selimutpurple Publish time 15-6-2010 03:10 PM

Kontraktor menang hadiah bonus


http://www.utusan.com.my/pix/2010/0615/Utusan_Malaysia/Johor/wj_04.1.jpg
SAHUL Hameed E. Yaccob (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Kuiz Demam Bola Demam Utusan di Restoran E & Y (Sahul), Jalan Pinang, Taman Daya, Johor Bahru, malam semalam.



JOHOR BAHRU 14 Jun - Seorang kontraktor berjaya memenangi hadiah bonus harian sempena Kuiz Demam Bola Demam Utusan di Restoran E & Y (Sahul), Jalan Pinang Taman Daya di sini malam tadi.

Md. Omar Md. Salleh, 51, berkata, dia tidak menjangkakan kemenangan itu sama sekali dan menganggapnya sebagai tuah kerana kali pertama menyertai pertandingan yang dianjurkan itu.

Menurutnya, dia bersama keluarga hanya datang ke kedai itu untuk menikmati makan malam dan sekadar mencuba nasib menghantar sekeping borang penyertaan.

"Kemenangan ini sungguh menggembirakan dan saya tidak sangka akan menang," katanya selepas menerima hadiah bonus harian berupa satu set kipas elektrik.


Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pemilik Restoran E & Y (Sahul) Jalan Pinang, Sahul Hameed E. Yaccob dan disaksikan oleh Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.

Md. Omar berkata, selepas ini dia akan terus menyertai Kuiz Demam Bola Demam Utusan sepanjang tempoh penganjurannya untuk memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan.

Seorang peniaga, M. Badruddin Ariffin, 43, turut berkongsi kegembiraan kerana menerima hadiah bonus kedua dalam cabutan bertuah itu dan ia merupakan hadiah ketiga yang diperolehinya sejak hari pertama penganjuran kuiz berkenaan.

"Sepanjang tempoh tiga hari penganjuran kuiz ini saya sudah menghantar lebih daripada 10 borang penyertaan dan memenangi tiga hadiah. Selepas ini saya akan terus menyertainya bagi merebut hadiah yang lebih besar," katanya.

Selain itu, terdapat 15 pengunjung restoran itu yang bertuah turut menerima hadiah sagu hati barangan cenderamata Utusan Melayu (M) Bhd. dan produk Adabi manakala lima pengunjung restoran mendapat hadiah baucar makan kerana menjawab soalan dengan tepat secara spontan.

Restoran tersebut menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja kerana menyediakan makanan enak, kemudahan selesa seperti skrin gergasi selain kerusi mencukupi malahan turut menjadi lokasi Kuiz Demam Bola Demam Utusan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik hingga bernilai RM10,500 sepanjang tempoh kejohanan itu berlangsung.

Antara hadiah itu adalah televisyen LCD bersaiz 14, 21, 32, 42 dan 50 inci di samping peralatan elektrik serta peralatan sukan seperti baju T, jersi, kasut bola serta baucar makanan.

Justeru, orang ramai dijemput hadir ke restoran tersebut untuk menonton perlawanan di skrin gergasi sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah sepanjang kuiz itu dijalankan sehingga 11 Julai ini

selimutpurple Publish time 15-6-2010 03:10 PM

utusan online

Pulau Aur lokasi ideal aktiviti menyelam

MERSING 14 Jun - Seramai 46 peserta terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggiat industri pelancongan dan kakitangan agensi kerajaan tempatan menyertai program suai kenal produk pelancongan, Johor Dive X-Ploration (JDX) 2010 di Pulau Aur, di sini baru-baru ini.

Program dua hari itu merupakan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri, Majlis Daerah Mersing, Kementerian Pelancongan, Maritim Wilayah Selatan, Scubatex Resources dan Gemilang Zamrud Sdn. Bhd.

Pengarah Tourism Malaysia Johor, Noridah Kamaruddin berkata, program itu bertujuan mempromosikan Pulau Aur sebagai salah satu lokasi ideal bagi aktiviti menyelam.

Katanya, apatah lagi pesisiran pulau itu telah diwartakan sebagai Taman Laut Johor.

"Kawasan pulau di sekitar Mersing memberikan banyak pilihan kepada para penggemar aktiviti menyelam atau mereka yang sukakan pemandangan indah dan tenang pulau-pulau yang ada di sini.

"Kawasan laut yang lebih dalam di sekitar pulau ini menjanjikan jarak penglihatan bawah laut yang jelas serta pelbagai spesies hidupan laut mempesona yang dapat menarik ramai pelancong dan penyelam pada hujung minggu," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Daerah Mersing mempunyai 76 buah pulau dengan 13 daripadanya telah diwartakan sebagai Taman Laut iaitu Pulau Harimau, Pulau Goal, Pulau Mensirip, Pulau Besar, Pulau Tengah, Pulau Hujong, Pulau Rawa, Pulau Tinggi, Pulau Meninggi, Pulau Sibu, Pulau Sibu Hujung, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.

Program JDX yang turut disertai Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Johor, Abdul Rahman Shaari merupakan pertama kali diadakan oleh pihak penganjur dan memilih Pulau Dayang sebagai destinasi penginapan para peserta.

Penglibatan daripada penggiat industri pelancongan katanya, membolehkan mereka merasai pengalaman menyelam skuba supaya mereka boleh mewujudkan satu pakej yang memuatkan aktiviti sebegini.

kodoklawa Publish time 16-6-2010 11:31 AM

Johor: Tanjung Ketapang kian popular-Berita harian
Oleh Jamaludin Husin
jamaludinhusin@gmail.com
2010/06/15

Pelawat minta kerajaan kekal hutan bakau, monyet liar

MUAR: Kawasan hutan paya bakau di Pantai Muar, di Tanjung Ketapang, di sini, bukan saja dikenal pasti sebagai tempat habitat monyet liar mencari makanan, tetapi menjadi lokasi tumpuan pelawat termasuk penduduk luar kawasan.

Justeru, langkah pihak berkuasa memelihara hutan bakau di pantai Muar tidak saja menjadi kebanggaan penduduk bandar ini, malah turut diberi sanjungan pengunjung luar yang singgah di bandar ini sama ada ketika menziarahi saudara atau berbelanja.

Kehadiran monyet liar di hutan paya bakau Tanjung Ketapang turut memeriahkan lagi suasana dan tarikan pengunjung.

Pengendali laman web, Mohd Nazri Abdul Hamid, 32, dari Ampang, Selangor, berkata hutan bakau Tanjung Ketapang mempunyai ciri menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan ke Muar.

Katanya, kawasan itu kaya dengan pemandangan semula jadi yang menarik, lebih-lebih lagi kedudukan pantai bertentangan dengan Selat Melaka.

“Johor bertuah kerana masih kaya dengan pemandangan alam semula jadi termasuk hutan bakau yang dipelihara di kawasan tertentu seperti di Muar.
“Justeru, langkah bijak jika kawasan hutan bakau ini tidak dibangunkan dengan projek baru seperti dilakukan di beberapa negeri lain kerana tindakan itu boleh menjejaskan khazanah alam semula jadi negara,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar teknologi maklumat dan komunikasi di Singapura, kelmarin.

Mohd Nazri berkata, pihak berkuasa juga tidak harus menghapuskan monyet liar yang menjadikan hutan bakau tempat kediaman kerana ia menyumbang kepada tarikan pelancong ke bandar ini.

Penduduk tempatan, Shahril Nizam Abdullah, 36, berkata langkah Majlis Perbandaran Muar (MPM) membina jeti dari tebing sungai ke Pantai Muar membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan hutan bakau lebih dekat.

Katanya, projek itu juga menjadi tarikan pengunjung tempatan dan luar sama ada untuk bersantai atau berkelah selain menikmati pemandangan semula jadi di persekitarannya.

Projek menelan kos kira-kira RM200,000 itu dibina tahun lalu dan kini menjadi tarikan.

Tinjauan Edisi Johor mendapati kawasan rekreasi Tanjung Ketapang yang sebelum ini sepi seketika berikutan tindakan pihak berkuasa memindahkan monyet liar ke Maokil, Segamat, kini kembali ceria dengan kunjungan orang ramai.

Saki baki haiwan yang tinggal membiak dan keluar untuk mendapatkan makanan daripada orang ramai tanpa mencederakan mereka.

selimutpurple Publish time 17-6-2010 11:36 AM

metro online

Peniaga jual minuman bersusu


2010/06/17
      

JOHOR BAHRU: Akibat kesukaran mendapatkan bekalan gula sejak dua minggu lalu, beberapa pemilik restoran sekitar Taman Johor Jaya, Taman Molek dan Taman Desa Harmoni, di sini, tidak lagi menjual minuman berasaskan penggunaan bahan berkenaan kepada pelanggan.
Mereka kini hanya menjual minuman menggunakan susu termasuk kopi dan teh tarik walaupun terpaksa berdepan rungutan pelanggan. Bagaimanapun, ia akan diteruskan jika bekalan gula pulih seperti biasa.


Seorang peniaga restoran di Jalan Ros Merah, Taman Johor Jaya, Mohd Ikbal Ali, 34, berkata dia kini berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan gula dengan kuantiti besar untuk kegunaan dua restorannya.


“Sebelum ini saya dibekalkan dua beg gula oleh pembekal dengan setiap satu berjumlah 24 kilogram (kg). Bagaimanapun, sejak dua minggu lalu, pembekal memaklumkan bekalan gula sukar diperoleh menyebabkan kami terpaksa bergantung kepada susu.


“Walaupun terpaksa menahan telinga akibat rungutan pelanggan namun kami tiada pilihan selain terpaksa menggunakan susu untuk menyediakan minuman,” katanya.


Beliau berkata, dia sudah berusaha mendapatkan bekalan gula daripada peruncit sekitar Johor selain menghubungi pembekal lain namun semuanya gagal.


Jika adapun, dia hanya dibenarkan membeli 2 kg gula saja sedangkan penggunaan bahan berkenaan di restorannya mencecah 10 kg sehari.


"Malah beberapa kedai mula menjual gula pada harga antara RM1.80 sehingga RM2 sekilogram, melebihi daripada harga jualan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1.60 sekilogram.


"Masalah kekurangan bekalan gula perlu diatasi segera oleh kerajaan kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara," katanya.


Mohd Ikbal turut tidak menolak kemungkinan bahawa kekurangan bekalan gula akhirnya akan menyebabkan harga susu naik mendadak berikutan permintaan terhadap bahan itu meningkat.

selimutpurple Publish time 17-6-2010 11:39 AM

metro online

Penagih Melayu pilih ganja


2010/06/17
      

JOHOR BAHRU: Berdasarkan gaya semasa, remaja Melayu gemar mengambil dadah murah seperti ganja manakala remaja Tionghua pula lebih menumpukan untuk mendapatkan dadah mahal termasuk syabu dan pil.
Selain itu, remaja Melayu juga gemar menghisap ganja di lokasi di mana ia diperoleh tidak seperti remaja Tionghua yang kebiasaannya melakukannya di premis hiburan.


Berdasarkan pasaran semasa, ganja dianggarkan berharga RM10 sepaket manakala dadah jenis pil dan syabu pula mencecah puluhan hingga ratusan ringgit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin Abdul Aziz ketika mendedahkan perkara itu mengatakan gaya semasa itu diperoleh hasil serbuan dan juga tangkapan dibuat sebelum ini.


“Ganja murah dan mudah diperoleh, tetapi syabu serta dadah jenis pil mahal selain sedikit sukar untuk mendapatkannya. Kajian berkaitan gaya semasa itu pula kami kumpulkan hasil daripada serbuan di lokasi penagihan. “Walaupun berbeza dari segi harga, bila disebut saja dadah, ia tetap bahaya. Oleh itu, kami harap masyarakat khasnya remaja, tanpa mengira kaum menjauhkan diri daripadanya,” katanya, di sini, semalam.


Berkaitan kejayaan keseluruhan JSJN Johor sepanjang enam bulan tahun ini, Kamaruddin memaklumkan jumlah terbesar dadah dirampas ialah pada Khamis dan Jumaat lalu dengan nilai RM2.3 juta.


Berdasarkan statistik, sepanjang Januari hingga 13 Jun lalu, JSJN Johor merampas dadah bernilai RM4.53 juta membabitkan Ketamin, Ecstacy juga serbuknya, Eramin 5, Psikotropik, Domicum, heroin, ganja, syabu, ubat batuk, air serta daun ketum.


“Pecahan itu membabitkan 17 kilogram (kg) Ketamin, heroin (18kg), ganja (25kg), syabu (tiga kg) dan serbuk Ecstacy (sembilan kg). “Dadah jenis pil pula membabitkan Eramin 5 sebanyak 21,800, Ecstacy (20,966), Psikotropik (7,298) dan Domicum sebanyak 8,212. “Ubat batuk membabitkan 32.7 liter, air ketum (dua liter) dan daun ketum sebanyak tujuh kilogram,” katanya.


Selain dadah, JSJN juga membuat tangkapan membabitkan 335 pengedar dadah. Daripada jumlah itu, 194 disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Menurut Kamaruddin, jumlah keseluruhan tangkapan pula ialah 4,380 dengan 3,015 daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, 83 tangkapan turut dibuat terhadap pengedar dadah mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.


“Seramai 17,043 individu diperiksa membabitkan kes penagihan dadah dan daripada jumlah itu, 6,905 didapati positif,” katanya.

selimutpurple Publish time 17-6-2010 11:39 AM

metro online

Guna pistol tipu
Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my
2010/06/17
      

JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang menganggur mampu hidup mewah hasil jualan dadah, tetapi apa yang melucukan, mereka menggunakan pistol tiruan sebagai modal utama menunjukkan kehebatan.
Itulah senario membabitkan dua pengedar dadah yang ditahan secara berasingan pada 11 dan 14 Jun lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin Abdul Aziz berkata, dua pistol automatik tiruan buatan China itu adalah dari jenis YT38 dan P729.


“Mungkin untuk menunjukkan kehebatan, seorang daripada mereka juga menyimpan 39 kelongsong peluru kosong pistol tiruannya.


“Seorang lagi hanya menyimpan pistol tiruan dengan kelopak kosong. Kedua-dua suspek dipercayai mengedar dadah sejak setahun lalu,” katanya, di sini, semalam.


Kamaruddin berkata, pada 11 Jun lalu, polis yang menerima maklumat berkaitan kegiatan mengedar dadah seorang lelaki membuat intipan di sebuah hotel.


Intipan itu membuahkan hasil apabila suspek berusia 37 tahun didapati berada di sebuah bilik hotel, di Jalan Dato Abdullah Tahir.


“Kami percaya suspek sedang menunggu pelanggan di bilik berkenaan berdasarkan jumlah dadah bersamanya. Ketika serbuan jam 7.15 petang itu, dia seorang diri dalam bilik itu.


“Polis merampas heroin seberat 3.22 gram, syabu (15.49 gram), Ketamin (1.92 gram), Ecstacy sebanyak 64 butir dan enam butir Eramin 5,” katanya.


“Jumlah keseluruhan rampasan kira-kira RM8,000 dan ujian air kencing mendapati suspek positif syabu. Dia juga bergiat aktif mengedar dadah sekitar bandar raya ini.


“Dalam serbuan tiga hari kemudian di sebuah rumah, di Jalan Mariamah, sindiket dianggotai empat lelaki yang aktif sejak setahun lalu di sekitar bandar raya ini juga dilumpuhkan.


“Sindiket dianggotai dua lelaki tempatan, seorang warga Singapura serta seorang warga Indonesia,” katanya.

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:21 AM

berita harian online
Sultan Johor berjiwa rakyat
Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my
2010/06/19
Sultan Ibrahim cemar duli bertemu pelbagai lapisan masyarakat

JOHOR BAHRU: Rakyat negeri ini melahirkan rasa gembira dan berbangga berada di bawah pemerintahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim, yang akan mencemar duli bertemu segenap lapisan masyarakat Johor dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 selama tiga hari bermula 26 Jun ini.
Jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Norliza Abdul Hamid, 24, berkata sebagai anak jati Johor, beliau berpendapat, siri kembara berkenaan bukan setakat memberi peluang kepada Sultan Johor untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat malah turut membuka peluang kepada komuniti meluahkan pandangan dan masalah mereka.
Katanya, kembara yang diadakan jelas menunjukkan sifat keprihatinan Sultan Johor dalam mendekati masyarakat setempat selain usaha baginda mendengar dan menyelesaikan masalah dihadapi warga Johor sama ada di bandar mahupun di pedalaman membabitkan pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya melihat ini sebagai aktiviti yang harus diteruskan pada masa akan datang apatah lagi kembara yang dijalankan ini secara tidak langsung mencerminkan sifat kepemimpinan baginda yang sebenar," katanya di sini.

KMJ 2010 antara lain akan melakukan persinggahan pada hari pertama di Stesen Kulai yang mana pelbagai program seperti penyerahan hak milik tanah, penyerahan rumah kepada peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), penyampaian bantuan sara hidup kepada warga miskin, golongan kurang upaya dan anak yatim diadakan.

Baginda juga dijadual melepaskan benih anak ikan, menyaksikan pertandingan sukan rakyat dan melawat gerai pameran sebelum berangkat ke stesen seterusnya iaitu Simpang Renggam membabitkan laluan keseluruhan 391.3 kilometer dari Stesen JB Sentral ke Sentral Gemas dan kembali ke pusat bandar raya.
Kerani di sebuah syarikat perusahaan, Nor Hidayah Maidin, 24, berkata rakyat Johor seharusnya bersyukur mempunyai seorang Raja seperti Sultan Ibrahim yang bukan saja penyayang, malah mempunyai jiwa kemasyarakatan.

"Baginda sangat istimewa di hati kami dan program yang dilakukan ini jelas menunjukkan baginda adalah seorang yang berwibawa dan mesra rakyat serta tidak sombong," katanya.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, C Tamil Selvan, 17, berkata walaupun tidak pernah mengenali baginda secara rapat, namun keprihatinan dan rasa tanggungjawab yang ditunjukkan Sultan Ibrahim adalah amat dihargai rakyat jelata.

"Baginda mempunyai hati yang sangat baik dan suci, justeru kami sangat gembira dan berbangga mempunyai Raja seperti baginda yang sentiasa ingin dekat dengan masyarakat," katanya.

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:23 AM

berita harian online

CCTV gabung 3 teknologi


2010/06/19
JOHOR BAHRU: Kegagalan mendapatkan imej jelas suspek pembunuh kejam Nurin Jazlin Jazimin pada 2008, memberi ilham kepada calon Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, mencipta Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dapat membuat rakaman dengan lebih jelas walaupun dalam keadaan gelap selain memberikan maklumat identiti suspek.

CCTV itu menggabungkan tiga teknologi imej digital iaitu kamera resolusi tinggi, penapis infra merah dan peranti tiga dimensi (3D) itu yang pertama di dunia dan dibangunkan dua tahun lalu dibantu kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi UTM.
Mohd Farid Mohd Ariff, 30, baru menamatkan pengajian peringkat PhD dalam Pemetaan Forensik, berkata beliau mendapat ilham daripada kes itu apabila menyedari imej CCTV di tempat kejadian begitu kabur hingga menyebabkan siasatan sukar dilakukan.
Justeru, beliau menggabungkan teknologi kamera video digital dengan tiga elemen terkini dalam kajian Fotogrametri bagi menghasilkan imej lebih jelas bagi memudahkan siasatan terhadap suspek.

"Dalam kes Nurin, pihak forensik tidak dapat mengenalpasti imej motosikal di kawasan kejadian kerana ia kabur, tetapi menerusi CCTV ini, ia berupaya merakam apa saja objek yang bergerak dan selepas diproses ia boleh mendapatkan maklumat dalam tempoh hanya 15 minit," katanya ketika memperkenalkan produk berkenaan di UTM, semalam.

Mohd Farid berkata, produk berkenaan adalah sebagai sebahagian program tesis dilakukannya dan berharap boleh membantu pihak berwajib menjalankan siasatan dengan lebih cepat.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Penyelidikan Fotogrametri dan Pengimbasan Laser Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi, Dr Zulkepli Majid, berkata komponen kamera berkenaan boleh digabungkan dengan 'bingkai kalabrasi ruang' bagi mendapatkan data mengenai suspek dan direkod dalam CCTV itu.
"Antara kelebihan CCTV ini ialah boleh mengambil imej 3D, imej stereo pula mampu mengambil dua gambar sekali gus dan menggabungkannya untuk mendapatkan imej lebih jelas menggunakan kamera 6 megapixel, sistem infra merah untuk gambar di dalam gelap selain pengecaman lebih cepat dan tepat.

"Kita juga sedang membangunkan sistem yang boleh mengenalpasti kontur muka jika suspek memakai topeng sekali pun dan kaedah ini ternyata lebih baik berbanding sistem forensik seperti digunakan Interpol dan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI)," katanya.

Zulkepli berkata, CCTV berkenaan boleh merakam imej bergerak selama tiga hingga empat hari dan jarak rakaman terbaik adalah antara tiga hingga enam meter dengan data boleh dikumpul di dalam pusat penyimpanan CCTV itu atau beroperasi secara dalam talian terus ke 'server' utama.

Pemprosesan data pula menurutnya, akan menggunakan kaedah fotogrametri yang boleh memberikan imej tepat dan cepat mengenai fizikal suspek.

Berbanding CCTV menggunakan sistem mono iaitu hanya mampu mengambil sekeping gambar, CCTV terbaru ini menurut Zulkepli lebih mahal iaitu kira-kira RM6,000 bagi set CCTV tidak termasuk sistem pengesanan imej, latihan dan peralatan.

"Untuk keseluruhan sistem ia boleh dibeli dengan harga RM60,000 dan ia sesuai untuk pengawasan di sekitar kawasan 'hot spot' terpilih.

"Kita bagaimanapun sedang dalam perancangan untuk merekabentuk bekas untuk CCTV ini bagi membolehkannya diletakkan di tempat yang sesuai dan tahan dalam pelbagai keadaan cuaca," katanya

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:33 AM

utusan online

Kompleks sukan RM2.2 juta

Oleh HAMDAN TAWADI
editjohor@utusangroup.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/0619/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
KOMPLEKS Sukan Semai Bakti Felda Ulu Belitong, Kluang, dilengkapi gelanggang berbumbung futsal, badminton dan bola tampar.– utusan/HAMDAN TAWADI



KLUANG 18 Jun – Tanggal 15 Jun lalu sememangnya dinanti-nantikan oleh penduduk Felda Ulu Belitong di sini khususnya golongan belia yang meminati aktiviti sukan.

Pada tarikh tersebut, Kompleks Sukan Semai Bakti iaitu kompleks sukan berbumbung bernilai RM2.2 juta mula beroperasi dan dibuka kepada orang ramai dengan kadar bayaran yang berpatutan.

Kompleks itu yang mempunyai dua gelanggang futsal, enam badminton dan dua bola tampar turut dilengkapi sistem audio yang mantap dan sistem lampu pada waktu malam.

Seiring dengan demam bola sepak Piala Dunia yang kini melanda seluruh dunia, kemudahan gelanggang futsal menjadi pilihan ramai.

Pelanggan pertama yang menggunakan kemudahan itu adalah kumpulan futsal Belitong Gurlz Football Club (BG FC) yang terdiri daripada lima remaja perempuan.

Mereka ialah Nuraini Mohd. Salleh, 19, Siti Maisarah Mohd. Ali, 16, Noradzlin Nordin, 20, Noraini Aziz, 15, dan Nurliza Musa, 21.

Ayam tambatan pasukan itu, Noraini atau lebih mesra dengan panggilan ‘Kecik’ melahirkan perasaan gembira apabila mendapat tahu kompleks sukan itu mula dibuka dan segera mengajak ahli pasukannya ‘merasmikan’ gelanggang futsal berkenaan.

“Kami yang pertama tempah gelanggang futsal ini, kira macam kami yang ‘rasmikan’ gelanggang dan kompleks sukan ini.

“Apabila dapat tahu ia akan dibuka, kami cepat-cepat hubungi urus setia untuk buat tempahan dan gembira menjadi kumpulan pertama menggunakan gelanggang ini,” katanya semasa ditemui di kompleks sukan tersebut baru-baru ini.

Penjaga gol pasukan itu, Noradzlin berkata, keadaan gelanggang itu juga amat selesa terutamanya lantai yang rata dan tidak terlalu keras.

“Gelanggang baru ini bagus, siap ada bumbung lagi. Jadi faktor hujan atau panas bukan lagi halangan untuk bermain,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Alin.

Bagi Nuraini atau lebih dikenali sebagai Nurin, dengan adanya kompleks sukan itu, mereka tidak perlu lagi pergi ke bandar untuk bermain futsal.

“Saya rasa bangga kerana Felda kami ada kemudahan hebat seperti ini. Di taman-taman perumahan di bandar pun belum tentu ada lagi,” katanya yang agak pemalu tetapi lincah di gelanggang.

Pemain pertahanan pasukan, Siti Maisarah yang meminati pasukan bola sepak England pula menganggap kemudahan yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia Felda bagi meningkatkan kemahiran dalam sukan yang digemari masing-masing.

“Mana tahu, ada pemain futsal kebangsaan wanita yang bakatnya ‘dilahirkan’ dari kompleks sukan ini,” katanya yang juga dikenali sebagai Mai.

Seorang lagi pemain harapan pasukan, Nurliza pula mahu lebih ramai remaja perempuan menceburi sukan futsal.

“Futsal bukan untuk lelaki saja, perempuan pun boleh. Dengan bimbingan dan latihan berterusan, kita pun boleh setanding lelaki,” katanya yang meramalkan Brazil akan muncul juara Piala Dunia kali ini namun mengharapkan pasukan dari Asia dapat memberikan saingan hebat.

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:34 AM

utusan online

Merapatkan hubungan kemasyarakatan

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0619/Utusan_Malaysia/Johor/wj_02.1.jpg
ANTARA aksi BG FC yang menghangatkan suasana Kompleks Sukan Semai Bakti Felda Ulu Belitong, Kluang, baru-baru ini.



KLUANG 18 Jun - Kompleks Sukan Semai Bakti bernilai RM2.2 juta menjadi satu mercu tanda bagi Felda Ulu Belitong di sini yang diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk sekitar.

Pengurus Felda berkenaan, Mohd. Din Lazim berkata, golongan belia akan dapat menghabiskan masa terluang mereka dengan aktiviti sukan di kompleks itu, sekali gus mengelak daripada terjebak dengan masalah sosial.

"Bersukan juga menjadikan tubuh kita lebih sihat, badan cergas dan otak cerdas.

"Selain itu, aktiviti sukan juga dapat mempertemukan golongan belia Felda dan merapatkan lagi hubungan kemasyarakatan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau turut menasihati semua pihak supaya mengguna dan menjaga kemudahan di kompleks itu dengan baik supaya ia dapat dimanfaatkan orang ramai secara berterusan.

"Sewajarnya kita di sini bersyukur kerana mendapat kemudahan kompleks sukan berbumbung ini. Justeru, wajar kita bersama-sama menjaganya dengan baik," katanya.

Menurutnya, tempahan gelanggang di kompleks itu boleh dibuat dengan menghubungi urus setia di talian 017-7437411 atau 013-7830245.

Ulu Belitong bukan nama asing dalam Felda apabila muncul johan Anugerah Kecemerlangan Kampung Felda (AKKF) pada tahun lalu sekali gus meraih hadiah wang tunai RM1 juta.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Peneroka di Felda Maokil, Labis pada 7 Julai tahun lalu

Terdapat 461 peneroka di kawasan Felda tersebut yang dibuka sejak 1978.

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:35 AM

utusan online

Sambutan Hari Belia meriah

Oleh AZIZI MAJID
editjohor@utusangroup.com.my
http://www.utusan.com.my/pix/2010/0619/Utusan_Malaysia/Johor/wj_03.1.jpg
SETIAUSAHA Belia 4B Negeri Johor, Misnan Miskam (empat dari kanan) menyampaikan peralatan gotong-royong kepada wakil surau, Mohd. Razali Mohd. Naim (empat dari kiri) di Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 18 Jun – Hari pertama sambutan Hari Belia 4B negeri Johor, Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau dan Program Juara Rakyat yang bertempat di Kampung Maju Jaya di sini berlangsung dengan cukup meriah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahrin Md. Jamaluddin berkata, beberapa aktiviti telah dilakukan pada hari pertama program bermula dengan gotong-royong membersihkan surau di Kampung Sinaran, Kampung Sri Aman dan Rancangan Tanah Pemuda.

Beliau berkata, pada sebelah petang pula berlangsungnya aktiviti berbentuk kerohanian iaitu tilawah al-Quran dan pertandingan nasyid serta kompang manakala di sebelah malam pula pengunjung akan dihiburkan oleh persembahan artis antaranya Ahmad Jais, Rohana Jalil, Jaafar Onn dan Zaiton Sameon.

Katanya, pada malam semalam, pihaknya turut menganjurkan bacaan Yasin dan tahlil di Masjid Kampung Maju Jaya sebelum salah seorang sukarelawan yang menyertai misi bantuan kemanusian ke Palestin baru-baru ini, Dr. Mohd. Arbai‘e Syawal menceritakan detik ditahan komando Israel.

‘‘Program ini merupakan salah satu usaha Belia 4B negeri Johor dan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang nasib yang menimpa umat Islam yang lain.

‘‘Kita juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Zionis yang terus bertindak menindas penduduk Palestin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Belia 4B negeri Johor berkata, majlis perasmian program tersebut dijangka disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada hari terakhir program Ahad ini.

Sementara itu, Setiausaha 4B kawasan Tebrau, Mohd. Farihin Hassan, 28, berkata sambutan Hari Belia negeri Johor dapat memberi manfaat kepada para belia terutama dalam mengenali satu sama lain secara lebih dekat selain dapat berkongsi pengalaman.

‘‘Selain itu, para belia juga dapat melakukan pelbagai program bersama-sama masyarakat seperti gotong-royong dan sebagainya,” ujarnya.

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:35 AM

utusan online

Program Rintihan Gaza di Larkin hari ini
http://www.utusan.com.my/pix/2010/0619/Utusan_Malaysia/Johor/wj_04.1.jpg
Sebahagian wakil persatuan NGO mengadakan sidang media untuk penganjuran program Rintihan Gaza di Larkin, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 18 Jun - Orang ramai dijemput datang beramai-ramai ke program Rintihan Gaza anjuran Barisan NGO Malaysia (BNM) dan Haluan Palestin yang akan diadakan di sini esok bermula pukul 5 petang.

Ketua Umum BNM Johor, ***** Omar berkata, program di Dewan Besar Kompleks Belia dan Sukan negeri itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Pembela Melayu Malaysia (PPMM), Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (********), Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Belia Kulaijaya, Aqsa Syarif, Cycle Motion Johor Bahru dan Kelab Sukan Paintball OSB.

Katanya, penganjur menyasarkan kehadiran kira-kira 2,000 orang bertujuan membuka mata masyarakat mengenai kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

"Ia juga tercetus apabila mereka begitu angkuh menghalang dan menyerang bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh kapal Mavi Marmara ke Gaza pada 31 Mei lalu.

"Malah tindakan kejam ke atas sukarelawan kemanusiaan antarabangsa yang turut disertai 12 rakyat Malaysia itu merupakan pencabulan undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dipandang remeh," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Pengerusi Haluan Palestin, Norazman Samsuddin dan Dr. Arbaie Syawal yang turut serta dalam misi berkenaan akan berkongsi pengalaman pada program tersebut.

Program tersebut merupakan yang pertama kali diadakan oleh pihaknya dan sekiranya mendapat sambutan ia akan diadakan di negeri-negeri lain, katanya.

"Kita mahu semua pihak tidak kira latar belakang, umur, agama dan pegangan politik mendapat maklumat secara menyeluruh berkenaan kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke program itu yang akan bermula pukul 5 petang hingga 11 malam.

selimutpurple Publish time 19-6-2010 10:36 AM

utusan online

Dua beranak menang kuiz bola

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0619/Utusan_Malaysia/Johor/wj_05.1.jpg
SAHUL Hameed E. Yaccob (enam dari kiri) bersama pemenang Kuiz Demam Bola Demam Utusan di Johor Bahru, semalam.



JOHOR BAHRU 18 Jun - Dua beranak muncul pemenang hadiah harian sempena Kuiz Demam Bola Demam Utusan di Restoran E & Y (Sahul) di Jalan Pinang, Taman Daya di sini malam tadi.

Mohd. Mazreza Rahim, 16, memenangi hadiah bonus berupa satu set pemain cakera padat manakala ibunya, Rohani Wahab, 45, memenangi beg cenderamata.

Mohd. Mazreza berkata, dia bersama keluarga sememangnya gemar makan malam di restoran tersebut selain dapat menonton perlawanan Piala Dunia di televisyen yang disediakan.

''Tak sangka pula percubaan kami anak beranak untuk menghantar borang penyertaan kali ini membawa tuah.

''Hadiah kali ini membuatkan kami lebih teruja untuk menyertainya sepanjang ia dianjurkan memandangkan banyak hadiah menarik yang ditawarkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pemilik Restoran E & Y (Sahul) Jalan Pinang, Sahul Hameed E. Yaccob dan disaksikan oleh Ketua Biro Utusan Malaysia Johor, Luqman Haziq dan Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.

Sementara itu, Rohani memberitahu, dia tidak menaruh sebarang harapan untuk memenangi hadiah kerana hanya datang ke restoran tersebut untuk makan malam bersama keluarga.

''Saya anggap kemenangan ini sebagai tuah dan pasti akan menyertainya lagi pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, 10 pengunjung restoran tersebut turut menerima hadiah sagu hati barangan cenderamata Utusan Melayu (M) Bhd. dan produk Adabi manakala lima pengunjung restoran mendapat hadiah berupa sebuah bola.

Restoran tersebut menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja kerana menyediakan makanan enak, kemudahan selesa seperti skrin gergasi selain kerusi mencukupi malahan turut menjadi lokasi Kuiz Demam Bola Demam Utusan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik hingga bernilai RM10,500 sepanjang tempoh kejohanan itu berlangsung.

Antara hadiah itu adalah televisyen LCD bersaiz 14, 21, 32, 42 dan 50 inci dan peralatan elektrik serta peralatan sukan seperti baju T, jersi, kasut bola serta baucar makanan.

Justeru, orang ramai dijemput hadir ke restoran tersebut untuk menonton perlawanan di skrin gergasi di restoran berkenaan sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah sepanjang kuiz itu dijalankan sehingga 11 Julai ini.

hh_hs Publish time 14-7-2010 04:03 PM

Utusan Online

UTM naik taraf unit penerbitan
utusanjohor@utusan.com.my

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0714/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
Sebahagian pengunjung menunjukkan minat membaca buku berjudul Budaya Inovasi hasil tulisan Zaini Ujang di UTM Skudai, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 13 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menaik taraf status unit penerbitannya menjadi Penerbit UTM Press bagi melonjakkan lagi penerbitan hasil penyelidikan universiti itu.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Zaini Ujang berkata, perubahan tersebut membolehkan penerbitan berimpak tinggi membabitkan buku, monograf, jurnal dan sebagainya dijalankan dengan lebih berkesan.

“Oleh kerana penerbitan menyumbang kepada penyebaran ilmu dan melonjakkan imej universiti, maka UTM menaik taraf status unit penerbitannya menjadi Penerbit UTM Press,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian galeri buku Penerbit UTM Press oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Rais turut merasmikan Stesen Bacaan UTM dan melancarkan buku tulisan Zaini berjudul Budaya Inovasi.

Zaini berkata, selain menggiatkan aktiviti jualan di kampus, Penerbit UTM Press juga berperanan memastikan buku terbitan UTM mampu diedarkan dengan meluas membabitkan 22 pengedar tetap dan 36 peruncit di seluruh negara yang dilantik.

Malah menurutnya, Penerbit UTM Press kini merupakan penerbit bahan ilmiah terbesar di kalangan universiti tempatan menerusi pelbagai inisiatifnya.

Antara inisiatif tersebut katanya, ialah menerbitkan 500 judul buku, enam jurnal teknologi, tiga jurnal akademik peringkat antarabangsa, menerbitkan 12 jilid ensiklopedia sains dan teknologi yang mula diusahakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1995 dan berjaya diterbitkan sepenuhnya pada 2005.

“Inisiatif lain ialah menjadi urus setia bagi penganjuran persidangan antarabangsa seperti Persidangan Antarabangsa Industri Buku 2008 dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa 1994.

“Selain itu, Penerbit UTM Press juga terlibat menganjurkan Sayembara Fiksyen bersama Kumpulan Utusan,” jelasnya.

Mengenai Stesen Bacaan UTM, Zaini berkata, universiti menyediakan 58 buah stesen tersebut yang bertujuan mendekatkan seluruh warga UTM dengan bahan bacaan sebagai wadah meningkatkan budaya membaca dan menghayati ilmu.

Beliau berkata, kewujudan stesen tersebut bagi menzahirkan ekosistem intelektual dengan penyediaan bahan bacaan untuk dikongsi bersama.

“Perlu dimaklumkan bahawa koleksi Stesen Bacaan UTM adalah sumbangan warga kampus yang seperti buku, majalah, jurnal, bahan bercetak dan seumpamanya.

“Sehingga kini koleksi stesen ini berjumlah lebih 11,000 naskhah dan adalah menjadi harapan UTM konsep ini diperluaskan di seluruh negara yang merangkumi sekolah, pusat beli belah dan pejabat kerajaan,” katanya.

hh_hs Publish time 14-7-2010 04:04 PM

Utusan Online

UTHM kini miliki dua Pro-Canselor

BATU PAHAT 13 Julai - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memiliki dua orang Pro-Canselor iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Ir. Shamsudin Abdul Kadir.

Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UTHM oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada majlis konvokesyen kesembilan universiti itu baru-baru ini.

Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, pemasyhuran itu bakal memantapkan lagi hierarki kepimpinan universiti itu kerana selain dinaungi Sultan Ibrahim sebagai Canselor, UTHM turut mendapat bimbingan kedua-dua Pro Canselor berkenaan.

"Pihak universiti berasa sungguh terharu dan menyanjung tinggi perkenan yang diberikan oleh Tuanku, Sultan Johor dengan pemasyhuran Tunku Mahkota Johor sebagai Pro-Canselor UTHM.

"Saya yakin gabungan sumbangan dan idea Tunku Mahkota Johor dan Tan Sri Ir. Shamsudin sebagai Pro-Canselor akan berupaya memacu universiti ini ke tahap yang lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan di sini.

Tunku Ismail yang diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru merupakan putera sulung daripada enam beradik dan mendapat latihan ketenteraan di Indian Millitary Academy (IMA), sebuah akademi ketenteraan ulung yang terletak di Dehradun, India.

Semasa berada di India, Tunku Ismail mencatat sejarah apabila menjadi individu bukan warganegara India pertama dipilih mengetuai Unit 61 Cavalry Regiment yang berpangkalan di Jaipur, India dalam perarakan sempena Hari Kemerdekaan negara itu.

Tunku Ismail berkemahiran tinggi menunggang kuda dan merupakan pemain polo yang disegani dalam rejimen berkenaan.

Dalam sukan polo, Tunku Ismail telah merangkul pelbagai kejuaraan dan anugerah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Shamsudin pula merupakan Pengasas dan Pengerusi Sapura Holdings Sdn. Bhd.

Sebelum dilantik sebagai Pro-Canselor, anak kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM yang pertama dan memegang jawatan tersebut selama lapan tahun.

hh_hs Publish time 14-7-2010 04:05 PM

Utusan Online

Dua direman kes penemuan mayat seorang bayi lelaki

JOHOR BAHRU 13 Julai - Dua wanita warga Indonesia ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi lelaki di Jalan Camar 15, Taman Perling di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, kedua-dua wanita terbabit yang berusia 22 dan 27 tahun itu dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes tersebut.

"Penahanan tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang dibuang di dalam sebuah beg plastik di tepi semak di jalan berkenaan.

Mayat bayi itu ditemui oleh orang awam pukul 3.15 petang.

Berikutan itu, polis yang menjalankan siasatan menahan kedua-dua wanita tersebut, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. Salah seorang daripadanya disyaki ibu kepada bayi berkenaan.

hh_hs Publish time 14-7-2010 04:07 PM

Utusan Online

100 usahawan sertai Hari Bertemu Pelanggan

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0714/Utusan_Malaysia/Johor/wj_07.1.jpg
Sebahagian pengunjung tertarik melihat kaedah melarut daun nanas pada majlis Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia di Kompleks Kraf, Larkin, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Julai - Lebih 100 usahawan kraftangan menyertai Hari Bertemu Pelanggan Kraf tangan Malaysia cawangan Johor di Jalan Cenderasari, di sini semalam.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Johor, Ahmad Faudzi Md. Ghazali berkata, program itu merupakan pendekatan holistik untuk menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan mesra, telus, cekap dan mencapai sasaran mempertingkatkan kualiti usahawan.

Katanya, menerusi program itu para usahawan berpeluang bersemuka secara terus untuk berbincang dan bertukar pandangan.

Di samping itu, kata Ahmad Faudzi, program itu juga menjadi saluran penyelesaian masalah dengan berkonsepkan mesra pelanggan.

"Tujuan utama kita mengadakan program ini bagi mendapatkan maklum balas pelanggan berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia.

"Ia juga sebagai langkah penambahbaikan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kraf tangan kami," katanya.

Menurutnya, sempena program itu, beberapa acara diatur termasuk kaunter bantuan dan taklimat khas mengenai perkhidmatan kraf tangan.

Ahmad Faudzi berkata, taklimat khas itu bertujuan memberi penjelasan kepada usahawan kraf mengenai aktiviti-aktiviti penganjuran kraf dan skim-skim yang disediakan untuk usahawan kraf.

Tambah beliau, bagi memeriahkan program itu pihaknya turut mengadakan aktiviti interaktif seperti program pendidikan kraf, ceramah, seminar rekaan dan jualan kraf.

hh_hs Publish time 14-7-2010 04:15 PM

Berita Harian

Johor: Tidak terurus
2010/07/14

KBS belum serah gelanggang, jadi mangsa vandalisme

JOHOR BAHRU: Walaupun sudah siap lebih enam bulan lalu, gelanggang sukan pelbagai guna Taman Tampoi Indah, Tampoi, di sini masih belum dapat digunakan lebih 3,000 penduduk taman berkenaan dan seolah-olah dalam keadaan terbiar.

Gelanggang yang dipercayai nilai kos pembinaannya membabitkan kira-kira RM150,000 itu dikatakan siap pada Januari lalu tetapi masih belum diserahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada mana-mana persatuan belia atau jawatankuasa penduduk sehingga kini.

Ia menyebabkan gelanggang berkenaan tidak diurus mana-mana pihak, seolah terbiar dan kini menjadi mangsa vandalisme oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan merosakkan kemudahan tandas awam untuk kegunaan pengguna kemudahan gelanggang berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk taman berkenaan, Syukri Esmael, berkata penduduk di taman berkenaan cukup gembira apabila KBS memilih untuk membina gelanggang sukan pelbagai guna yang boleh dijadikan tempat bermain seperti futsal, bola jaring, sepak takraw dan badminton.

Beliau berkata, penduduk berpendapat dengan adanya gelanggang itu, mereka akan mempunyai satu kemudahan riadah yang dapat digunakan belia dan remaja di situ sekali gus mengelakkan mereka terbabit dalam kegiatan tidak sihat.

“Bagaimanapun, harapan untuk melihat remaja dan belia di sini terbabit dalam aktiviti sukan dengan adanya gelanggang sukan pelbagai guna di sini hampa apabila gelanggang ini terus berkunci dan tidak dapat digunakan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua UMNO cawangan Flet Sri Indah, Ismail Musa, 60, kemudahan gelanggang itu sudah siap sejak Januari lalu tetapi kini terbiar dengan belia di sini tidak dapat menggunakannya berikutan ia belum diserahkan kepada mana-mana pertubuhan.

Beliau berkata, keadaan gelanggang yang terbiar kini menjadi mangsa vandalisme pihak tidak bertanggungjawab yang mencuri wayar dan pelbagai peralatan elektrik seperti lampu kalimantang terutama di bilik tandas yang disediakan untuk kemudahan pengguna gelanggang berkenaan.

“Barang di sini sudah banyak yang dicuri. Bukan saja wayar elektrik dicuri, saya dapati pelbagai peralatan dalam bilik tandas turut dirosakkan termasuk siling dipecahkan untuk memudahkan mereka mencuri melalui bahagian atas bilik tandas yang berkunci,” katanya.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan proses penyerahan gelanggang sukan pelbagai guna kepada mana-mana pertubuhan bagi membolehkan ia digunakan secepat mungkin untuk pelbagai kegiatan sukan," katanya.

selimutpurple Publish time 10-12-2010 12:24 AM

Pintu ke air terjun ditutup

2010/12/09
http://www.bharian.com.my/articles/Pintukeairterjunditutup/pix_gal0


PINTU gerbang ke kawasan air terjun Gunung Pulai ditutup kepada orang awam.
Penduduk terpaksa guna jalan sempit, licin ke kawasan perkelahan Gunung Pulai

JOHOR BAHRU: Walaupun dikenali ramai sebagai antara air terjun paling indah terdapat di negeri ini, pengunjung yang mengimpikan aktiviti perkelahan mahupun bersantai bersama keluarga di air terjun Gunung Pulai, di sini, seakan ‘dipaksa’ melupakan impian mereka itu. Air terjun Gunung Pulai antara lain tarikan utama yang terdapat di hutan simpan Gunung Pulai iaitu satu-satunya hutan simpan yang paling dekat dengan daerah Johor Bahru, selain mempunyai kolam buatan manusia untuk aktiviti mandi dan berkelah. Pengunjung mendakwa, mereka tidak memahami tindakan pihak yang terbabit mengunci pintu gerbang menuju ke kawasan air terjun berkenaan walaupun sebelum ini diberitahu pihak berkuasa ia kawasan selamat untuk digunakan pelancong yang berkunjung ke situ.

Tambah mengelirukan apabila pintu gerbang untuk ke kawasan air terjun berkenaan dikunci sebaik saja ia dibuka kepada orang awam beberapa hari selepas hari pembukaan semula kawasan terbabit pada 2 Februari lalu.

Ketua Biro Pengaduan Awam Dewan Perdagangan dan Perniagaan Cina Kulai, Khoo Chen Ming, berkata pintu gerbang yang dikunci itu secara tidak langsung menggambarkan sikap ‘suam-suam kuku’ kerajaan negeri dalam mempromosikan kawasan air terjun itu.

Katanya, keadaan menjadi bertambah buruk apabila kawasan air terjun berkenaan juga tidak menyediakan kemudahan asas termasuk ketiadaan tandas dan bilik air untuk keselesaan pengunjung sekali gus merencatkan aktiviti perkelahan dan bersantai di kawasan itu.
“Kawasan air terjun berkenaan sepatutnya dibuka kepada orang awam sebagai tanda kerajaan negeri komited dalam usaha mempromosikan aktiviti pelancongan di negeri ini tambahan pula kawasan terbabit baru saja dibuka kepada umum awal tahun ini.

“Pihak yang terbabit seharusnya memainkan peranan lebih agresif lagi bagi membantu usaha memperkenalkan kawasan air terjun ini bukan hanya kepada penduduk sekitar, malah mereka yang berada di luar negeri Johor juga,” katanya di sini.

Pengunjung, Peter Chin, 39, berkata beliau kecewa apabila berkunjung ke kawasan itu dan mendapati ia dikunci kepada orang awam sekali gus membantutkan segala aktiviti yang sudah direncana bersama keluarga.

Katanya, penutupan itu juga secara tidak langsung menyebabkan orang ramai terpaksa menggunakan jalan sempit dan licin yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang terbabit untuk sampai ke kawasan air terjun berkenaan.

Seorang lagi pengunjung dari Taiping, Perak, Airina Hussin, 29, berkata tindakan mengunci pintu gerbang terbabit seakan-akan tidak mahu menerima kehadiran pelancong apatah lagi tiada sebab terperinci dinyatakan kepada pengunjung ke kawasan air terjun itu.

“Sebelum ini, saya dan beberapa rakan pernah mengunjungi kawasan air terjun ini dan kami juga boleh berkhemah di kaki gunung, namun ia kini seakan tidak lagi menggamit kedatangan pelancong dan semua aktiviti terpaksa ditangguhkan apabila pintu gerbang dikunci,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang, berkata tindakan mengunci pintu gerbang terbabit dibuat atas faktor keselamatan dan berharap pengunjung lebih bersabar sehingga dibuka semula pada suatu masa yang ditetapkan.

“Kita sedia maklum mengenai perkara (penguncian pintu gerbang kawasan air terjun) berkenaan dan dalam soal ini kita tidak akan sesekali berkompromi mengenai tahap keselamatan pengunjung yang menjadi keutamaan kita,” katanya.

selimutpurple Publish time 10-12-2010 12:25 AM

'Kedaulatan Melayu lebih sesuai'
mdzin@bharian.com.my
2010/12/09
http://www.bharian.com.my/articles/KedaulatanMelayulebihsesuai_/pix_gal0

SULTAN Ibrahim bertitah ketika merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, semalam.
Sultan Johor gesa orang Melayu muhasabah

JOHOR BAHRU: Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut ‘kedaulatan Melayu’ kerana ia mencakupi kedudukan Raja-Raja Melayu dan rakyatnya, bukannya soal antara ‘tuan’ dan ‘hamba’, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Baginda bertitah, ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan Raja sebagai puncak kerajaan negeri Melayu. “Apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.

“Awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri Melayu belum dijadikan Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta bersama membangunkan Tanah Melayu.

“Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak kaum lain terus dijaga dan dihormati serta dijamin Perlembagaan,” titah baginda ketika merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada Johor di sini, semalam.
Sultan Ibrahim bertitah membangkitkan soal mengenai ketuanan Melayu memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan.

Baginda meminta orang Melayu supaya melakukan muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan berikutan ada di kalangan mereka sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan orang Melayu supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan. Sudah ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu.

"Dalam hal ini, ulama boleh berperanan menjelaskannya dan mempertahankan kedaulatan Melayu," titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah sistem Raja dan kerajaan Melayu yang wujud sejak ratusan tahun dan kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
Pages: 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 [16] 17 18 19 20 21 22
View full version: Keratan Akhbar / Petikan Berita


ADVERTISEMENT