratan Akhbar / Petikan Berita


ADVERTISEMENT