king\'s Publish time 30-4-2010 12:12 PM

metro online

Giliran balas jasa
Oleh Mary Victoria Dass

2010/04/30      PASIR GUDANG: “Saya tidak mempunyai cara lain bagi membalas jasa keluarga angkat kecuali belajar bersungguh-sungguh dan mengecapi kejayaan dalam pengajian,” kata graduan kurang upaya, Rohayu Muslim, 22, muncul calon cemerlang Sijil Kemahiran Khas Rekaan Fesyen dan Pakaian di Majlis Konvokesyen Politeknik Johor Bahru Ke-12.

Gadis pekak dan bisu itu berkata, dorongan keluarga angkat yang tinggal di Padang Besar, Perlis banyak memberi dorongan padanya mengikuti kursus kemahiran di politeknik selama hampir dua tahun.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi pereka fesyen ingin menghadiahkan kejayaan berkenaan pada keluarga angkatnya kerana selama ini banyak berkorban demi kebaikan dan kegembiraannya.


“Ibu dan bapa bukan saja sanggup menerima kecacatan yang saya alami sejak dilahirkan, malah tidak pernah membezakan saya dengan tujuh beradik lain.


“Biarpun terpaksa berjauhan dengan mereka sejak belajar di politeknik, doa mereka sentiasa membekalkan saya kekuatan bagi menamatkan pengajian dengan sebaik mungkin dan lebih menggembirakan pada hari ini (kelmarin) muncul sebagai graduan cemerlang,” katanya.


Rohayu bercadang mencari pekerjaan di Perlis berharap mampu meringankan beban keluarganya terutamanya bapa angkat kerana masih menyara dua adiknya bersekolah dengan bekerja penoreh getah.


Menurutnya, dia yakin menempuhi cabaran ketika di alam pekerjaan terutamanya kekangan berkomunikasi dengan masyarakat.


“Saya pernah terfikir mengenai masa depan sekiranya berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pereka fesyen di mana-mana syarikat kerana bukan mudah bagi seorang individu kurang upaya seperti saya bersaing pekerja normal.


“Namun saya sentiasa berfikiran positif dan percaya bahawa kecacatan tidak menjadi penghalang kepada warga kurang upaya sekiranya mereka meminati bidang pekerjaan yang diceburi dan sentiasa mempunyai dorongan keluarga,” katanya yang bercita-cita menjadi pereka fesyen busana pengantin.


Majlis Konvokesyen Politeknik Johor Bahru Ke-12 menyaksikan seramai 670 graduan menerima sijil dan diploma yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kurikulum di Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Mohd Ghaus Ab Kadir di Stadium JCorp, Pasir Gudang di sini, kelmarin.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:17 PM

metro online

'Kerana kakak tertidur'
Oleh Junita Mat Rasid

2010/04/30      MUAR: Setakat manalah sangat kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.

Akibat tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah akuarium yang diletakkan di lantai dapur.

Bayi yang bertarung nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.


Dalam tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang diletakkan di atas lantai dapur.


Ketika kejadian, tiada orang dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin sekolah berhampiran.


Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.


“Ketika kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.


Menurutnya, sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu.


Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu tersembam ke dalam akuarium di dapur.


Robin berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.


Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.


Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum jatuh tertumus.


“Allahyarham seorang periang dan manja menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:19 PM

Berita harian online

Johor: Jeti uzur
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/04/30
Penduduk Kampung Orang Asli Sarang Buaya minta naik taraf kemudahan

BATU PAHAT: Jeti nelayan di Kampung Orang Asli Sarang Buaya, Semerah di sini menanti hari untuk menyembah bumi berikutan keuzuran jeti yang diperbuat daripada kayu itu dimamah air masin, selain kewujudannya yang sudah agak lama tidak dibaik pulih.

Keadaan jeti itu yang menempatkan lebih 40 bot nelayan itu juga didapati merbahaya kepada nelayan mahupun orang awam apabila hanya beberapa batang kayu dijadikan titian sebagai laluan untuk nelayan mengangkut hasil tangkapan ke darat dengan sebahagian kayu berkenaan sama ada sudah reput mahupun terpaksa diikat dengan tali. Malah, ketiadaan tangga yang sempurna menyebabkan golongan nelayan di situ terpaksa membuat tangga kayu sendiri dengan memacakkan beberapa pancang serta kayu bagi membolehkan mereka turun dan naik ke bot setiap hari.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sarang Buaya, Jamain Md Dom, 72, yang juga seorang nelayan itu berkata, jeti itu digunakan lebih 40 nelayan yang datangnya daripada kampung berkenaan selain beberapa kawasan Batu Pahat termasuk Semerah dan Parit Sulong.

“Jeti kayu ini sudah 10 tahun mengalami keadaan sebegini. Sudah banyak nelayan yang terjatuh dan mengalami kecederaan disebabkan laluan kayu sudah uzur dan patah kerana tidak dapat menampung berat nelayan yang membawa hasil tangkapan bersama ketika melalui titi berkenaan.

“Keadaan bertambah teruk ketika malam menjelang kerana keadaan yang hampir gelap membuatkan kami tidak nampak laluan titi dengan terang menyebabkan sudah banyak kali nelayan di sini jatuh dan luka,” katanya.

Beliau berharap, pihak berwajib dapat membina jeti batu dengan tangga yang sempurna untuk kemudahan nelayan di situ supaya ia dapat bertahan lama dalam keadaan air masin di situ.
“Jeti kayu ini tidak dapat bertahan lama berikutan air masin dan paku yang digunakan juga cepat berkarat dan tidak kukuh sehingga membahayakan keselamatan nelayan,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Norman Ahmad, 26, juga bersetuju supaya jeti berkenaan diganti dengan jeti batu sepenuhnya bagi kemudahan semua nelayan di situ.

“Sudah tujuh tahun saya menjadi nelayan dan sejak itu keadaan di jeti ini tidak banyak berubah. Saya juga pernah beberapa kali terjatuh ke dalam sungai di sebabkan tangga kayu yang dibuat sendiri itu tidak kuat. Keadaan akan bertambah berbahaya apabila ramai nelayan pulang daripada laut dan menggunakan jeti ini serentak.

“Ini kerana keadaan jeti yang sudah terlalu uzur mungkin boleh roboh ke dalam sungai kerana tidak mampu menanggung beban yang terlalu berat dalam satu-satu masa,” katanya.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:22 PM

Bina rumah mampu milik

Oleh SAHBULAH DARWI
editjohor@utusangroup.com.my


http://www.utusan.com.my/pix/2010/0430/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
Abdul Ghani Othman (dua dari kiri) melihat model rumah mampu milik sambil diberi penerangan oleh Shahrir Samad (dua dari kanan) di Majlis Penyampaian Sijil Kelayakan Memiliki Rumah di Rumah Pangsa Sri Stulang, Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 29 April - Kerajaan negeri akan membangunkan Perkampungan Tradisional Melayu Iskandar Malaysia yang melibatkan 5,200 unit rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah di kawasan penempatan baru, Lembah Tebrau-Plentong di sini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, lembah seluas 800 hektar itu bertujuan memastikan golongan tersebut memiliki rumah yang lebih selesa, sekali gus menyusun semula kampung setinggan ke arah sasaran setinggan sifar di daerah ini.

Katanya, setakat ini, 2,500 keluarga ditempatkan di Rumah Pangsa Sri Stulang manakala baki 2,700 rumah pangsa lagi sedang dibina dan dijangka siap pada 2012.

"Pembinaan ini menunjukkan pembangunan Iskandar Malaysia telah lebih awal melaksanakan program untuk manfaat masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana supaya kehidupan mereka lebih selesa, terjamin dan mengekalkan nilai tradisi.

"Ia bermakna mereka yang telah tinggal bersama lebih 30 tahun di kampung asal, tidak dipindahkan secara berselerak sebaliknya ditempatkan secara bersama di kawasan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Kelayakan Memiliki Rumah pada Program Penyusunan Semula Kampung-Kampung Tradisional Melayu Iskandar Malaysia di Rumah Pangsa Sri Stulang di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad.

Pada majlis tersebut seramai lapan ketua UMNO cawangan yang mewakili kampung masing-masing menerima sijil kelayakan memiliki rumah di Lembah Tebrau-Plentong itu.

Perkampungan berkenaan adalah Kampung Belantik, Kampung Desa Makmur, Kampung Tengah, Kampung Tok Siak, Kampung Bakar Batu, Kampung Datuk Hajjah Hasnah, Kampung Desa Melayu dan Kampung Desa Jaya.

Abdul Ghani berkata, Rumah Pangsa Sri Stulang didiami oleh penduduk berasal dari Rumah Pangsa Bukit Chagar dan Rumah Pangsa Lumba Kuda yang dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.

Katanya, bagi 2,700 unit rumah baru yang akan dibina bagi lapan kampung itu pula, ia membabitkan 10 blok rumah pangsa 11 tingkat bernilai RM303 juta di tanah kerajaan negeri.

Menurutnya, kesemua pembangunan ini terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Beliau berkata, perpindahan kampung-kampung setinggan itu juga akan memberi laluan kepada Projek Lebuh Raya Penguraian Timur (EDL) yang melalui kawasan tersebut dan projek itu dijangka siap pada hujung 2011.

Katanya, kategori pertama penerima rumah itu ialah daripada 1,360 keluarga yang sebelum ini memiliki Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan mereka layak membeli rumah berkeluasan lantai 79 meter persegi dengan harga RM35,000 sahaja.

"Harga pasaran bagi unit ini melebihi RM80,000 seunit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air," katanya.

Tambahnya, bagi kategori kedua pula, sebanyak 1,360 keluarga ditawarkan unit enam hingga 10 tingkat setiap blok berkeluasan 70 meter persegi dengan harga pasaran RM50,000.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, sebuah dana khas penyelenggaraan bangunan sebanyak RM1 juta diwujudkan bagi setiap blok bagi membantu membiayai kos penyelenggaraan.

"Dana hasil dari unit-unit yang dijual pula akan digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan am seperti lif, surau, taman permainan, tadika, dewan orang ramai, kedai-kedai runcit dan makanan dan juga landskap." katanya.

king\'s Publish time 30-4-2010 12:25 PM

utusan online

Pegawai ASP janji beri khidmat terbaik

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0430/Utusan_Malaysia/Johor/wj_02.1.jpg
Sebahagian pegawai polis yang menerima kenaikan pangkat Asisten Supritendan di Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 29 April - Seramai 11 pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menerima kenaikan pangkat Asisten Supritendan (ASP) hari ini berikrar untuk memberikan khidmat terbaik dalam pasukan.

Mereka yang gembira dengan kenaikan pangkat itu berjanji menggalas tanggungjawab diberikan dengan penuh dedikasi demi memartabatkan lagi imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi Loh Yueh Wah, 49, yang kini bertugas di Jabatan Hal Ehwal Awam IPK Johor, kenaikan itu akan dijadikan pendorong untuk terus maju pada masa akan datang.

"Sudah tentu saya gembira dan berazam untuk memberikan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan kepada saya.

"Kenaikan pangkat itu sebagai pembakar semangat untuk melakukan transformasi dan memastikan misi dan visi pasukan tercapai," katanya lagi.

Perasaan sama turut dikongsi Zulkifli Yusuf, 46, yang menyifatkan kenaikan pangkat itu sebagai tanda kepercayaan pucuk pimpinan terhadap kesemua penerima.

Beliau yang kini berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara berkata, kepercayaan diberi pasukan itu wajar dibalas dengan prestasi kerja lebih cemerlang pada masa akan datang.

"Saya akan pastikan setiap tugasan diberikan dilaksanakan dengan sempurnakan sebaik mungkin," katanya.

Majlis pemakaian pangkat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman di padang kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Jalaluddin turut menyampaikan surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara (KPN) dan Ketua Polis Negeri kepada 46 pegawai dan anggota yang menunjukkan kesungguhan membanteras jenayah.

king\'s Publish time 3-5-2010 11:31 AM

metro online

16 pelajar, cikgu dirasuk[/b
]Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/05/03      JOHOR BAHRU: Guru di sebuah sekolah di sini dihantui keresahan apabila dalam tempoh tiga hari berturut-turut 16 pelajar termasuk seorang cikgu secara-tiba-tiba meraung dan menangis tanpa sebab dipercayai menjadi mangsa amukan ‘lima makhluk halus.’

Keadaan menjadi lebih cemas apabila beberapa guru terpaksa mengejar seorang pelajar perempuan tingkatan empat selepas dia yang dirasuk cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan. Risau kejadian sama berulang pihak sekolah mengarahkan guru lelaki mengawal keadaan dan menjaga pelajar perempuan yang dirasuk.

Difahamkan, kejadian pertama dilaporkan Rabu lalu membabitkan tiga pelajar diikuti enam lagi pada Khamis dan kemuncak rasukan berlaku Jumaat membabitkan enam pelajar tingkatan empat serta seorang guru wanita.


Semua kejadian histeria di Sekolah Menengah Tasek Utara 2 itu dikatakan berlaku pada jam 8 pagi iaitu ketika sesi persekolahan pagi baru bermula.


Menurut seorang guru yang enggan dikenali, kejadian bertambah teruk pada Jumaat menyebabkan dia dan beberapa lagi guru kelam-kabut untuk mengawal keadaan.


“Serangan membabitkan pelajar dari kelas dan blok berlainan menyebabkan kami terpaksa berkejar ke sana ke mari dalam masa sama berikutan risau berlaku perkara tidak diingini.


“Lebih teruk apabila makhluk halus yang merasuk seperti berpindah dari seorang pelajar ke pelajar lain dalam masa singkat. Bila pelajar pertama dapat dikawal, ia akan berpindah ke pelajar lain hingga menimbulkan suasana kecoh,” katanya.


Bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk, pihak sekolah mendapatkan bantuan pakar agama daripada Persatuan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa (Darussyifa) selain dibantu beberapa imam sebelum keadaan reda. Kata guru itu, dia dimaklumkan pengamal perubatan Darussyifa, kejadian serangan itu berpunca akibat kemarahan lima makhluk halus berkenaan berikutan individu tertentu mengganggu tempat tinggal mereka. “Memang takut apabila melihat muka lima pelajar yang terbaring ketika dipulihkan mula berubah menjadi merah padam seperti orang sedang marah, tidak kurang ada juga yang kelihatan pucat,” katanya.


Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu menyebabkan pihaknya mendapatkan bantuan Darussyifa’.


“Sebelum ini kejadian histeria tidak pernah berlaku dan ia kejadian pertama sejak sekolah berkenaan mula beroperasi,” katanya.

king\'s Publish time 3-5-2010 11:34 AM

Utusan online

Rumah dijadikan stor barang lusuh?

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my


http://www.utusan.com.my/pix/2010/0503/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
RUMAH yang didakwa penduduk dijadikan tempat menyimpan barang terbuang di Jalan Jenawi, Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 2 Mei – Kira-kira 200 penduduk di sekitar Jalan Jenawi, Taman Puteri Wangsa kesal dengan kehadiran sebuah premis kediaman yang didakwa dijadikan stor penyimpanan barangan lusuh.

Mereka bimbang premis tersebut boleh menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan sehingga kini terdapat enam penduduk jalan tersebut terkena jangkitan demam denggi sejak awal tahun ini.

Menurut penduduk, halaman rumah yang dijadikan stor itu berlonggok barangan seperti tin kosong dan tayar lusuh, manakala persekitarannya dipenuhi rumput tinggi dan sampah sarap.

Justeru, para penduduk menggesa agar pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan.

Penduduk, Mohd. Idrus Abdul Wahid, 41, berkata, stor di rumah lot tepi tersebut bukan sahaja menyakitkan mata memandang tetapi boleh menjadi sarang nyamuk aedes dan mengundang masalah kesihatan kepada penduduk jika terus dibiarkan.

Katanya, setakat ini, lebih daripada enam penduduk dimasukkan ke hospital akibat terkena jangkitan demam denggi.

“Pada 9 April lalu, saya dimasukkan ke hospital akibat demam denggi. Tidak lama selepas itu ada beberapa lagi jiran turut dimasukkan ke hospital akibat jangkitan yang sama.

“Kawasan sekitar kediaman kami di sini menjadi tidak bersih kerana setiap hari pemilik stor berkenaan akan membawa balik barang-barang lusuh untuk diletakkan di dalam kediamannya. Akibat daripada itu rumah saya juga pernah dimasuki ular,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mohd. Idrus berkata, masalah berkenaan bukan perkara baru sebaliknya, sudah berlanjutan sejak sekian lama tetapi tidak mendapat maklum balas yang berkesan daripada pihak-pihak berwajib.

Jelasnya, sejumlah aduan telah dibuat sebelum ini termasuk kepada Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan tetapi sehingga ke hari ini pemilik rumah berkenaan tetap meneruskan operasinya.

“Jangan sampai sudah ada kematian baru pihak berkuasa nak ambil tindakan. Wakil rakyat kawasan ini diharap dapat datang melihat dan membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini,” tegasnya.

Seorang lagi penduduk , Abdul Nasir Moideen Kutty, 43, berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan datang ke kawasan ini untuk membuat semburan nyamuk tetapi tiada tindakan susulan lain yang dilakukan.

Katanya, sebelum ini, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) juga telah membuat pemantauan tetapi beliau difahamkan selepas itu tiada tindakan diambil terhadap pemilik kediaman tersebut.

hh_hs Publish time 4-5-2010 10:36 AM

Utusan Online

Ambil pekerja asing, gantung lesen
Oleh SAHBULAH DARWI
utusajhor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 3 Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi amaran akan menggantung lesen peniaga pasar tani yang menggunakan pekerja asing di lot perniagaan masing-masing.

Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin berkata, tindakan tegas itu bagi memastikan peluang perniagaan dan pekerjaan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat tempatan sekali gus mengelakkan gerai-gerai pasar tani dikuasai warga asing.

"Kepada peniaga pasar tani yang berdegil mahu mengambil pekerja asing, saya beri amaran supaya hentikan perbuatan itu, jika tidak lesen peniagaan akan digantung atau dibatalkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Khidmat Setia dan Khidmat Amat Setia FAMA Peringkat Johor dan Melaka 2010 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Khidmat Pengurusan FAMA, Abdul Razak Abdul Hamid; Pengarah FAMA Wilayah Selatan, Shahid Abu Bakar dan Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md. Mokri.

Badruddin berkata, pihaknya tidak berkompromi dalam isu tersebut kerana perbuatan mengambil pekerja asing di pasar tani adalah menyalahi undang-undang.

Menurutnya, pada masa yang sama terdapat ramai warga tempatan sepatutnya diambil bekerja sebagai pembantu peniaga dan akhirnya dibimbing untuk menjadi usahawan pada masa depan.

"Alasan susah hendak mencari pekerja tempatan untuk bekerja di gerai pasar tani tidak dapat diterima kerana ramai warga tempatan sebenarnya berminat dalam bidang ini," katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini terdapat satu kes di Selangor peniaga pasar tani didapati bersalah mengambil pekerja asing di gerainya dan kes berkenaan kini dalam proses rayuan.

Justeru tegasnya, FAMA meminta agar kesemua peniaga pasar tani yang kini berjumlah kira-kira 17,300 orang mematuhi undang-undang berhubung perkara itu.

Sementara itu beliau berkata, FAMA bercadang menambah tapak pasar tani yang kini berjumlah 364 kepada 400 lokasi di seluruh negara dengan sasaran peningkatan jumlah peniaga kepada 20,000 orang pada tahun ini.

Jelasnya, peniaga baru yang cuba diwujudkan itu termasuk golongan kurang upaya (OKU) bagi membantu mereka menambah pendapatan.

king\'s Publish time 4-5-2010 12:41 PM

metro online

Lelaki tak tahu pukul polis


2010/05/04      JOHOR BAHRU: “Saya pukul sebab tidak tahu dia anggota polis,” kata tertuduh, N Ganesh Kumar, 24, ketika membuat rayuan di Mahkamah Majistret di sini, semalam supaya hukuman terhadapnya diringankan selepas mengaku bersalah menyerang Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Sabtu lalu.

Ganesh mengaku melakukan kesalahan berkenaan pada kira-kira jam 5.30 petang di persimpangan Jalan Siu Chin di sini, terhadap Deputi Superintendan Ooi Kok Seng sehingga mengakibatkan kecederaan kepada Ooi.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Majistret Sharifah Maleesha Syed Hussin yang mendengar pengakuan tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, memerintahkan Ganesh membayar RM6,500 atau penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.


Berdasarkan fakta kes, berlaku sedikit kekecohan di Jalan Siu Chin kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu apabila ada pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas tidak berpuas hati dikompaun oleh pegawai polis.


Ketika kejadian, Ooi cuba menyelesaikan kekecohan berkenaan sebelum tertuduh masuk campur.


Tertuduh menggunakan topi keledar untuk memukul Ooi hingga terkena bahagian bawah kening mata sebelah kiri selain meninggalkan kesan lebam dan mengakibatkan cermin matanya pecah.


Tertuduh cuba melarikan diri sebelum ditahan beberapa anggota polis yang berada di

king\'s Publish time 4-5-2010 12:51 PM

metro online

Murid terkejut ditampar guru


2010/05/04      JOHOR BAHRU: “Saya terkejut tiba-tiba guru muzik menampar saya berulang kali hingga mengakibatkan tudung yang dipakai tercabut,” kata murid tahun empat di sebuah sekolah di Pandan, Farah Suraya Fariq Rizal, 10, yang menanggung kesakitan akibat tisu pipi kiri terkoyak selepas ditampar guru berkenaan.

Farah berkata, kejadian berlaku selepas ibu saudaranya mengadu sikap buruk guru lelaki terbabit kepada pengurusan sekolah kerana gemar menyindir mangsa ketika sesi pembelajaran di kelas.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka perasaan dendam guru berkenaan bakal menimbulkan masalah serius kepadanya apabila tergamak menamparnya tanpa alasan pada kira-kira jam 12 tengah hari 23 April lalu.


“Saya dan rakan seperti biasa mengikuti kelas muzik yang dikendalikan guru itu sebelum diminta berdiri.


“Tiba-tiba dia menjadi marah dan menampar muka saya berkali-kali dengan pantas di depan rakan sekelas hingga tudung saya tercabut dan jatuh ke bawah,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Amar di sini, baru-baru ini. Ibu mangsa, Hartini Abdul Ghani, 30, berkata keluarganya bimbang kerana kejadian itu yang kedua di mana guru lelaki dalam lingkungan usia 40-an itu pernah mengasari anaknya pertengahan Januari lalu.


Menurutnya, pada kejadian pertama, guru berkenaan menggunakan pembaris panjang kayu untuk memukul anaknya di bahagian lengan tangan hingga mengakibatkan kesan lebam dan kesakitan selama hampir seminggu.


Katanya, anaknya dipukul guru berkenaan kerana ketawa di dalam kelas dan dianggap mengganggu sesi pembelajaran.


“Guru itu gemar menyindir anak saya kononnya suka mengadu pada keluarga hingga perbuatannya memberi tekanan pada Farah.


“Bagaimanapun, kami tidak menyangka guru itu bertindak melampaui batas apabila menampar anak hingga dia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada malam kejadian kerana terlalu sakit.


“Hasil pemeriksaan doktor, pipi kirinya disahkan terdapat kesan koyak membuktikan dia ditampar dengan teruk,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Majidee di sini, 26 April lalu.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang aduan daripada keluarga murid berkenaan dan keluarga berkenaan boleh mengunjungi Pejabat Pelajaran

king\'s Publish time 4-5-2010 12:55 PM

metro online

Pastikan pelajar bertopi keledar
2010/05/04      BATU PAHAT: Pengurusan sekolah disaran melarang pelajar yang menunggang motosikal tanpa topi keledar menghadiri kelas bagi memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata usaha mendisiplinkan golongan terbabit perlu supaya mereka akur dengan peraturan pemakaian topi keledar.

“Selain sekolah, ibu bapa perlu mengingatkan pelajar supaya pakai topi keledar.


“Kecenderungan pelajar penunggang motosikal tanpa topi keledar ke sekolah perlu diberi perhatian,” katanya.

king\'s Publish time 4-5-2010 01:00 PM

Berita harian online

Johor: Pasar lengang
Oleh Azzurra Deraman
bhnews@bharian.com.my
2010/05/04
Pusat jualan harian Kota Masai perlu dipromosi bagi tarik pengunjung

KOTA MASAI: Pasar Besar Kota Masai yang dibuka sejak 10 tahun lalu, kini boleh diibaratkan 'hidup segan, mati tidak mahu' berikutan pengunjung yang semakin berkurangan akibat persaingan daripada pasar raya besar yang banyak sekitar kawasan ini. Tinjauan Edisi Johor ke pasar berkenaan mendapati hanya beberapa kedai saja yang dibuka menjual sayur-sayuran, ikan dan daging, manakala pengunjung yang datang boleh dikira dengan jari menjadikan suasana pasar di sini sunyi sepi. Seorang peniaga, Nasir Abd Hamid, 46, berkata disebabkan pembeli yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu, peniaga di pasar berkenaan mengalami kerugian sehingga menyukarkan mereka untuk membuat pusingan modal.

“Sudah ramai peniaga di sini terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu membayar sewa disebabkan keuntungan diperoleh semakin berkurangan hingga ada yang tidak mampu untuk membayar sewa kedai walaupun sewa yang dikenakan tidaklah terlalu tinggi.

“Suatu ketika dulu hampir semua premis di sini beroperasi, dan suasana pun meriah dengan kehadiran pembeli kerana di sini ada semua barang keperluan harian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Nasir berkata, bagi mengelak gagal menjelaskan bayaran sewa pada hujung bulan, peniaga memilih untuk membayar sewa pada setiap hari.
Seorang pengunjung, Rokiah Dollah, 42, berkata, kewujudan banyak pasar raya besar di kawasan Masai dan Kota Masai seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ menyebabkan pembeli mempunyai lebih pilihan untuk membeli belah.

“Harga yang ditawarkan pasar raya besar kadangkala jauh lebih murah berbanding harga di pasar ini, jadi pembeli akan lebih tertumpu ke sana untuk mendapatkan barang keperluan tambahan pula di sana juga turut menawarkan barang basah.

“Sebagai pengguna, pembeli perlu bijak menguruskan perbelanjaan memandangkan kos hidup yang semakin tinggi hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran pasar berkenaan, Hafizol Nizam Rahim berkata, taman perumahan di Kota Masai yang banyak dengan kapasiti penduduk yang ramai seharusnya tidak menimbulkan masalah besar terutama jika promosi untuk memperkenalkan Pasar Besar Kota Masai ini dijalankan dengan lebih giat.

“Promosi perlu dijalankan dengan lebih giat untuk menarik semula pembeli ke mari, memandangkan di sini ada pelbagai keperluan harian yang diperlukan oleh pengguna,” katanya.

king\'s Publish time 4-5-2010 01:02 PM

Berita harian online

Johor: Bekerjasama pasang pembetung
Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my
2010/05/04
Penduduk Jalan Permatang, MBJB selesai masalah perparitan

KEMPAS: Kecewa dengan projek tebatan banjir yang dilaksanakan kontraktor Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) gagal menyelesaikan masalah banjir kilat di Jalan Permatang di sini, penduduk di kawasan berkenaan mengambil keputusan untuk memasang sendiri pembetung secara gotong-royong. Lebih 50 penduduk sekitar jalan berkenaan turun padang pada cuti umum Hari Pekerja lalu, bagi menyelesaikan masalah itu, termasuk membersihkan sistem perparitan, memasang pembetung serta membaiki jalan dengan menampal jalan berlubang. Dengan bantuan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melalui Ahli Majlis MBJB Zon Kempas, Abd Rashid Kasman, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan menyediakan jengkaut, batu kerikil dan simen.

Akhir Januari lalu, Edisi Johor menyiarkan keluhan penduduk di Jalan Permatang yang kesal dengan tindakan kontraktor Irda kerana mengambil jalan mudah melaksanakan projek tebatan banjir di anak sungai Tebrau dengan hanya meninggikan tembok bukannya melebarkan anak sungai.

Irda bagaimanapun, menegaskan bahawa pembinaan itu sudah dipersetujui antara kontraktor dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Permatang Baru sebelum projek berkenaan dimulakan.

Abd Rashid yang juga Pengerusi Pelan Tindakan Pembangunan Sosial MBJB, berkata, MBJB menghargai inisiatif dan komitmen penduduk di kawasan berkenaan yang sanggup mengeluarkan belanja untuk membeli empat gelung pembetung bagi menyelesaikan masalah banjir kilat.
“Dulu, mereka mengharapkan projek tebatan banjir yang dilaksanakan Irda dapat menyelesaikan masalah berkenaan tetapi apabila ia siap, pembinaannya langsung tidak memberikan sebarang manfaat, walaupun Irda menegaskan bahawa penduduk sendiri yang bersetuju dengan projek berkenaan.

“Penduduk tidak lagi mahu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah dan Irda pasti tidak akan mengalah, jadi jalan terbaik adalah membeli sendiri gelung pembetung dan meminta MBJB menyediakan peralatannya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Abd Rashid berkata, MBJB menyediakan segala peralatan dan kelengkapan bagi memastikan kerja memasang pembetung itu selain menampal jalan berlubang dan membersihkan sistem perparitan dengan anggaran kos kira-kira RM5,000.

Katanya, program gotong-royong anjuran Jawatankuasa Penduduk (JKP) MBJB zon Kempas kawasan Permatang Baru, JKKK Permatang Baru dan MBJB itu adalah contoh terbaik bagaimana sebuah PBT dan masyarakat menjalin perkongsian strategik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) MBJB Zon Kempas, Taslim Misran, berkata penduduk di kawasan berkenaan mengambil keputusan untuk memasang sendiri gelung pembetung bagi menyelesaikan masalah banjir kilat walaupun Irda sudah melaksanakan projek tebatan banjir.

king\'s Publish time 4-5-2010 01:04 PM

Berita harian online

Johor: Berpindah randah elak kegiatan perjudian dikesan
2010/05/04
BATU PAHAT: Penganjur pelbagai aktiviti perjudian di bandar ini, dikesan sering berpindah randah bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Antara yang gemar mengamalkan taktik memindahkan operasi haram mereka ke lokasi lain yang dianggap selamat itu, ialah penganjur judi ‘dart’. Bagaimanapun, taktik itu tidak berjaya dan kegiatan mereka berjaya dikesan dan dibanteras pihak berkuasa yang turut mendapat kerjasama orang ramai. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata pihaknya mengesan taktik tauke judi ‘dart’ yang sering berpindah randah bagi mengelakkan serbuan pihak berkuasa.

Katanya, aktiviti perjudian itu biasanya, menjadikan bangunan rumah kedai sebagai tempat beroperasi agak terdedah serta berisiko tinggi diserbu pihak berkuasa.

“Penganjur judi tikam nombor menggunakan dart itu, menawarkan hadiah sembilan kali ganda wang taruhan yang dipercayai menjadi faktor menarik perhatian ramai kaki judi.

“Bagi mengelak aktiviti haram mereka dikesan pihak berkuasa, penganjur perjudian itu dikesan tidak lama berada di sesebuah tempat dengan sering menukar lokasi.
“Bagaimanapun, taktik berkenaan tidak menjadi kerana aktiviti yang menjadi tumpuan kaki tikam nombor dari pelbagai peringkat umur itu, sering diserbu polis,” katanya di sini, baru-baru ini.

Ibrahim berkata, kejayaan polis membanteras kegiatan perjudian berkenaan, sering mendapat bantuan penduduk setempat yang bimbang dengan kewujudan aktiviti itu, di kawasan mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata, kejayaan polis melumpuhkan operasi pusat perjudian dart di Taman Hajat, Parit Amat, Rabu lalu adalah hasil kerjasama orang ramai.

Katanya, sepasukan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Batu Pahat, menyerbu premis di taman perumahan berkenaan, pada kira-kira jam 11.15 malam pada hari berkenaan.

Dalam serbuan itu, katanya, polis merampas 10 unit komputer biasa dan sebuah komputer utama, selain menahan seorang lelaki Cina berusia 20 tahun yang bertugas sebagai penjaga perjudian di rumah kedai berkenaan.

“Mereka yang terbabit dalam kegiatan penganjuran judi itu boleh dikenakan tindakan selaras Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

king\'s Publish time 4-5-2010 01:06 PM

Berita harian online

Johor: JPJ keluar 750 saman hingga Mac 2010

2010/05/04
KULAIJAYA: Sikap pengguna lalu lintas di negeri ini, yang enggan mematuhi peraturan memakai tali pinggang keledar ketika berada di jalan raya semakin membimbangkan berdasarkan kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Ketua Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Bemban, Haris Bidul, berkata di Johor saja, sebanyak 750 saman dikeluarkan JPJ negeri bagi kesalahan itu dari Januari sehingga Mac 2010. Katanya, tahap pemakaian tali pinggang keledar belakang pula menurun daripada 48 kepada 20 peratus dari Mac 2009 sehingga Mac 2010.
“Orang awam terutama bagi penumpang tempat duduk belakang perlu mematuhi pemakaian tali pinggang belakang ketika berada di jalan raya,” katanya di sini ketika ditemui, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian selepas Program Advokasi dan Ops Bersepadu Buckle Up di Kilometer 1, Jalan Kulai-Kota Tinggi.

Berdasarkan statistik JPJ negeri pada tahun lalu, sebanyak 3,658 saman dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Sementara itu, Haris berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 20 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan, tidak memiliki permit membawa kenderaan barang, lebih muatan serta tidak mempamerkan pelekat P.
“Ada juga pemandu yang dikesan memiliki lesen palsu, jika bersalah akan disabitkan denda minimum RM3,000,” katanya.

Pada majlis itu juga, JPJ bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) turut menyerahkan topi keledar percuma kepada penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar mengikut spesifikasi keselamatan Sirim.

teessot Publish time 5-5-2010 08:43 AM

UTUSAN ONLINE

Empat masjid baru bakal dibina di JB


JOHOR BAHRU 4 Mei - Kerajaan negeri bercadang membina sebanyak empat buah masjid baru di sekitar daerah ini bagi menampung keperluan umat Islam yang semakin bertambah.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ia termasuk membina sebuah masjid baru di Kampung Bakar Batu bagi menggantikan masjid lama di kampung berkenaan.

"Ini adalah cadangan yang kerajaan negeri terima daripada Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad kerana jika empat buah masjid ini selesai (dibina) maka terlaksanalah hasrat umat Islam di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Kelayakan Memiliki Rumah pada Program Penyusunan Semula Kampung- Kampung Tradisional Melayu Iskandar Malaysia di Rumah Pangsa Sri Stulang, di sini yang turut dihadiri Shahrir baru-baru ini.

Selepas majlis tersebut, Abdul Ghani turut merasmikan Klinik 1Malaysia di rumah pangsa berkenaan untuk kemudahan kesihatan orang ramai.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga perlu melakukan sedikit pindaan mengenai pembangunan di beberapa kawasan ekoran pembinaan masjid berkenaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, masjid tersebut yang lokasinya belum dimuktamadkan bakal memberi kemudahan kepada penduduk di Kampung Belantik, Kampung Desa Makmur, Kampung Tengah, Kampung Tok Siak, Kampung Bakar Batu, Kampung Datuk Hajjah Hasnah, Kampung Desa Melayu dan Kampung Desa Jaya.

teessot Publish time 5-5-2010 08:48 AM

Tumpahan minyak di Senibong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my


http://i940.photobucket.com/albums/ad250/teessot/wj_0111-5.jpg
NELAYAN pantai, Khairulnizam Yaakob menunjukkan limpahan minyak yang mencemarkan kawasan pantai di Senibong, Johor Bahru, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JOHOR BAHRU 4 Mei - Kira-kira 60 nelayan pantai serta pengusaha ikan dalam sangkar dan penternak kupang di pantai Senibong di sini berdepan masalah mencari sumber pendapatan ekoran tumpahan minyak di sekitar kawasan pantai itu.

Ketua Komuniti Nelayan Pantai Senibong, Yaakob Sahadan berkata, tumpahan minyak itu adalah yang pertama kali berlaku di kawasan tersebut dan perkara itu hanya disedari pihaknya pada tengah hari selepas dimaklumkan oleh seorang nelayan yang berada di situ.

"Saya mengesyaki perkara ini berlaku waktu pagi kerana pada masa itu saya dapat hidu bau minyak seperti bau diesel tetapi tidak tahu bahawa ia adalah tumpahan minyak.

"Kemudian, menjelang waktu tengah hari ada seorang nelayan beritahu ada tumpahan minyak di kawasan pantai dan saya kemudiannya meminta bantuan nelayan di sini untuk mencari punca kejadian tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pantai Senibong mendapati terdapat lapisan minyak di atas permukaan air dan ia turut memberikan kesan kepada ternakan ikan dan kupang di situ.

Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, selepas mengetahui perkara tersebut, pihaknya terus menjalankan rondaan sehingga ke Teluk Jawa di sini bagi mencari punca berlaku tumpahan itu tetapi gagal.

Pihaknya mengesyaki tumpahan minyak itu berpunca daripada kapal-kapal besar yang menjalankan aktiviti di sekitar Tambak Johor tetapi ia tidak dapat dipastikan kerana disyaki berlaku pada waktu pagi.

"Kami mengesyaki tumpahan minyak ini berpunca daripada kapal-kapal yang beroperasi di kawasan Sembawang, Singapura dan kami sudah menghubungi pihak berkuasa di sana untuk memaklumkan perkara ini," katanya.

Beliau turut meminta pihak berkuasa agar segera mengatasi masalah tersebut kerana ia menjejaskan sumber pendapatan utama nelayan serta pengusaha makanan laut di kawasan pantai Senibong.

"Sekiranya perkara ini berlarutan, para pengusaha ikan dalam sangkar akan mengalami kerugian besar kerana ternakan akan mati sekiranya terkena minyak selain nelayan tidak dapat turun ke laut kerana peralatan mereka juga akan rosak," katanya.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan.

hh_hs Publish time 5-5-2010 09:53 AM

The Star

Police working hard to ensure security in Iskandar Malaysia
By ZAZALI MUSA and NELSON BENJAMIN
metrose@thestar.com.my

JOHOR BARU: The Royal Malaysian Police (PDRM) is committed to maintaining security and safety in Iskandar Malaysia to ensure the well-being of its investors and residents.

Johor police chief Deputy Comm Datuk Mokhtar Shariff said security and safety were always the priority in any economic development regions in other parts of the world too.

http://thestar.com.my/archives/2010/5/5/southneast/se_02mokhtar.jpg
Deputy Comm Datuk Mokhtar Shariff

“Investors’ priority is always security and safety. They need to know if their projects will work here before investing.

“It is important to instil confidence among investors and residents that Iskandar is a safe place for them to invest and live in,” Mokhtar said in an interview with The Star recently.

DCP Mokhtar said they received feedback from existing as well as potential investors in Iskandar that security and safety ranked second after skilled and trained workforce.

He said the police worked closely with the stakeholders of Iskandar to ensure security and safety in Malaysia’s first ever economic growth corridor.

The police received strong support from the Federal and Johor Governments, Iskandar Regional Development Authority (Irda), Iskandar Investment Bhd (IIB) and UEM Land Holdings Bhd, he said.

“The force is committed to ensuring the success of all 46 programmes outlined under the Iskandar Malaysia’s safety and security blueprint.

“Each programme will address a specific safety and security aspect within Iskandar as outlined under its Comprehensive Develop-ment Plan from 2006-2025.

“The programmes are divided into eight thrusts including capacity building, shaping and management of community perceptions, comprehensive preparedness, prevention and deterrence, and rapid response,” he highlighted.

http://thestar.com.my/archives/2010/5/5/southneast/se_02mahkota.jpg
Safe and sound: The public relaxing by the fountains in Dataran Mahkota overlooking the state assembly building in Kota Iskandar, the state administrative centre in Nusajaya.

All programmes would be implemented in the next two to five years with coordination and integration of operational agencies and stakeholders.

These include the Johor Mentri Besar’s Office, local authorities, National Security Council, Economic Planning Unit, Civil Defence Department, the police, Health Department, Tenaga Nasional Bhd, Syarikat Air Johor, Malaysia Maritime Enforcement Agency, private sector developers and community organisations, he added.

DCP Mokhtar said Irda would install 2,000 CCTVs in Iskandar costing RM14.4mil by the end of this year and the number would increase to 10,000 by 2015 at a cost of RM270mil, as part of its efforts to boost security in that region.

Besides the CCTVs, Irda would also build 208 Community Police Posts (CPP) costing RM83mil in, housing estates of which 135 posts would be set up by the year-end and the balance would be built next year.

The CCP is part of the community policing initiative in which a police constable and his family will reside in a house provided as quarters and office.

Among the CPP features are fully-furnished housing facility, radio communication and the Command, Control, Commu­ni­ca­tion and Computer Integration System.

The state police chief reiterated that although PDRM was focused on the safety and security issues in Iskandar, they would not neglect other areas outside the growth corridor.

“Johor needs investments from both local and foreign investors as investments will create job opportunities and improve standard of living,” he said.

He pointed out that Johor had for many years emerged as among the top three states in the country in terms of foreign direct investment received.

He said it was not right for certain parties to label Johor, especially its city Johor Baru, as a crime-infested area because if that was true, Johor would not be able to attract investors.

He added that Iskandar attracted RM60bil in investments since it was launched on Nov 4, 2006.

Iskandar covers 2,217 sq km in the southernmost part of Johor with five flagship development zones — the JB City Centre, Nusajaya, Western Gate Development, Eastern Gate Development and Senai-Kulai.

According to DCP Mokhtar, Johor is also among the top for crime cases solved, with 12,168 cases or 46.74% of the 26,035 cases reported in 2009.

“The 46.74% solving rate is above the Key Performance Index of 20%, and statistics show that Johor has reduced the crime rate by 2.21% since 2008.

“It is vital that stakeholders, planners, investors and residents in Iskandar fully support and cooperate with us,” he said.

hh_hs Publish time 5-5-2010 09:57 AM

Harian Metro

Beberapa bahagian tubuh mangsa hilang

2010/05/05      JOHOR BAHRU: Hasil bedah siasat lebih enam jam yang dijalankan pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini Jumaat lalu terhadap mayat lelaki yang dikerat enam mendapati beberapa bahagian badan mangsa tidak lengkap dan dipercayai hilang.

Bahagian yang dipercayai tidak lengkap itu termasuk badan mangsa, manakala bahagian lain seperti kaki dan tangan sudah ditemui. Selain itu, beberapa kesan kecederaan turut ditemui pada leher dan beberapa bahagian badan ketika bedah siasat dijalankan.

Hingga kini, usaha mengenal pasti identiti lelaki itu menemui jalan buntu apabila pemeriksaan rekod pendaftaran serta cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berhasil.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata berikutan ketiadaan rekod dengan JPN, mayat terbabit disahkan sebagai warga asing.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas ketika ditanya punca sebenar kematian serta kecederaan dikesan pada beberapa bahagian badan mangsa.

“Kini sah mayat terbabit lelaki warga asing, namun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami belum menahan sesiapa berhubung kes itu, bagaimanapun usaha menjejak suspek giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, hingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung orang hilang.

“Bukan hanya terhad dalam daerah ini (JBU), malah kami bekerjasama dengan polis daerah lain jika ada individu membuat laporan berhubung kehilangan rakan yang mungkin boleh dijadikan petunjuk bagi membantu siasatan,” katanya.

hh_hs Publish time 6-5-2010 09:19 AM

Utusan Online

'Tolong ganti jeti kami'
Oleh NORZAINURA ABDUL MAJID
editjohor@utusangroup.com.my

http://www.utusan.com.my/pix/2010/0506/Utusan_Malaysia/Johor/wj_01.1.jpg
JAMAIN Mat Dom menunjukkan jeti nelayan di Sungai Sarang Buaya Laut, yang daif dan menyukarkan 40 nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka, baru-baru ini. - UTUSAN/ NURZAINURA ABD MAJID
--------------------------------------------------------------------------------

BATU PAHAT 5 Mei - Hampir setiap hari ada sahaja nelayan yang terjatuh dan mengalami luka-luka semasa memunggah hasil tangkapan yang diperoleh ke daratan.

Mereka bukan jatuh kerana cuai, tetapi keadaan jeti di Sungai Sarang Buaya Laut, Semerah dekat sini yang terlalu uzur dan daif menyukarkan tugas mereka.

Seramai 40 nelayan di Sungai Nibong, Lubok dan sekitar Pekan Semerah tiada pilihan selain menggunakan jeti tersebut kerana ia satu-satunya jeti yang berhampiran dengan rumah mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati jeti kayu yang berusia lebih sedekad itu telah dimamah air masin dan sudah lama tidak mampu dibaik pulih lagi.

Lebih membimbangkan keadaan jeti yang rosak teruk itu ibarat menunggu masa untuk menyembah bumi.

Demi sesuap nasi untuk keluarga, nelayan berkenaan berusaha membaiki kawasan jeti di bot masing-masing dengan kayu terpakai untuk membolehkan mereka memunggah hasil tangkapan.

Seorang nelayan, Jamain Mat Dom, 72, berkata, keadaan jeti itu sudah tidak selamat digunakan dan perlu diganti dengan jeti batu yang lebih tahan untuk kegunaan nelayan di kawasan berkenaan.

Dia yang juga tok batin penduduk Orang Asli mengaku 10 orang anak buahnya yang menetap di hulu Sungai Sarang Buaya dan selebihnya adalah penduduk kawasan Lubok hingga ke Semerah menggunakan jeti itu.

Katanya, jeti kayu itu telah digunakan lebih sedekad lalu dan semakin hari semakin uzur dengan beberapa batang kayu dijadikan titi untuk laluan memunggah hasil tangkapan ke darat sehingga ada antara kayu itu yang reput dan terpaksa diikat dengan tali.

Lebih malang, ketiadaan tangga yang sempurna menyebabkan mereka terpaksa membuat tangga kayu dengan memacakkan beberapa pancang serta kayu untuk kegunaan turun dan naik ke bot setiap hari.

"Adakalanya kami terjatuh dan mengalami kecederaan disebabkan laluan kayu sudah uzur dan patah kerana tidak dapat menampung berat hasil tangkapan yang dibawa semasa melalui titi berkenaan," katanya.

Lebih menyukarkan apabila mereka pada waktu malam kerana keadaan gelap untuk memunggah hasil tangkapan apabila laluan titi tidak nampak dengan terang.

"Akibat gelap, sudah ramai nelayan yang terjatuh dan mengalami luka-luka," katanya.

Seorang lagi nelayan, Norman Ahmad, 26, berkata, jeti berkenaan seharusnya diganti dengan jeti batu bagi memudahkan mereka memunggah hasil tangkapan dengan selamat.

"Jeti kayu ini tidak dapat bertahan lama lagi kerana ia sudah reput lebih-lebih lagi apabila terkena air masin, banyak paku yang berkarat," katanya yang terpaksa memacak kayu untuk dibuat tangga bagi memunggah hasil tangkapan.

Norman yang telah tujuh tahun menjadi nelayan berkata, sejak dahulu lagi keadaan jeti itu semakin uzur dan telah beberapa kali terjatuh disebabkan tangga kayu yang dibuat tidak kukuh.

"Keadaan bertambah bahaya apabila ramai nelayan pulang dari laut dan menggunakan jeti ini serentak kerana keadaan jeti yang terlalu uzur serta mungkin boleh roboh kerana tidak mampu menanggung beban yang terlalu berat dalam satu-satu masa," katanya.

Justeru, dia meminta pihak yang berkaitan segera membaiki pulih atau membina jeti batu yang lebih kukuh untuk kegunaan nelayan di kawasan berkenaan.
Pages: 1 2 3 4 5 6 7 8 9 [10] 11 12 13 14 15 16 17 18 19
View full version: Keratan Akhbar / Petikan Berita


ADVERTISEMENT